24 Julai 2014

Kuasa Surat Kiriman Tetap Releven


Peti surat masih berperanan .....

ZAMAN sekarang kita sudah tidak ambil kisah tentang surat. Malah ada daripada kita sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pejabat pos, atau sudah lama tidak melihat setem kerana segala urusan komunikasi dilakukan secara elektronik.

Emel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pelbagai aplikasi dalam telefon bimbit telah menjadi medium untuk kita berkomunikasi dalam zaman ledakan teknologi maklumat ini.

Tetapi di sebalik semua itu kita masih tidak lupa kepada peti surat yang terdapat di depan rumah. Walaupun zaman dikatakan semakin moden dan penggunaan surat semakin kolot, tetapi kenapa setiap rumah masih memerlukan peti surat.


Setiap daripada kita apabila balik dari kerja setiap hari pasti akan membelek peti surat, sebab mahu melihat kalau ada surat-surat rasmi yang berkaitan dengan bayaran bil, surat bank dan sebagainya.

Sistem komunikasi yang berteraskan digital memang canggih, tetapi sebenarnya, ia masih belum dapat mengambil alih fungsi pos sepenuhnya.

Komunikasi Kontrak

Surat yang diposkan itu sebenarnya mempunyai kuasa tersendiri yang kita sendiri tidak sedari. Sebab itu segala urusan rasmi surat menyuratnya masih lagi menggunakan pos. Komunikasi berkontrak masih lagi diamalkan melalui pos. Contohnya surat rasmi, surat biasa, surat berdaftar, telegram, poskad, courier dan pos laju.

Setiap komunikasi kontrak yang menggunakan sistem pos berada di bawah cabang undang-undang kontrak yang dikenali sebagai Peraturan Pos atau Postal Rule.

Sebab itu, walaupun kita kini mengagung-agungkan komunikasi digital, tetapi penting juga untuk mengetahui prinsip yang digunapakai dalam Peraturan Pos ini.

Rasanya sampai bila-bila pun kita akan berurusan dengan urusan pos terutama yang berkaitan dengan surat rasmi.

Ada antara benda yang membabitkan pos ini pula bertukar menjadi kontrak terutama apabila membabitkan elemen cadangan, penerimaan dan pembatalan.

Kadang-kadang tanpa sedar secara tidak langsung kita telah menggunakan khidmat pos sebagai kaedah untuk melalukan kontrak.

Kontrak melalui pos ini diterima dalam Akta Kontrak yang mana Postal Rule itu termaktub dalam seksyen-seksyen 4(2)(a), 4(2)(b) dan 5(2).

Jadi, jangan anggap mudah urusan pos ini. Melaluinya boleh membentuk satu kontrak yang mengikat kita dengan pihak lain. Oleh itu, berhati-hatilah ketika membuat apa-apa tawaran secara bertulis melalui pos. Kemungkinan orang yang menerima kiriman itu boleh menuntut tawaran berkenaan.

Ini kerana, prinsip kontrak itu sangat mudah iaitu permulaannya adalah wujudnya cadangan daripada pencadang (seksyen 2(a) Akta Kontrak 1950). Penerima dikatakan menerima cadangan tersebut apabila menyatakan penerimaan kepada cadangan pencadang mengikut seksyen 2(b). Apabila cadangan dan penerimaan menjadi lengkap maka terpateri perjanjian antara pencadang dan penerima. Perlu diingatkan bahawa prinsip am ini hanyalah untuk komunikasi yang berbentuk serta merta (instantaneous) sahaja.

Contoh Kes Terawal

Kes awal yang membabitkan pelanggaran kontrak yang terbentuk melalui kaedah pos ialah Adams lawan Lindsell pada tahun 1818.

Dalam kes ini, defendan telah menulis surat dan diposkan kepada plaintiff pada 5 September 1817.

Surat ini hanya sampai di tangan defendan pada 9 September 1817. Defendan pula telah menawarkan untuk menjual bulu kambing tersebut kepada pihak ketiga pada 8 September 1817, iaitu sehari sebelum defendan menerima surat plaintif yang menyatakan persetujuannya untuk membeli.

Undang-undang memihak kepada plaintif di mana Mahkamah memutuskan bahawa penerimaan telah lengkap terhadap pencadang (defendan) pada 5 September 1817, iaitu sebaik sahaja surat penerimaan telah diposkan oleh plaintif kepada defendan walaupun defendan tidak mengetahui perkara tersebut.

Mengikut Postal Rule, persetujuan penerimaan dari penerima dianggap berlaku sebaik sahaja surat yang menyatakan dia menerima tawaran itu diposkan atau dalam perjalanan. Ini kerana sebaik sahaja kita pos surat bahawa kita bersetuju untuk membeli atau menerima sesuatu, ia sudah di luar bidang kuasa kita. Ini tercatat dalam Seksyen 4(2)(a) Akta Kontrak.

Ketika itu pihak yang mengemukakan cadangan itu tentu tidak mengetahui bahawa pihak yang satu lagi telah bersetuju dengan tawaran tersebut kerana surat persetujuan masih dalam perjalanan. Tetapi mahkamah tidak mengambil kira perkara itu. Mahkamah tidak mengambil kira bila tarikh surat itu sampai. Yang diambil kira ialah bila surat itu diposkan.

Contoh Kes Di Malaysia

Di Malaysia kes terawal membabitkan kontrak melalui pos ialah Ignatius lawan Bell pada tahun 1913. Defendan dalam kes ini telah mencadangkan menjual tanahnya kepada plaintif dan membuka cadangannya sehingga 20 Ogos 1912.

Plaintif telah poskan surat penerimaan secara berdaftar pada 16 Ogos 1912 tetapi surat itu tidak sampai kepada defendan sehingga 25 Ogos 1912 kerana defendan tidak ada di rumah.

Mahkamah merujuk Seksyen 4(2)(a) bahawa kontrak yang sah sudah terbentuk pada tarikh plaintif pos surat penerimaan (16 Ogos), maka opsyen untuk menerima cadangan itu masih belum tamat.

Apa yang ketara di sini ialah seksyen ini memaksa pencadang terikat kepada suatu kontrak sebaik sahaja penerima memasukkan surat penerimaannya ke dalam peti pos.

Persoalan bahawa pihak yang mencadangkan tidak tahu mengenai perkara itu tidak diambil kita. Biarpun surat itu sampai lewat, ia tetap dianggap sebagai pihak yang satu lagi telah bersetuju, maka pihak yang mengemukakan cadangan tidak boleh membatalkannya sesuka hati.

Dalam hal ini sama ada surat itu lewat tiba atau tidak sampai langsung, itu tidak diambil kira. Ini sudah tentu satu kelemahan yang membebankan pihak yang mengemukakan cadangan melalui pos tadi.

Maknanya, seandainya kita mengemukakan sesuatu cadangan melalui pos sama ada cadangan mahu jual kereta, jual rumah dan sebagainya, kita perlu tunggu jawapan daripada pihak satu lagi sebelum membuat keputusan untuk menawarkan kepada orang lain.

Situasi ini seperti pepatah Melayu tiada beban batu digalas, kerana sebaik sahaja kita menawarkan sesuatu kepada orang lain melalui pos kita meletakkan diri sendiri dalam dilema kontrak dan risiko pendakwaan undang-undang kerana kemungkinan mungkir kontrak (breach of contract).

Tetapi berbeza pula dengan orang yang menerima kiriman pos itu. Seksyen 4(2)(b) memperuntukkan bahawa penerima tidak langsung terikat dengan penerimaan yang dibuatnya sehinggalah surat penerimaan yang diposnya itu sampai kepada pencadang.

Uniknya pada masa itu pencadang telah pun terikat dengan penerimaan yang dibuat oleh penerima (walaupun dalam kes surat itu belum diterima pencadang). Setiap cadangan kepada sesuatu itu bermula dari pencadang tetapi mengikut Postal Rule, penerima dapat ‘mengikat’ pencadang jika dirujuk kepada keputusan kes-kes dan peruntukan seksyen.

Inilah yang menjadikan Postal Rule satu pengecualian kepada prinsip am kontrak. Namun begitu, prinsip ini lebih berbentuk membebankan dan prejudis kepada pencadang. Prinsip yang telah diterimapakai sejak sekian lama ini seharusnya diperbaiki selaras dengan peralihan zaman, keadaan semasa dan situasi terkini.

Di samping itu, Postal Rule turut menggugat konsep consensus ad idem (persetujuan bersama) kerana pencadang dan penerima tidak terikat pada masa yang sama untuk kontrak yang sama.

Lebih membebankan ialah pencadang akan menanggung kerugian jika penerima membatalkan penerimaannya, yang juga di luar kuasa pencadang. Seksyen 5(2) menegaskan: “Suatu penerimaan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum komunikasi penerimaan itu lengkap terhadap penerima, tidak selepasnya".

Seksyen 5(2) jika dibaca bersama Seksyen 4(2)(b) memberi kesan bahawa penerima mempunyai masa untuk membuat pembatalan penerimaan selagi surat yang diposnya belum sampai kepada pencadang sedangkan pada masa itu pencadang sudah terikat dengan penerimaan tersebut dan tidak boleh membuat tawaran kepada pihak lain, walaupun pencadang tidak tahu bila penerima telah poskan surat penerimaannya.

Komunikasi melalui pos lebih menjamin kedudukan penerima dari sudut undang-undang. Mana-mana peraturan yang dibuat sepatutnya adalah bertujuan memelihara dan menjaga kesejahteraan pengguna, membaikpulih permasalahan dan menghuraikan kekeliruan.

Namun, Postal Rule tidak beroperasi sedemikian kepada salah satu pihak yang berkontrak. Memandangkan Postal Rule lebih menjurus kepada ketidakadilan kepada salah satu pihak yang berkontrak (pencadang), wajarnya pengecualian ini tidak harus dikekalkan.

Oleh itu, anda harus lebih bijak dan berhati-hati jika memilih menggunakan komunikasi melalui pos dalam urusan kontrak.

Yang paling penting ialah berhati-hati jika melakukan sesuatu penawaran melalui pos, kerana ia boleh mengikat kita kepada undang-undang kontrak.

Sumber: Utusan

0 comments: