25 Julai 2014

Ramadan Dan Kemenangan Islam


KEMENANGAN tentera Islam pada Perang Badar telah memberi suntikan semangat luar biasa dalam peluasan dakwah Islamiah. - Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH dengan kunjungan Ramadan dan turunnya al-Quran pada bulan ini adalah salah satu isyarat bahawa kemenangan Islam sudah pasti wujud berdasarkan catatan sejarah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.(al-Baqarah: 185)

Madrasah Ramadan merupakan madrasah jihad dan kemenangan yang dicatatkan di dalam sejarah Islam sebagai contoh antara peristiwa besar yang mewarnai sejarah kegemilangan umat Islam itu ialah:


Permulaan Nuzul al-Quran (25 atau 17 Ramadan). Ia merupakan titik permulaan peradaban manusia. Ini kerana ia menyingkap kegelapan jahiliah seterusnya dipancarkan sinar keilmuan Islam melalui kitab Ilahi dengannya tertegak tamadun Islam dan insan. Maka beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci al-Quran yang menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.

Kemenangan dalam Peperangan Badar pada tahun ke-2 Hijrah, di mana tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan yang amat daif tetapi membawa ketinggian iman dan keyakinan kepada Allah SWT, telah dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah melebihi 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan ini merupakan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan Nabi SAW.

Persediaan Rasulullah SAW daripada sudut ketenteraan dalam menghadapi tentangan golongan Quraisy kerana membalas dendam atas kekalahan peperangan Badar pada tahun ke-3 Hijrah.

Pada tahun ke-5 Hijrah, para sahabat bersedia menghadapi Peperangan Khandak.

Pada tahun ke-6 Hijrah berlaku peperangan kecil membabitkan 130 orang mujahid Islam memerangi Bani Abdillah bin Sa’labah yang menzahirkan permusuhan.

Peristiwa meruntuhkan segala bentuk berhala di Kaabah dan di Kota Mekah pada bulan Ramadan, tahun ke-7 Hijrah.

Pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah, juga berlaku pada bulan Ramadan. Ini hasil daripada pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Dengan kemenangan tersebut, umat Islam dapat menjadikan Mekah sebagai kota Islam di mana terdapatnya Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruhnya.

Kedatangan rombongan Thaqif dari Taif menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan pada tahun ke-9 Hijrah untuk memeluk Islam.

Utusan Rasulullah SAW dengan mengiringi Ali bin Abi Talib ke Yaman pada bulan Ramadan, yang membawa pengislaman penduduk Yaman, iaitu pada tahun ke-10 Hijrah.

Pada tahun ke-13 Hijrah berlaku peperangan al-Buaib di bulan Ramadan. Peperangan ini berlaku di Iraq di antara tentera Islam dan Parsi. Ketua tentera Islam bernama al-Muthanna bin Harithah, manakala ketua Parsi bernama Mahran. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan yang besar di pihak tentera Islam, selain berjaya membunuh hampir 100,000 tentera musuh.

Peperangan Qadisiyah yang menyaksikan kemenangan bergaya tentera Islam menumbangkan Parsi pada tahun ke-15 Hijrah.

Pada tahun 31 Hijrah, pembukaan al-Nubah dan perjanjian al-Qibt. Al-Nubah ialah kawasan di selatan Mesir yang mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Pembukaannya dilakukan oleh seorang sahabat bernama Abdullah bin Saad bin Abi Sarh.

Pada tahun 53 Hijrah, pembukaan Semenanjung Rhodes. Pembukaan ini dilakukan oleh Janadah bin Abi Umayyah pada bulan Ramadan setelah menerima tentangan daripada musyrikin yang merupakan lanun di lautan.

Pada tahun 67 Hijrah terkuburnya negeri al-Mukhtar al-Thaqafi. Seorang pendusta yang sesat yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW yang muncul dalam kalangan Bani Thaqif. Dia mendakwa didatangi wahyu sehingga ulama pada masa itu menyesatkannya. Gabenor Basrah Mus’ab bin al-Zubair telah mengepalai peperangan menentang al-Mukhtar di Kufah dalam satu peperangan yang hebat sehingga akhirnya al-Mukhtar berjaya dikepung dan dipancung kepalanya.

Pada tahun 91 Hijrah, Tariq bin Ziyad berjaya menguasai Kota Andalusia. Peristiwa ini sebagai mukadimah bertapaknya Islam di negara Eropah sehinggalah ke kawasan lain.

Pada tahun 102 Hijrah, peristiwa pembukaan bandar-bandar di negara Perancis. Antara bandar yang dibuka yang dibuka ialah Touloise, Sabtamania dan Urbunah. Kukshonah dan Sans iaitu kawasan yang jauhnya 30 batu dari ibu kota Perancis. Pembukaan ini berjaya dilakukan setelah kekalahan teruk yang dihadapi tentera Perancis di dalam peperangan dengan tentera Islam.

Peperangan ini berterusan sejak zaman Musa bin Nusair menjadi Gabenor Andalus, kemudian diganti dengan anaknya, Abdul Aziz setelah kematiannya. Jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada al-Samh bin Malik al-Khulani atas arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Setelah itu diserahkan kepada ‘Anbasah bin Sulaiman al-Kalbi. Beliau meneruskan kemaraan bersama Islam membuka kota-kota di selatan Perancis.

Semoga dengan catatan ini memberi semangat kepada kita untuk menjadi umat yang cemerlang dan berjaya di dunia seterusnya di akhirat.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sumber: Utusan

0 comments: