PETANG yang panas itu, Kendell Kauffeldt tunduk sedih ketika melihat seorang lagi mangsa Ebola dibawa turun dari sebuah jip milik orang tempatan untuk dirawat di sebuah klinik khas di Monrovia, Liberia.
"Terlalu berbahaya mengangkut pesakit yang mempunyai kes Ebola menggunakan kenderaan persendirian," kata Kauffeldt ketika melihat lima penumpang jip tersebut yang kini turut berisiko dijangkiti wabak maut itu.
"Orang awam perlu menelefon ambulans dan petugas perubatan yang terlatih. Lebih buruk jika membawa pesakit menaiki kenderaan awam seperti bas dan teksi.
"Jika pesakit dibawa menaiki kenderaan awam, kami perlu berjaga-jaga dalam tempoh 21 hari kerana dikhuatiri akan ada kes baharu," tambah Pengarah Samaritan Purse iaitu sebuah badan sukarela yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada orang awam di Monrovia.
Samaritan Purse merupakan pertubuhan sukarela paling aktif di Liberia sejak beberapa bulan lalu di tahun 2014 ini. Ia berperanan mencetuskan kesedaran awam untuk memerangi serangan wabak Ebola di benua Afrika.
Sejak awal tahun ini, kira-kira 300 rakyat Liberia dijangkiti virus tropika Ebola yang merebak dari kawasan hutan di barat Afrika dan merekodkan lebih 150 kematian. Sehingga awal bulan Ogos 2014, lebih 880 kematian direkodkan akibat Ebola yang melibatkan tiga buah negara di Afrika iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea.
Kauffeldt dan beberapa sukarelawan lain memberitahu, peningkatan bilangan kematian akibat wabak Ebola didorong oleh kelemahan orang ramai yang tidak mempunyai cukup maklumat mengenai penyakit maut tersebut.
Ia termasuklah tidak tahu mengenai simptom awal, cara wabak tersebut berjangkit dan kaedah paling selamat untuk mengurus atau memindahkan pesakit yang mengalami tanda-tanda jangkitan.
Meskipun ia menyebabkan maut akibat kehilangan banyak cecair sekiranya dijangkiti, Ebola masih boleh dirawat menggunakan paracetamol dan antibiotik yang mengandungi bahan elektrolit dan intravena.
Namun, sikap penduduk di Afrika terutama di kawasan luar bandar yang lebih mempercayai dukun berbanding perubatan moden menyebabkan potensi untuk seseorang pesakit itu pulih menjadi tipis.
SEORANG wanita dirawat di klinik khas di Monrovia, Liberia selepas menunjukkan gejala jangkitan yang kritikal.
Cara jangkitan
"Mereka (penduduk) lebih percaya kepada dukun dan mengatakan Ebola tidak wujud atau hanya rekaan orang Barat untuk menakutkan orang Afrika. Hakikatnya, Ebola ialah ancaman yang jelas wujud di sini.
"Lebih buruk, mereka mengatakan klinik dan hospital ialah tempat untuk mati dan bukan untuk mengubati," tambah Kauffeldt sambil memberitahu sekurang-kurangnya 10 kes kritikal dirujuk ke klinik dan hospital setiap hari.
Penyakit Virus Ebola (EVD) yang sebelum ini dikenali sebagai demam berdarah Ebola berisiko menyebabkan kematian sehingga 90 peratus apabila dijangkiti.
EVD pertama kali dikesan di Sudan dan Republik Demokratik Congo pada 1976 dan merekodkan lebih 1,300 kematian selepas merebak di barat Afrika melalui genus Ebola bawaan haiwan liar sebelum menjangkiti manusia.
Ebola menjangkiti manusia menerusi darah dan cecair daripada haiwan yang membawa virus tersebut. Di Afrika, kes-kes jangkitan pertama yang direkod melibatkan kontak manusia dengan babi, cimpanzi, gorila, kelawar, monyet, antelop dan landak yang ditemui mati di hutan.
Sejak itu, Ebola merebak dan menjangkiti manusia menerusi cecair tubuh seperti peluh, darah dan air liur.
Meskipun sembuh selepas dirawat, virus yang sudah lemah dalam tubuh bekas pesakit masih boleh berpindah ke tubuh individu lain dalam tempoh tujuh minggu.
Antara beberapa negara lain di Afrika yang pernah berdepan wabak EVD sejak tahun 1976 hingga 2012 ialah Uganda, Gabon, Afrika Selatan dan Ivory Coast.
Terdapat lima jenis genus EVD iaitu bundibugyo, zaire, reston, sudan dan tai ebolavirus (RESTV). Virus daripada spesies RESTV juga terdapat di Filipina dan China, namun belum ada kematian dilaporkan akibat virus jenis itu.
Tiada vaksin
Dalam tempoh antara satu hingga tiga minggu selepas dijangkiti, pesakit akan menunjukkan simptom seperti demam mengejut, sakit otot serta pedih tekak. Ia diikuti muntah, cirit-birit, ruam, fungsi hati dan paru-paru terjejas serta pendarahan dalaman.
Kajian makmal menunjukkan EVD boleh mengakibatkan penurunan drastik sel darah putih dan penyusutan platlet darah yang berfungsi menghentikan pendarahan.
Sehingga hari ini, tiada vaksin yang sesuai untuk kegunaan klinikal ditemui bagi merawat Ebola. Rawatan lazim hanya melibatkan penjagaan rapi termasuk memasukkan cecair elektrolit dan intravena ke dalam tubuh pesakit.
Bekas pesakit yang berjaya dipulihkan sepenuhnya, William Benadict, 10, pula berkata, beliau dijangkiti Ebola ketika ibunya sedang tenat akibat simptom wabak yang sama.
"Saya menemani ibu di hospital ketika dia sakit. Selepas ibu meninggal dunia, saya pula jatuh sakit dan dirawat di hospital yang sama sehingga sembuh," ujar Benadict yang mendapat rawatan pantas sebaik menunjukkan simptom.
Pada pertengahan bulan Julai 2014 lalu, para pemimpin di Liberia, Sierra Leone dan Guinea bersetuju untuk mengadakan kerjasama mengumpul dana kecemasan sebanyak AS100 juta (RM340 juta) bagi memerangi wabak itu.
Ia termasuk kos ubat-ubatan, menggaji petugas perubatan dan perbelanjaan lain untuk menguruskan program pendidikan orang awam bagi menyekat penularan wabak.
Ketua Jawatankuasa Kesihatan Liberia, Peter Coleman berkata, kemiskinan menjadi penghalang utama dalam memastikan maklumat mengenai Ebola disebar secara menyeluruh kepada penduduk di negara itu.
"Majoriti penduduk tidak mempunyai radio. Bagi memastikan semua penduduk mendapat maklumat, ia perlu dilakukan melalui kempen dari kampung ke kampung. Ia memerlukan perbelanjaan sangat besar," kata Coleman.
Dalam pada itu, Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim berkata, pihaknya akan menyediakan dana RM700 juta terhadap Guinea, Liberia dan Sierra Leone dalam menghadapi ancaman wabak Ebola.
Yong Kim yang juga pakar penyakit berjangkit menambah, penularan Ebola sangat menyedihkan kerana ia melanda Afrika yang tidak mempunyai sistem dan fasiliti kesihatan sempurna seperti di negara maju.
"Paling membimbangkan, semakin ramai terdedah risiko kematian. Wabak harus dihentikan dengan cara terbaik," kata Yong Kim.
SEBUAH sekolah di Monrovia ditutup apabila penularan wabak Ebola bertukar serius sejak beberapa bulan lalu.
Mengulas situasi getir akibat Ebola, Yong Kim menambah, negara-negara terlibat juga dijangka mengalami penurunan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan antara 3.5 hingga 4.5 peratus.
Ujar beliau lagi, pergerakan perdagangan dua hala bagi negara-negara terlibat juga semakin perlahan sehingga menyebabkan kemasukan wang asing terhenti.
