14 Julai 2014

Elak Jadi Mangsa Penipuan Peniaga Online



Keseronokan membeli barang di atas talian atau 'online', membuatkan ramai yang memilih cara berkenaan, yang dianggap mudah, cepat dan menjimatkan, bagi mendapatkan produk mahupun perkhidmatan.

Lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ini, pembelian secara online meningkat berkali-kali ganda dengan pelbagai promosi oleh peniaga yang mengambil peluang sempena kedatangan Aidilfitri ini.

Trend pembelian melalui online, yang menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat hari ini turut diakui Pos Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan penghantaran melalui Pos Laju.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim berkata trend itu semakin ketara sejak tiga tahun lepas, apabila jumlah pengeposan barangan meningkat dalam tempoh itu.


Pada tahun 2011 sebanyak 29 juta pengeposan barang dibuat meningkat kepada 30 juta pada tahun 2012 dan terus meningkat kepada 40 juta pada tahun lepas.

Kebiasaannya pada bulan Ramadan akan berlaku peningkatan pengeposan antara 25 hingga 30 peratus terutama dua minggu terakhir sebelum hari raya, katanya.

PEMBELI TEGAR ONLINE

Sebut sahaja apa yang diinginkan, produk pakaian dan tudung, barangan bayi, makanan, pakej percutian, barangan elektronik segala-galanya ada. Tidak perlu bersesak di pusat membeli-belah dan meredah kesesakan di jalan raya, semuanya boleh dibeli di hujung jari dan akan sampai terus ke tangan pembeli.

Selain mudah dan menjimatkan masa, pengguna juga mempunyai banyak pilihan untuk "mencuci mata" mencari barangan yang diperlukan dengan lambakan laman-laman sosial yang digunakan peniaga seperti Facebook, Twitter, Blog, Instagram mahupun WhatsApp.

"Masalah mencari tempat letak kereta dan kesesakan jalan raya antara sebab saya lebih suka membeli barang melalui online", menurut Maznah Abu Bakar, 40an yang juga pembeli tegar di dalam talian.

Beliau, yang bertugas sebagai penjawat awam berkata, kebiasaannya beliau hanya ke kedai untuk membeli barangan dapur manakala untuk produk lain, lebih selesa membeli melalui online.

"Bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga menjimatkan perbelanjaan kerana tidak perlu fikir duit minyak, tol mahupun parking. Kalau ke kedai atau pusat membeli-belah biasanya mesti akan terbeli barang-barang yang tidak diperlukan, katanya yang turut membuat persiapan hari raya dengan membeli pakaian secara online.

Ujar Maznah, membeli secara online membuatkan beliau lebih fokus terutama untuk membuat pilihan terbaik dalam setiap pembelian. Antara perkara yang diberi keutamaan ialah memilih peniaga yang diyakini dengan mengkaji latar belakang perniagaan serta barangan yang dijual setelah membaca maklum balas daripada pembeli lain.

"Selepas melihat barang-barang yang dijual sama ada di blog dan laman sosial, jika ada yang disukai, saya akan buat perbandingan harga dahulu dan setelah puas hati baharulah saya membuat transaksi", katanya.

Sejak aktif membeli secara online setahun yang lepas, beliau mengakui tidak pernah ditipu kecuali pernah merasa tidak puas hati dengan barang yang diterima kerana tidak mencapai kualiti seperti yang diharapkan.

Bagi mengelakkan kejadian yang sama, beliau lebih berhati-hati ketika membeli dengan menghubungi peniaga untuk kepastian bagi setiap barangan yang dipesan.

"Penting untuk pembeli membaca setiap aturan pembelian dan ketahui dahulu jenis, kualiti dan bahan sesuatu barangan sebelum membuat pengesahan pembelian dan bayaran", katanya.

KES DI TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Walaupun ada segelintir mengambil sikap berhati-hati ketika membeli secara online, masih ramai dalam kalangan pengguna yang mengambil mudah ketika berbelanja dek keghairahan mendapatkan sesuatu barang yang diinginkan.

Banyak perkara yang sering terlepas pandang oleh pengguna sehingga menjadi mangsa penipuan peniaga online.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merekodkan 30 kes tuntutan yang difailkan melibatkan transaksi pembelian secara online dari Januari hingga Mei tahun 2014 ini. Ia menunjukkan peningkatan kerana 61 kes tuntutan difailkan sepanjang tahun 2013 lepas.

Kes-kes yang dilaporkan melibatkan lebih 40 jenis produk dan perkhidmatan yang antaranya baucar percutian, barangan elektronik, telefon, perkhidmatan percetakan, pakaian, eksesori wanita, ubat-ubatan dan kereta terpakai.

Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan menjadi tiga negeri tertinggi merekodkan kes tuntutan yang difailkan berkaitan pembelian dan perkhidmatan melalui online.

Untuk rekod, sejak 2011 hingga pertengahan tahun ini, sebanyak 137 kes tuntutan melibatkan pembelian secara online yang dibuat pengguna.

PERATURAN PENIAGA ONLINE

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggariskan Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang dikuatkuasakan pada 1 Julai, 2013.

Tujuannya bagi meningkatkan keyakinan pengguna yang menjalankan transaksi secara online dengan memberi perlindungan yang menyeluruh. Namun berapa ramai peniaga dan pengguna yang mengetahui perkara ini?.

Antara peraturan yang diwajibkan kepada peniaga, mereka perlu mendedahkan maklumat pada tapak web di mana perniagaan dijalankan iaitu nama peniaga online, nombor pendaftaran perniagaan dan syarikat dan alamat e-mel, nombor telefon atau alamat penjual online.

Harus memaklumkan ciri utama barang dan perkhidmatan, harga penuh termasuk kos pengangkutan, cukai dan kos lain, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran kepada pembeli.

Peniaga juga harus menyediakan ruang untuk pembeli membetulkan sebarang kesilapan sebelum mengesahkan pesanan dan segera memaklumkan kepada pembeli setelah menerima pesanan.

Di bawah peraturan-peraturan itu, sekiranya peniaga gagal mematuhinya, denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi individu dan denda maksimum sebanyak RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan.

Untuk kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun boleh dikenakan atau kedua-duanya untuk individu , manakala bagi pertubuhan perbadanan denda maksimum ialah RM200,000.

PANDUAN PENGGUNA

Pengguna sendiri harus memainkan peranan masing-masing bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan antaranya tidak terburu-buru membuat pembelian dan harus memastikan peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sehingga kini, sebanyak 616 syarikat dan 19,198 peniaga yang menjalankan aktiviti atau perniagaan melalui internet berdaftar dengan SSM.

Beberapa panduan juga boleh diambil pengguna sebelum menjalankan transaksi melalui online yang disarankan KPDNKK bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dengan:

1) Buat perbandingan harga terlebih dahulu dan peka dengan harga pasaran serta jangan mudah terpedaya dengan penawaran harga murah.

2) Semak latar belakang syarikat atau perniagaan di Malaysia yang menawarkan produk di internet dengan membuat pengesahan alamat pernigaan dan lesen perniagaan dengan (SSM) bagi mengesahkan ketulenan perniagaan.

3) Untuk lebih kepastian, buat kajian dengan membaca maklum balas yang dibuat oleh orang yang pernah membeli barang daripada syarikat atau individu yang sama bagi mendapatkan idea terbaik.

4) Lakukan transaksi hanya melalui laman web yang selamat dan boleh dipercayai. Seelok-eloknya pastikan pemilik laman web itu memiliki ikon yang menunjukkan ia mengambil pendekatan program keselamatan tertentu.

5) Sekiranya membeli dari laman web asing atau syarikat luar negara, elok difikirkan kos dan nilai barangan mengikut matawang tempatan termasuk kos yang perlu ditanggung untuk proses penghantaran ke rumah kerana kebiasaannya kos penghantaran lebih mahal daripada yang disangkakan.

6) Dapatkan butiran peribadi penjual dengan menghubungi terlebih dahulu bagi sahkan barangan yang hendak dibeli termasuk tempoh masa barangan akan sampai.

7) Pastikan kaedah pembayaran yang dilakukan dalam pembelian itu dan elak daripada mendepositkan wang ke pemegang akaun selain daripada nama penjual.

8) Baca dan fahami terma dan syarat pembelian, sekiranya boleh memulangkan barang jika tidak berpuas hati terutama produk berbeza yang dihantar ke rumah anda.

9) Cetak resit atau bukti pembayaran untuk disimpan sehingga produk yang dibeli sampai ke tangan anda.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA

1 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
membeli dlm talian ni memang bereskio besar dan peluang kita kena tipu terlalu tinggi peratusnya jika dibandingkan dgn beli terus dari kedai..