Nuff Atas

06 Julai 2014

Berakhirnya Legasi Kem Majidee

Pemandangan dari bahagian udara Kem Majidee bakal dibangunkan semula.
Pemandangan dari bahagian udara Kem Majidee.

TEPAT jam 6.30 petang, 21 Jun 2014 lalu, tiupan trompet mengalunkan lagu ‘The retreat’ menandakan berakhirnya mercu tanda pertahanan negara di selatan tanah air, apabila secara rasminya Kem Majidee Johor Bahru ditutup.

Penutupan kem tertua di negara ini yang berusia 74 tahun itu diadakan dengan penuh istiadat ketenteraan, serentak alunan lagu ‘keramat’ itu dimainkan, kesemua bendera pasukan diturunkan dan bermulalah perbarisan Paluan Berundur Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja.

Kem ini meliputi kawasan seluas kira-kira 132 hektar itu beroperasi selama 74 tahun sejak penubuhannya pada Mac 1940.

Kem Majidee yang terletak di tengah–tengah Bandar Johor Bahru, merupakan kem yang masih utuh bakal diserahkan kepada Syarikat Selia Pantai Sdn Bhd bermula 1 Julai 2014 ini untuk pembangunan Kota Southkey.


Sejarah kem Majidee

Kedudukan kem tersebut di antara Jalan Bakar Batu dan Jalan Tebrau, di tengah-tengah kepesatan pembangunan ibu negeri Johor telah meninggalkan 1,001 kenangan khasnya buat seluruh warga tentera darat.

Sejarah penempatan pasukan di Kem Majidee bermula dengan penubuhan pasukan elit Tentera Darat-Rejimen Gerak Khas Malaysia atau dikenali sebagai Pasukan Komando Malaysia seawal 1965.

Menteri Pertahanan ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein mengarahkan sukarelawan dari Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia mengambil bahagian dalam ujian pemilihan.

Pada 25 Februari 1965, satu Latihan Asas Komando diperkenalkan dan dikendalikan oleh 40th British Royal Marines Commando di Kem Majidee. Melalui latihan intensif berkenaan, lahirnya 15 pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang menjadi perintis kepada Pasukan Elit Tentera Darat Rejimen Gerak Khas Malaysia yang sehingga kini digeruni dan dibanggakan oleh tentera darat.

Sejak 1957, lain-lain pasukan yang pernah menduduki Kem Majidee seperti Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja, Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Batalion ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut ditempatkan di sana adalah Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja, Depot Peluru dan Letupan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Rejimen 501 Askar Wataniah.

Kem Majidee menjadi perintis kepada pasukan Komando, pasukan elit tentera darat-Rejimen Gerak Khas yang sehingga kini menjadi kebanggaan tentera darat.

Kem itu akan berpindah ke Banang, Batu Pahat dan pembinaan kem baharu di atas tapak seluas 140 hektar dijangka membabitkan kos kira-kira RM126 juta.

Sejumlah 2,500 anggota daripada pelbagai pasukan terlibat dengan perpindahan ke kem-kem lain berikutan penutupan kem ini.

Pasukan terakhir menduduki Kem Majidee adalah Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipindahkan ke Kem Bukit Banang, Batu Pahat.

Lima pasukan lain iaitu Batalion pertama Rejimen Renjer Diraja berpindah ke Kem Ulu Tiram termasuk 810 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Trup Semboyan 91 Rejimen Semboyan Diraja, Platun Kor Perkhidmatan Diraja dan Markas Staf Stesen.

Kedudukan tidak lagi sesuai sebagai lokasi pertahanan

Seiring usianya, Kem Majidee tidak terkecuali mengalami proses pembangunan susulan kedudukannya strategik di tengah bandar menyebabkan tempias transformasi gagal dielakkan.

Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Kamdi Kamil mempunyai pandangan terhadap berakhirnya legasi kem tentera tertua itu.

Menurutnya, pembangunan pesat di bandar raya Johor Bahru turut merubah persekitaran kem berkenaan yang dahulunya hanya dikelilingi kawasan tanaman getah dan perkampungan namun hari ini, ia dikelilingi dengan bangunan komersial, pusat membeli-belah dan perumahan moden.

