01 Ogos 2014

Dr. Yusuf Al-Qardhawi Ilmuwan Kontemporari



DR. YUSUF AL-QARDHAWI adalah sinonim dengan ilmuwan kontemporari yang sering memberikan pandangan dan pendapat serta fatwa semasa bagi permasalahan umat Islam sejagat. Pandangan dan pendapat beliau sentiasa mendapat perhatian dan rujukan seluruh umat Islam sedunia.

Latar belakang kehidupan beliau sejak kecil lagi telah bergelumang dengan dunia ilmu sehinggalah sekarang. Beliau sentiasa sibuk dengan dunia ilmu dan menjelajah ke serata dunia dalam mengembangkan ilmu melalui pelbagai media sama ada seminar, lawatan ilmiah, ceramah, laman web serta rancangan radio dan sebagainya.

Ringkasnya, beliau adalah seorang yang sangat masyhur dengan sumbangannya dalam bidang ilmu Islam sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Kunjungilah laman web beliau di alamat http://www.qaradawi.net yang telah dibangunkan untuk kemaslahatan dan kepentingan umat Islam sedunia, sesuai dengan kepentingannya bagi seluruh umat Islam sejagat.


Nama penuh beliau ialah Yusuf Abdullah al-Qardhawi. Beliau dilahirkan pada 9 September 1926 M bersamaan 1344 H di Saft Turab, daerah barat Mesir. Beliau dilahirkan dari kalangan keluarga petani miskin yang amat patuh dan taat kepada ajaran Islam dan syariat Allah s.w.t.

Belum pun berusia 10 tahun, beliau telah berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran dan memahami ilmu tajwid dengan sempurna. Beliau mengikuti kelas al-Quran di sebuah kampung bernama Kuttab. Ini adalah saranan dan sifat prihatin bapa saudaranya daripada keluarga bapanya yang menjaga kebajikan beliau setelah kematian bapanya semasa beliau berusia 2 tahun. Bermula daripada kejayaan pertama inilah ahli keluarganya menggelarkannya dengan syaikh.

Dr Yusuf al-Qardhawi mendapat pendidikan awal di Institut Pengajian Agama Peringkat Rendah dan Menengah di Tanta selama sembilan tahun. Beliau kemudiannya menyambung lagi pengajian di peringkat ijazah di Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar. Beliau telah dianugerahkan ijazah kelas pertama daripada seramai 180 orang pelajar pada tahun 1953.

Pada tahun 1954, beliau mengikuti pengajian Ijazah Pendidikan dan memperoleh Ijazah Pendidikan daripada Fakulti Bahasa Arab. Beliau muncul sebagai pelajar terbaik Ijazah Kelas Pertama daripada 500 orang pelajar yang mengikuti pengajian tersebut.

Kemudian pada tahun 1958, beliau memperolehi Diploma Pendidikan Bahasa dan Sastera dari Pusat Pangajian Arab Tinggi. Beliau kemudiannya ditawarkan ke program sarjana di Jabatan Sains al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Usuluddin. Sekali lagi beliau muncul sebagai pelajar tunggal yang berjaya lulus ujian persediaan dan akhirnya menamatkan pengajian ijazah sarjananya pada tahun 1960.

Beliau tidak merasa cukup dengan ilmu dan ijazah yang beliau peroleh dan pada tahun 1960, beliau memulakan persediaan untuk ijazah kedoktorannya dengan tajuk tesisnya “Al-Zakat wa Atharuha fi Hill al-Mashakil al-Ijtimaiyyah“. Bagaimanapun, beliau hanya berjaya menyelesaikan ijazah tertinggi itu dengan cemerlangnya 13 tahun kemudian disebabkan oleh keadaan huru-hara di Mesir pada masa tersebut.

Dr Yusuf al-Qardhawi mula melibatkan diri secara rasmi di alam pekerjaan bermula pada tahun 1951 di Kementerian Waqaf Mesir sebagai Penyelia Hal Ehwal Islam. Sebagai Penyelia Hal Ehwal Islam beliau dipertanggungjawabkan untuk menyelia khutbah dan kuliah di masjid serta sekolah.

Pada tahun 1959, beliau bertugas di Jabatan Kebudayaan Islam Al-Azhar Al-Sharif sebagai penyelia. Kemudian pada tahun 1962, Al-Azhar telah menghantar beliau ke Qatar. Di sana beliau dilantik sebagai Pengarah Institut Pengajian Agama Menengah.

Pada tahun 1973, beliau telah mengasaskan dan mengetuai Jabatan Pendidikan Islam, Fakulti Pendidikan di Universiti Qatar. Empat tahun kemudian beliau mengasaskan pula Fakulti Shariah dan Pengajian Islam di Universiti yang sama dan beliau dilantik sebagai dekan fakulti tersebut sehingga sesi pengajian 1989/1990. Kemudiannya beliau bertugas sebagai Ketua Pengarah, Pusat Penyelidikan Al-Sunnah dan Sirah Al-Nabawiyah di universiti tersebut bermula daripada sesi 1990/1991 hingga sekarang.

Pada masa kini, Dr Yusuf al-Qardhawi diamanahkan dengan beberapa jawatan yang penting, antaranya adalah Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah, Pusat Pengajian dan Penyelidikan Islam, Oxford (OCIS), Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan al-Sunnah dan al-Sirah Nabawiyah di Universiti Qatar, Ahli Majlis Fiqh Liga Islam Sedunia di Makkah, Pakar Perunding dalam Majlis Fiqh Islam Pertubuhan Persidangan Islam, Ahli Majlis Diraja Pengajian Tamadun Islam di Jordan, dan banyak lagi.

Sumber: Utusan

0 comments: