05 Julai 2014

Hidayah Buat Felixia Yeap


Felixia peluk agama Islam pada tarikh kelahirannya

Model dan pelakon, Felixia Yeap (gambar), 28, mengesahkan dia telah memeluk agama Islam dengan mengucap syahadah pada 3 Julai 2014.

Menurutnya, dia memilih tarikh 3 Julai untuk mengucapkan syahadah kerana tarikh itu merupakan tarikh kelahirannya. Dia mengucapkan syahadah itu di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail, pukul 6.30 petang.

"Hari ini, bukan saja hari lahir saya tetapi juga hari kelahiran 'semula' saya. Hari saya 'kembali' akhirnya, selepas 28 tahun mencari jalan pulang. Hari ini, hari bersejarah dalam hidup saya kerana akan menjadi seorang Islam secara rasmi," tulisnya di dalam blog rasminya felixiayeap.blogspot.com.


Meskipun telah memeluk Islam, Felixia memberitahu, dia akan kekal menggunakan nama Cina dan hanya menambah nama Islam yang diperoleh daripada mimpi di hadapan nama asalnya. Nama Islam yang diberitahu pada media sebelum ini ialah Rania.

"Saya masih berbangsa Cina dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya membawa maksud, ketenangan, keanggunan," tulisnya lagi.

Sementara itu, Felixia berkata, dia enggan berkongsi detik bersejarah itu bersama pihak media kerana menyifatkan proses mengucap syahadah itu adalah urusannya dengan Tuhan.

"Ini hal saya dengan Tuhan, kenapa perlu masuk berita," katanya yang merupakan model yang pernah muncul dalam majalah Alia

Biarpun tidak secara drastik memeluk agama Islam, namun anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil dengan menutup aurat dan berhijab, sejak Disember 2013.

KATA orang, jangan mengukur seseorang itu dari kisah lalunya. Begitulah situasi yang sesuai untuk menggambarkan wanita bernama Felixia Yeap kini.

Dengan izin Allah, dari seorang wanita yang gemar mengunjungi parti sosial dan bergambar seksi, sesuai dengan statusnya sebagai model Playboy Bunny, Felixia akhirnya melakukan perubahan besar terhadap iktikad dan imejnya.

Sumber: Kosmo, Sinar Harian



Felixia temui 'jalan pulang'

Felixia menerusi laman rasmi felixiayeap.blogspot.com turut memuatkan luahan hatinya untuk dikongsi bersama-sama orang ramai pada hari pengislamannya.

Berikut adalah petikan penuh daripada laman rasmi Felixia.

Thursday, July 3, 2014

3 Julai: Hari Kelahiran Semulaku - Felixia Yeap

Assalamualaikum.

Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan empat orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.

Bantahan. makian. sindiran. fitnah. penyisihan. tekanan.

Tetapi syukur alhamdulillah... saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.

Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya.

Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah.

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya.

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.

Saya tetap teruskan perjalanan.

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan surat khabar dan sebagainya...tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya.

Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik.

Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.

Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor."

Ibu saya senyum dan saya menahan air mata.

Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan.

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui.

Mungkin ini juga salah satu hikmah daripada penceraian ibu dan ayah.

(Ibu saya jauh lebih bahagia sekarang juga, alhamdulillah)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya.

Oleh KHADIHAJ IBRAHIM
Sumber: Utusan

Felixia Yeap
Felixia Yeap: Umpama dilahirkan semula

Hasrat Memeluk Islam

Sebelum itu, pada 27 Jun, 2014, Felixia dalam satu kenyataan ketika menjadi panel jemputan di Program Semarak Ramadan anjuran kerajaan Negeri Selangor di Dataran Shah Alam telah menyatakan hasratnya untuk memeluk islam secara rasmi pada 5 Ramadhan.

"SAYA akan mengucap pada 5 Ramadan ini, iaitu pada 3 Julai ini (Khamis)," kata model pakaian Muslimah, Felixia Yeap,

Felixia berkata, tarikh 5 Ramadan dipilih kerana ianya jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya manakala hari Khamis pula merupakan hari kegemaran Nabi Muhammad.

Sumber: Sinar Harian

Melalui Akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Mei 2014 pula, Felixia menjelaskan dengan panjang lebar tentang hasratnya untuk memeluk Islam. Berikut ini saya kongsikan artikel tersebut untuk kita sama-sama renungkan dan jadikan pedoman.

 Felixia Yeap

Hidayah buat Felixia Yeap

SELALUNYA, berpakaian menutup aurat apatah lagi berhijab sangat sinonim dengan wanita Muslimah. Tetapi, berlainan pula bagi gadis berbangsa Cina dan pemilik nama Yeap Chin Yee atau lebih mesra disapa sebagai Felixia Yeap ini.

Biarpun pernah digelar simbol seks sebelum ini, kini bekas model majalah Playboy Bunny ini kelihatan lebih ayu dan jelita bak wanita Muslimah di luar sana.

"Bagi saya, dalam menutup aurat, ia bukanlah tertakluk kepada mereka yang beragama Islam saja. Ini kerana, saya sering kali melihat wanita yang beragama Islam tidak menutup aurat.

"Saya percaya, agama Islam tidak pernah menghalang mana-mana wanita untuk menutup aurat dengan sempurna asalkan mereka tidak menyalahgunakan cara pemakaian itu," katanya.

Begitu pun, sesuai dengan perubahan imejnya itu, anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengumumkan bakal mengucap dua kalimah syahadah menjelang Ramadan ini bersempena dengan ulang tahun kelahirannya pada Julai 2014 serta tidak sabar-sabar menjalani ibadah puasa.

Mengulas lanjut, gadis jelita ini menjelaskan, dia tidak berniat untuk menangguhkan niat suci tersebut sebaliknya memerlukan lebih masa bagi mendalami agama ALLAH SWT itu.

"Saya masih lagi dalam peringkat mengenali agama Islam. Buat masa ini, saya sedaya-upaya mencari masa untuk membaca buku agama.

"Malah, jika berkesempatan, saya ada menghadiri kelas dan ceramah agama supaya lebih memahami mengenai Islam," kata bekas finalis Dewi Remaja ini.

Pun begitu, dia menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan.

"Saya tidak menyangkal sebarang kemungkinan akan memeluk agama Islam, tetapi apa yang saya ingin katakan kepada semua, adalah untuk berserah kepada ketentuan Tuhan.

"Ajaran Islam itu tidak pernah berunsurkan desakkan atau gesaan. Saya tidak mahu terburu-buru memeluk Islam hanya kerana desakkan orang ramai yang bukan berada di dalam situasi saya," katanya.

Felixia Yeap kini lebih dihormati

‘Kerakusan manusia’. Mungkin dua perkataan itu boleh menggambarkan akan situasi sebenar yang dialami oleh Felixia Yeap.

Masakan tidak, model Playboy Bunny pertama berwarganegara Malaysia itu boleh 'bertukar' sehingga 360 darjah dalam membawa perubahan imej terkininya, menutup aurat dan bertudung litup.

"Setelah hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia peragaan, saya tidak nafikan banyak perkara tidak manis pernah dilihat. Bukan saja melihat, malah saya juga mengalaminya sendiri.

"Lebih-lebih lagi, apabila haluan peragaan yang saya terjerumus dulu, memerlukan modelnya berimej seksi dan 'hot' untuk mendapat lebih kerja. Ketika itu, tiada unsur agama hadir dalam hidup saya.

"Saya kecewa dengan individu yang mendekati atas tujuan mengambil kesempatan dan bukannya kerana prestasi kerja, keperibadian dan disebabkan perkara ini juga saya sering dipandang remeh," katanya.

Jelasnya, situasi berkenaan membuatkan dia sedih dan tertekan sekali gus mula memberi sepenuh tumpuan kepada penampilan wanita Muslimah.

"Saya tahu diri saya lebih berharga daripada itu. Saya berhak untuk dihormati dan bukannya hanya dipandang sebagai simbol seks semata-mata.

"Setelah saya mula memberi perhatian terhadap wanita berhijab, saya merasakan mereka jauh lebih anggun, cantik dan manis dipandang semua. Malah setelah saya mulai berhijab, golongan Adam yang mengacau sudah berkurangan.

"Saya tidak lagi dipandang pada aset fizikal sebaliknya mulai dilihat dari segi keperibadian, cara pemikiran, intelek dan bakat," jelasnya.

Pada masa sama, Felixia berharap menjadi satu contoh dan teladan yang lebih baik kepada semua. Duta butik Neng Geulls ini juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama ibunya.

"Sejak berhijab, ibu menyaksikan sendiri perubahan ketara yang dialami. Jika dulu, saya seorang panas baran dan berfikiran sempit, kini jauh lebih tenang dan berfikiran lapang serta terbuka.

"Saya gembira atas perubahan positif dan lebih seronok apabila ibu dapat menerima saya seadanya," kata pengamal diet pescetarian iaitu yang hanya memakan makanan laut, telur, tauhu dan sayur ini.

Perubahan imej sekat punca rezeki?

Pada masa sama, penghijrahan imejnya itu turut terkena tempias kepada lubuk rezekinya.

Bagaimanapun, si cantik manis ini tidak menganggap situasi berkenaan sebagai satu masalah besar, sebaliknya dia bersedia dengan segala kemungkinan.

"Mungkin ada yang menganggap saya pelik dan tidak masuk akal, tapi saya lebih suka mengambil sikap suka berserah dan reda mengharungi pelbagai cabaran.

"Saya lebih sayangkan diri dan kehormatan saya sebagai seorang wanita. Tidak pernah saya sangka walau segenap detik pun yang sebaliknya akan berlaku.

"Sehingga kini, saya sentiasa bersyukur dengan berkat dan rezeki yang dikurniakan," katanya yang belajar memakai hijab melalui laman sosial You Tube.

Malah, Felixia juga bakal bergelar usahawan apabila kini sedang merancang untuk memulakan bisnes fesyen pakaian Muslimah suatu hari nanti.

Dalam pada itu, gadis berusia 28 tahun ini memberitahu dia telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

"Asalnya, saya rancang untuk berkahwin sebelum berumur 25 tahun, tapi manusia hanya merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya.

"Paling utama, lelaki pilihan saya itu mestilah boleh membimbing saya dalam semua hal termasuk hal agama dan duniawi," katanya yang turut berminat pada jejaka yang matang dalam semua perkara.

Nikah kita bercinta

Dalam perkembangan lain, model profesional ini turut meluaskan lagi kariernya melalui percubaan pertamanya dalam bidang lakonan.

Malah, telefilem pertama lakonannya, Nikah Kita Bercinta, gandingannya dengan aktor meningkat naik, Azlee Khairi mendapat sambutan yang cukup positif daripada peminatnya.

"Saya sudah lama ingin berlakon tetapi tidak pernah mendapat watak yang sesuai dan diinginkan.

"Watak yang saya inginkan ialah watak gadis seperti saya, kerana saya berharap watak seperti saya sendiri boleh mengeratkan silaturahim antara kaum-kaum di Malaysia dan menggalakkan lebih ramai gadis untuk menutup aurat tidak kira agama atau kaum," kata duta Seri Emas ini.

Mengakui menerima kritikan melalui cubaan kali pertamanya itu, Felixia percaya ia adalah perkara biasa yang perlu dihadapi.

"Nikah Kita Bercinta, adalah cubaan pertama saya. Saya sememangnya tiada langsung pengalaman berlakon dan bersedia untuk menerima semua kritikan yang membina ini.

"Saya sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menunjukkan bakat saya dan lebih manis lagi apabila diberi peluang untuk memegang watak utama dalam telefilem pertama ini.

"Saya berharap dapat memperbaiki mutu lakonan saya dari semasa ke semasa," katanya.

Felixia kini terbabit dalam penggambaran drama bersiri Sarafina arahan Along Kamaluddin di samping aktor Amar Asyraf, Josiah Hogan dan Sari Yanti.

NORHIDAYYU ZAINAL FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Sumber: Sinar Harian [9 Mei 2014]

Minta diberi ruang, akan buang gambar lama

Bagi menunjukkan betapa seriusnya Felixia Yeap untuk berubah disamping terlalu banyak desakan peminat, Felixia Yeap akhirnya menegaskan bahawa beliau dalam proses membuang gambar-gambar lamanya di laman sosial Facebook.

"Gambar-gambar lama tu saya akan delete (padam), tapi ianya akan makan masa berminggu-minggu (tanpa kerja atau buat kerja lain) ...kerana ianya adalah gambar dari tahun 2010/2011 sehingga sekarang, jadi bukan satu dua gambar, tapi beribu-ribu," kata beliau di Facebook.

"Buat masa ni saya masih tidak stabil dari segi kewangan, dan perlu tumpukan perhatian dalam kerja, selain daripada luangkan masa untuk belajar mengenai agama Islam," tambah beliau lagi.

Yeap juga berharap peminat tidak terlalu mendesak dan juga berharap tekanan dari orang ramai terus berkurangan. Rata-rata respon peminat menyarankan Yeap bersabar dengan dugaan yang melanda

"Be strong Felixia Yeap. Kadangkala ALLAH hilangkan mentari... kemudian Dia datangkan guruh...puas kita menangis... mencari mana mentari kita... rupa-rupanya ALLLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah.

Oleh itu sabarlah duhai insan, ada kemanisan disebalik kepahitan. InsyaALLAH.." antara respon pelayar yang membaca luahan hati bekas model tersebut.

"Pada yang di luar sana jangan menilai manusia itu dari kisah silamnya. Islam itu mudah, jangan kita susahkan dan sukarkan pada mereka yang ingin mengenal Islam.

Cermin diri kita sendiri yang sedia Islam, adakah kita sudah menjadi contoh pada mereka? Ramai di luar sana yang sedia Islam dan lahir dalam Islam yg masih 'bertelanjang' auratnya..kenapa tidak menegahnya?

Berilah kesabaran anda pada Felixia Yeap agar dia terus kuat," tulis seorang lagi peminatnya.

Sumber: Sinar Harian

Islam agama mendamaikan!

Bergelar saudara baru, Felixia memberitahu, dia memilih untuk mengekalkan nama sebenarnya, Yeap Chin Yee yang diberi oleh ibunya.

“Saya masih berbangsa Cina. Nama Cina saya bermaksud ketenangan dan keanggunan atau di dalam bahasa Inggerisnya bererti, Silent Grace.

“Saya cuma akan menambah nama kurniaan daripada mimpi saya di hadapan nama asal,” katanya.

Menjelaskan nama yang diperoleh melalui mimpi, Felixia memberitahu, pada satu malam, dia didatangi mimpi bayangan seolah-olah jubah putih yang berlalu pergi secara perlahan-lahan.

“Daripada situ, saya melihat dua patah perkataan dalam warna keemasan di atas papan putih yang bercahaya terang. Saya kemudiannya bangun dan mencatatkan nama tersebut sebelum terlupa.

“Saya seolah-olah tahu, nama itu adalah kurniaan buat saya apatah lagi apabila saya tidak pernah mendengar langsung nama tersebut.

“Tetapi, apabila saya mencari maksudnya, baharulah saya tahu keindahan nama terbabit,” katanya yang memilih ...... Rania sebagai nama Islamnya.

RAISYYAH Rania Yeap adalah namanya kini.

Biarpun baru saja memeluk Islam, namun Felixia Yeap sebenarnya telah pun berusaha mendalami ilmu Islam sejak melakukan transformasi dalam berpakaian.

Kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu, Islam adalah sebuah agama yang mendamaikannya sekali gus berjaya membuatkan dirinya jatuh cinta dengan agama tersebut.

"Jika hanya sehelai kain yang menutupi rambut wanita boleh memberikan saya ketenangan dan kedamaian. Bagaimana pula dengan ajaran-ajarannya yang lain?. Pastinya ia juga mendamaikan," katanya.

Menurutnya, pembelajarannya dalam mendalami Islam bermula dengan membuat pelbagai bacaan.

"Selain membaca, saya juga memerhatikan cara-cara Muslimah solehah bercakap. Saya lihat betapa santun dan sederhananya mereka, tetapi tetap bahagia dan bersyukur. Jadi di situ, saya sedar saya mahu mempelajari lebih.

"Lagi pun, dalam hal mencari ilmu, sampai mati pun tak habis. Biarlah perkara ini berlaku sedikit demi sedikit," katanya.

Malah, Felixia menganggap pelajaran baharunya itu bukanlah sesuatu yang membebankan.

"Saya masih belajar cara bersolat dengan betul. Saya juga sudah menghafal surah Al-Fatihah dan beberapa perkara asas lain, selain sudah beberapa bulan mengikuti kelas usrah. Melalui kelas usrah yang dihadiri, saya masih cuba menyerap seberapa banyak ilmu dan kefahaman yang boleh," katanya.

Sokongan keluarga

Tambah Felixia, keputusannya memeluk Islam disokong penuh oleh keluarga terutama ibunya yang turut menyaksikan perubahan dalam dirinya selepas mendalami Islam.

"Selepas bercerai, saya dibesarkan oleh ibu. Jadi, ibu sangat mengetahui semua perangai saya. Dulu, saya seorang panas baran, senang melenting dan berfikiran sempit tetapi kini jauh lebih penyabar dan tenang serta bersikap terbuka.

"Biarpun ibu berbangsa Cina tetapi cara hidupnya tidak terlalu bebas malahan menjaga adab termasuk aspek pakaian yang tertutup dan sopan," katanya yang menghentikan sebarang kegiatan peragaan yang memerlukannya berpakaian menjolok mata.

Katanya, ibunya sangat mengambil berat akan hal dirinya sehingga dalam membentuk menjadi Muslimah yang baik.

"Saya gembira ibu dapat menerima saya seadanya dan gembira atas perubahan positif saya. Kini, tugas saya adalah untuk menjadi Muslimah yang baik dan boleh diteladani," katanya yang tidak pernah memaksa ahli keluarganya untuk memeluk Islam..

Sementara itu, apa yang lebih manis, Felixia memeluk Islam di kala masyarakat Islam seluruh dunia sedang menyambut bulan penuh keberkatan, Ramadan.

Malah, model jelita ini mengakui sudah pun menunaikan rukun Islam yang ketiga sejak dari hari pertama Ramadan lagi.

"Apabila berpuasa, ia membuatkan saya lebih fokus sekali gus menyebabkan lebih tekun untuk membaca, mempelajari dan menambah ilmu Islam.

"Ibadah ini mengajar saya erti kesabaran dan bersyukur di atas nikmat kurniaan yang ALLAH SWT berikan.

Oleh: NORHIDAYYU ZAINAL
Sumber: Sinar Harian [4 Julai 2014]

1 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
tahniah..moga dipermudahkan segala urusan