Selain perdagangan, kegiatan perlombongan bijih besi, berlian serta beberapa hasil galian lain turut terjejas di rantau berkenaan.
"Dalam sektor perlombongan, penurunan (pengeluaran) akan terus berlaku apabila bilangan pekerja mahir yang meninggalkan negara berkenaan terus meningkat akibat bimbang dijangkiti," ujar Yong Kim.
Kesan daripada penularan wabak juga menyebabkan beberapa syarikat pengangkutan udara menggantung penerbangan ke Guinea, Liberia dan Sierra Leone.
Ia termasuk syarikat Emirates berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghentikan penerbangan ke Guinea sejak 2 Ogos 2014 lalu.
Sumber: Kosmo
Lain-Lain Rujukan: Sinar Harian, Utusan
Kementerian nafi penularan wabak Ebola di Malaysia
Kementerian Kesihatan menafikan, kononnya seorang budak perempuan dijangkiti virus Ebola hingga mengalami bengkak teruk pada kedua-dua kakinya seperti tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial.
Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, secara tegas menafikan penularan wabak Ebola di Malaysia, kerana risiko virus berbahaya terbabit menular, amat rendah.
Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengeluarkan arahan mereka yang dijangkiti tidak boleh keluar dari negara di Afrika yang disahkan menghadapi wabak terbabit.
Semua pihak perlu ingat, kita boleh dijangkiti jika menyentuh orang sakit atau mati akibat jangkitan virus terbabit. Jika seseorang itu dijangkiti tetapi tidak jatuh sakit, virus terbabit tidak akan menjangkiti orang lain. Maka tak ada hal berkaitan Ebola, jika orang Afrika ramai di sesuatu kawasan dalam negara ini.
Malaysia juga tidak mempunyai penerbangan terus ke negara di Afrika. Jadi tiada risiko untuk pesakit Ebola masuk ke negara ini kerana sudah semestinya negara transit yang dilalui mereka akan melakukan saringan atau tapisan terhadap pengembara dari negara yang menghadapi wabak itu.
Disusuli tapisan saringan kedua di semua pintu masuk utama Malaysia, risiko pesakit virus Ebola terlepas amatlah rendah untuk merebak di mana-mana penempatan di dalam negara, katanya.
Sumber: BHarian [13082014]
Warga Eropah pertama dijangkiti Ebola mati
GAMBAR fail menunjukkan Pajares yang terbaring di atas pengusung dimasukkan ke dalam ambulans di Pangkalan Udara Torrejon, Madrid, Sepanyol pada 7 Ogos 2014.
Liberia pada 12 Ogos 2014 menyatakan, negaranya akan merawat dua doktor yang dijangkiti dengan menggunakan ubat eksperimen Ebola, ZMapp, sekali gus menjadikan mereka warga Afrika pertama menerima rawatan tersebut.
Menteri Maklumat, Lewis Brown berkata, kerajaan Liberia menerima persetujuan bertulis daripada dua doktor berkenaan yang dikenali sebagai Zukunis Ireland dan Abraham Borbor untuk rawatan perintis itu.
"Ubat itu dijangka tiba di Liberia dalam tempoh 48 jam," kata Brown.
Menurutnya, ubat berkenaan belum lagi diuji sepenuhnya dalam badan manusia.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Sepanyol memberitahu, seorang paderi berusia 75 tahun meninggal dunia akibat jangkitan Ebola.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, angka kematian akibat wabak Ebola terburuk yang pernah berlaku itu melonjak kepada 1,103 orang sejak ia mula dikesan di kawasan pedalaman tenggara Guinea pada Mac 2014.
Ia menyatakan, dos ZMapp amat sukar untuk dihasilkan, sekali gus menimbulkan persoalan siapa yang lebih berhak untuk mendapatkan rawatan itu.
Di Sepanyol pula, pihak berkuasa menyatakan, paderi berusia 75 tahun itu, Miguel Pajares yang dijangkiti Ebola di Liberia telah meninggal dunia.
Kerajaan Liberia sebelum ini mengumumkan pada Ahad lalu bahawa Pajares yang merupakan warga Eropah pertama dijangkiti virus itu akan dirawat dengan menggunakan ubat ZMapp keluaran firma Mapp Biopharmaceutical yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.
Selain Pajares, ZMapp turut digunakan untuk merawat dua pekerja bantuan kemanusiaan AS.
Kedua-dua warga AS itu kini dirawat di sebuah hospital di Atlanta, Georgia selepas dipindahkan tetapi mereka belum menunjukkan sebarang tanda akan sembuh.
Virus yang merupakan antara paling berbahaya kepada manusia itu merebak ke empat negara benua Afrika dan menjangkiti seramai 1,848 orang, menurut WHO.
Sebelum ini, WHO mengisytiharkan wabak Ebola sebagai darurat kesihatan antarabangsa.
Wabak yang melanda beberapa negara termiskin di dunia itu turut menimbulkan perdebatan tentang etika perubatan berhubung pengunaan ubat eksperimental tersebut pada manusia.
Sebuah jawatankuasa WHO dijadualkan mengumumkan beberapa penemuan Ebola semalam bertermasuk kaitan isu sensitif siapa yang perlu diberi keutamaan untuk menerima ubat bekalannya terhad itu.
Setakat ini, lebih 60 pekerja kesihatan telah meninggal dunia manakala berpuluh- puluh lagi dijangkiti sejak wabak pertama Ebola menjangkiti negara Afrika Barat itu. - Reuters
Sumber: Kosmo
INFO EBOLA
Apakah Virus Ebola?
Penyakit virus ebola yang juga dikenali sebagai EVD adalah penyakit jangkitan virus yang parah dengan menunjukkan ciri-ciri seperti flu dan pendarahan dalaman yang teruk.
Kadar untuk selamat adalah sangat rendah. Kira-kira 60% hingga 90% orang yang terkena virus ini akan mengalami kematian.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan sehingga 23 Julai 2014, sebanyak 1201 kes Ebola disahkan di seluruh dunia, dengan jumlah kematian dicatatkan mencecah 672 orang.
Ebola mula dikesan pada 1976 di Nzara, Sudan dan Yambuku, Zaire (Replublik Demokratik Congo). Di Zaire, kampung di mana wabak ebola mula dikesan adalah berdekatan dengan Sungai Ebola. Di situlah di mana virus penyakit tersebut mendapat nama.
Kelawar buah merupakan binatang yang dikenalpasti menjangkitkan manusia dengan penyakit tersebut. Di Afrika, interaksi antara manusia dengan haiwan seperti chimpanzee, gorilla, monyet, antelop dan landak juga antara punca penyebab jangkitan virus Ebola ini kepada manusia.
Simptom Ebola:
* Demam
* Selesema
* Sakit otot
* Sakit kepala
* Sakit tekak
* Muntah
* Cirit-birit
* Ruam
* Kegagalan fungsi ginjal
* Pendarahan luaran dan organ dalaman
* Virus mula menunjukkan kesan simptom antara dua hingga 21 hari.
Bagaimana Ebola Berjangkit
Penyakit Ebola tidak disebarkan melalui udara. Penyakit ini berjangkit melalui sentuhan bendalir badan seperti darah. Pekerja kesihatan merupakan individu yang sangat berisiko tinggi jika tidak memakai peralatan dan pakaian yang selamat seperti topeng, gaun dan sarung tangan.
Rawatan Ebola
Buat masa sekarang masih belum ada kaedah rawatan tertentu yang berkesan. Beberapa vaksin yang ditemui pula sekadar masih lagi dalam eksperimen percubaan. Doktor biasanya menyediakan penjagaan tambahan yang lebih rapi kepada pesakit, termasuk bantuan oksigen, pemindahan darah dan rawatan untuk mengelakkan jangkitan penyakit lain.
Sumber: Info Grafik Berita Harian.
0 comments:
Catat Ulasan