“Hari ini, Kem Majidee terhimpit pembangunan berikutan lokasinya yang strategik di pusat bandar Johor Bahru, namun tidak sesuai untuk aspek ketenteraan.

“Walaupun peranan kem tentera itu berbeza ketika zaman peperangan dan darurat, Kem Majidee merupakan warisan pertahanan di bandar sekiranya berlaku kekacauan dan kini ia menjadi milik Kem Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada),” katanya.

Kamdi berpendapat, apabila pembangunan Southkey bermula pihak bertanggungjawab perlu mempertimbangkan supaya sebahagian bangunan kem dikekalkan seperti kuarters yang dihuni anggota tentera.

“Sebaiknya tidak keseluruhannya diwujudkan premis perniagaan, saya berpendapat ia juga wajar dibangunkan perumahan, namun kosnya mampu dimiliki khususnya orang Melayu.

“Tiada halangan bagi saya untuk membangunkan sesuatu kawasan, namun jika melibatkan tempat bersejarah dan warisan sebaiknya ia dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang, sebagai contoh Turki masih mengekalkan bangunan bersejarah yang dibina sebelum Masihi di Izmir,” katanya.

Dewan Kem Majidee yang mungkin menjadi sejarah selepas pembangunan di kawasan itu.
Dewan Kem Majidee yang mungkin menjadi sejarah selepas pembangunan di kawasan itu.

Suntik elemen Kemelayuan, kekal nama Majidi

Kamdi yang juga penulis buku 100 Tokoh Melakar Sejarah turut berkongsi serba sedikit latar belakang kem yang mengalami beberapa era pemerintahan dari zaman British diikuti pentadbiran Tentera Jepun apabila berjaya menawan Johor Bahru sebelum ke Singapura.

“Sebagai kem tentera darat tertua, ia telah menempuh zaman peralihan kuasa bermula dengan pemerintahan British, Kem Majidee kemudiannya digunakan sebagai markas Tentera Jepun selepas berjaya menguasai Johor Bahru.

“Ketika tentera Jepun berjaya merampas kuasa, maka tentera British terpaksa berundur, sejak daripada itu bukan sahaja Kem Majidee malah beberapa bangunan kerajaan di sekitar Johor Bahru turut digunakan Jepun,” katanya.

Menyingkap zaman pemerintahan sebelum merdeka itu, Kamdi berkata, dalam masa empat tahun pemerintahan tentera Jepun, bangunan kerajaan termasuk hospital, Bangunan Bukit Timbalan dan Bangunan English Collage telah ditawan.

Bagaimanapun selepas  kebangkitan Tanah Melayu, Kem Majidee kembali diserahkan kepada British dan kemudian diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 11 November 1957.

Penggunaan nama kem tersebut sebagai Kem Majidee adalah lanjutan kawasan kem tersebut di sekitar kawasan bernama Majidee.

“Ketika itu, kem berkenaan termasuk sekolah-sekolah menggunakan nama ‘Majidi’ iaitu sempena menghargai jasa tokoh juga Pengasas Johor iaitu Ungku Majid Temenggung Ibrahim.

“Dalam konteks pemilihan nama Southkey, sebagai orang Melayu saya berpendapat lebih baik elemen kemelayuan dikekalkan.

“Jika kita lihat di bandar-bandar besar, kebanyakan nama tempat menggunakan nama Inggeris. Sepatutnya kita perlu ada jati diri dan bangga menggunakan Bahasa Melayu.

“Sebagai contoh di Indonesia, rakyat mereka begitu berbangga untuk menggunakan Bahasa Indonesia walaupun mempunyai pengaruh Belanda,” katanya.

Kem Majidee lahirnya perwira

Kem Majidee menjadi satu kemegahan bagi warga tentera darat kerana telah melahirkan ramai perwira negara sejak di zaman penjajahan sehingga kini.

Keputusan menutup kem berkenaan ternyata memberikan khabar duka kepada anggota khususnya veteran tentera yang menyimpan 1001 kenangan buat mereka.

Perkara ini diakui seorang veteran tentera darat, Selamat Mohd Sahil, 75, yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Waran I sebelum bersara pada 1982.

Walaupun hanya setahun bertugas di Kem Majidee, namun Selamat mengakui hatinya begitu hiba kerana kem yang menjadi kebanggaan seluruh anggota tentera bakal lenyap.

“Ia adalah satu kemegahan bagi kami tetapi apabila ianya bakal diruntuhkan, maka segalanya akan tinggal kenangan. Generasi akan datang tidak dapat lagi melihat keadaan sebenar kem sedangkan ia kem pertama dibina di negara ini.

“Apabila ia ditutup dan diganti dengan yang lain...yang tinggal adalah nama sedangkan sebelum ini apabila kita datang di Johor Bahru, kem ini tersergam indah dan menjadi simbolik kepada pertahanan tanah air,” katanya.

Menceritakan kenangan manisnya, Selamat berkata, padang tembak di kem terbabit menjadi lokasi yang tidak akan dilupakannya walaupun telah lebih 30 tahun bersara.

“Setiap kali mendengar tembakan dan letupan meriam di padang tembak berkenaan ia menjadi penguat semangat untuk kami. Ini kerana ketika itu tugas tentera agak mencabar tidak. Ketika menyertai tentera negara sedang berhadapan serangan komunis.

“Kini padang tembak tiada lagi kerana memberi laluan kepada projek lebuh raya, namun hati saya amat sebak apabila selepas ini Kem Majidee hanya tinggal sejarah,” katanya.

Tidak dapat menahan sebak

Sementara itu, Pembantu Kesihatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Majidee, Mohd Parman Supar yang bertugas di kem berkenaan sejak 1974 memberitahu, beliau tidak menahan sebak ketika alunan lagu retreat dialunkan semasa istiadat Paluan Beurndur.

“Saya berkhidmat bersama angkatan tentera pada 1974 dan Kem Majidee merupakan kem pertama saya sebelum diserap mengangkat senjata pada 1980 menentang komunis," katanya.

Selepas itu, Parman kembali semula ke Kem Majidee pada 1998 sehingga kini, namun di penghujung perkhidmatannya sebagai kakitangan awam, kem berkenaan ditutup bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

“Saya begitu sebak kerana kem pertama saya bertugas bakal lenyap. Sudah pasti ia akan kekal di dalam ingatan saya sehingga akhir hayat.

“Generasi akan datang juga mungkin hanya mengetahui sejarah Kem Majidee melalui pembacaan dan jika filem Prebet Lapok arahan AR Badul itu ditayangkan semula, ia dapat mengimbau kembali keadaan kem ini kerana penggambaran filem dijalankan di sini,” katanya.

Mohd Parman memaklumkan, dia turut terlibat sebagai pelakon tambahan dalam filem era 1980-an itu sebagai pemandu trak.

“Saya tidak melepaskan peluang untuk hadir pada Istiadat Paluan berundur kerana ia jarang dipertontonkan lebih-lebih lagi melibatkan Kem Majidee yang banyak menyimpan kenangan sepanjang saya bertugas,” katanya.

Walaupun bakal mencecah usia emas, semangat perjuangan masih kekal di jiwa Mohd Parman, malah semangat terbabit turut diwarisi cucunya, Abdul Hakim Abdul Syawal, 3, yang menunjukkan minat dalam ketenteraan.

“Saya membawa cucu saya untuk menyaksikan sendiri istiadat yang begitu bersejarah bagi seluruh anggota tentera khususnya yang pernah bertugas di Kem Majidee,” katanya.

Imbas Kenangan

Bagi Mejar Mohd Ziarul Aflah Mohd Fadzil daripada Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Tebrau, kehidupannya sebagai askar bermula di Kem Majidee apabila beliau menjalani pemilihan pada 1998 ketika berusia 21 tahun.

"Setiap askar pasti melalui saat yang sama dalam kehidupan mereka iaitu menjejakkan kaki di kem ini sebelum memulakan kehidupan seterusnya sebagai seorang askar," kata beliau ketika mengimbas kembali kenangannya di kem itu.

Kapten Boniface Anak George pula mempunyai kenangan manis ketika zaman kanak-kanak semasa tinggal di kem itu selama tiga tahun mengikuti bapanya yang berkhidmat di Batalion 2, Rejimen Renjer Diraja.

Boniface, 35, bersama-sama Mohd Ziarul, turut menjalani latihan pada tahun yang sama dan di kem yang sama.

Istiadat Penutupan

Ketua Kompeni Bantuan bagi Satu Renjer Kem Ulu Tiram itu adalah antara sebahagian anggota tentera dan keluarga yang hadir pada Istiadat Paluan Berundur, tradisi simbolik sempena penutupan Kem Majidee secara rasmi hari ini.

Istiadat itu dimulakan dengan pertunjukan pancaragam gabungan rejimen 5, 10, 14 dan 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang memainkan lagu seperti Adik Sayang, Tari Tualang Tiga, Inilah Barisan Kita sambil menari.

Ini disusuli dengan persembahan pantomen berkisar tentang sejarah Kem Majidee dengan anggota-anggota tentera melakonkan semula babak-babak penyerahan Kem Majidee oleh askar Jepun kepada Angkatan Tentera British dan penyerahan kem itu kepada kerajaan Malaysia pada 11 Nov 1957.

Tiupan tetuang (trumpet) mengalunkan lagu 'The Retreat' berkumandang serentak dengan penurunan bendera semua pasukan yang secara simboliknya menandakan selesainya tugas-tugas am untuk hari itu.

Deklamasi sajak bertajuk 'Nafas Terakhir Majidee' hasil nukilan Lt Shaiful Ridzuan Abdul Rahim dipersembahkan oleh Mejar Mohd Radzi Othman, daripada Rejimen 10 RAMD.

Istiadat berakhir dengan penyerahan bendera pasukan kepada pegawai pemerintah dan teriakan gempur wira sebanyak tiga kali.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima 3 Divisyen Mejar Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Panglima 7 Briged Brigedier Jen Ab Aziz Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.

Pelan pembangunan SouthKey dilancarkan pada 2012 akan dibina di atas tanah Kem Majidee, Johor Bahru.
Pelan pembangunan SouthKey dilancarkan pada 2012 akan dibina di atas tanah Kem Majidee, Johor Bahru.

Majidee kepada Southkey

Pelancaran projek mega bersepadu SouthKey diisytiharkan pada 25 Februari 2012, di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Projek oleh syarikat Selia Pantai Sdn Bhd itu, hasil kerjasama pintar awam-swasta iaitu antara Kumpulan Selia dan Kerajaan Johor menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ).

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion itu, melibatkan kawasan 133 hektar dan tempoh 15 tahun untuk disiapkan yang mendapat pandangan konsultan oleh perancang utama, Prof Philip Cox dari Cox Architects di Sydney, Australia.

Fasa pertama pembangunan, melibatkan GDV bernilai RM2 bilion di Zon Perdana A dalam Iskandar Malaysia itu sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

Pengerusi SouthKey Properties Sdn Bhd, Datuk Abdul Karim Ahmad Tarmizi berkata, ia dibangunkan menerusi sembilan presint bandar moden yang mempunyai kawasan komersial, penempatan, hotel dan bermacam lagi.

“Pembangunan utama projek ini didukung 60 peratus komponen komersial seperti taman perniagaan, kedai pejabat, gedung beli belah, hotel, pusat perubatan, kolej pangsapuri dan sebanyak 10 peratus hartanah termasuk perumahan.

Manakala selainnya adalah infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya.

Abdul Ghani menerusi kenyataan di majlis pecah tanah, mengandaikan projek ini memberi nafas baru kepada bandar raya Johor Bahru.

“Berdasarkan lokasi SouthKey yang strategik dan komponen pembangunannya yang menarik, ia mempunyai daya tarikan tersendiri dengan gaya kehidupan moden yang memberi nafas baru kepada Johor Bahru,” katanya.

Sumber Artikel 1:
Oleh: SITI NOOR SEPEE dan NORSHIKIN MOHD SALLEH
Sumber: Sinar Harian [28 Jun 2014]

Sumber Artikel 2: BERNAMA

0 comments: