12 Ogos 2014

Imej Diri Positif atau Negatif?



Orang yang hebat mempunyai imej diri yang hebat; kukuh keimanan (akidah), berjiwa besar, dan berminda besar. Orang yang memiliki imej positif juga, hebat dari segi nilaian luaran fizikalnya; penampilan yang cantik/segak, kemas bergaya, wajahnya tenang dan berkeyakinan. Imej positif juga akan membuatkan seseorang itu sentiasa murah dengan senyuman ikhlas, yang datang dari jiwa bersih, dan kalau seorang Muslim, sentiasa menutup aurat.

Sebenarnya apa-apa yang kita perlihatkan tentang diri kita kepada orang lain, itulah imej diri kita. Penilaian imej diri kita ini bergantung kepada nilaian dari segi ‘dalaman’ (hati nurani/jiwa/roh) dan nilaian dari segi ‘luaran’ (fizikal/jasad) kita.

Kalaulah pertama kali orang berjumpa dengan kita, orang suka akan kita, tetapi setelah mengenali kita dengan lebih lama, orang tidak lagi menyukai kita, ini bermakna kita memiliki imej diri yang tidak baik. Hal ini adalah kerana kita hanya memiliki kecantikan luaran sahaja, dan kita tidak memiliki kecantikan dalaman.


Akhlak kita mungkin buruk; mulut kita jahat, mungkin kita suka mengata atau mengumpat orang, asyik melihat dan mencari kesalahan dan kekurangan orang. Dalam apa-apa situasi, kita sentiasa hendak menang apabila bercakap, dan berasa diri kita sahaja yang betul dan hebat.

Penampilan imej diri amat bergantung kepada emosi yang ada dalam hati atau jiwa kita. Jika dalaman kita, iaitu jiwa kita tidak elok, secara tidak kita sedari, kita juga akan mempamerkan hanya yang tidak elok kepada sifat luaran kita dan penampilan diri kita. Lazimnya, orang yang kacau jiwanya akan mempamerkan penampilan diri yang negatif; pakaiannya tidak terurus, rambut kusut-masai, berwajah masam muram dan susah hendak senyum.

Sesungguhnya kecantikan luaran itu tidak kekal, kalau hari ini kita disukai kerana kita cantik, 40 tahun akan datang kecantikan luaran kita (jasad) sudah hilang dimakan usia. Kecantikan yang kekal adalah kecantikan dalaman (jiwa/roh) kita, yang akan kita bawa nanti menghadap Ilahi ke alam abadi.

Sebenarnya yang mengawal diri kita dua perkara, iaitu ‘sistem kepercayaan’ kita dan ‘sistem nilai’ hidup kita. Apa yang kita fokus itulah yang akan terhasil. Kalau ‘sistem kepercayaan’ kita mempercayai, untuk tingkatkan imej diri sebagai seorang ketua misalnya, kita mesti membataskan hubungan kita dengan orang bawahan, mesti memiliki kereta besar dan mewah, dan seumpamanya bagi menunjukkan perbezaan status kita, maka kita akan membawa penampilan diri yang demikian.

Cara membina imej diri, pertama lakukan transformasi diri, dari segi dalaman secara peningkatan spiritual dan luaran dengan menjaga kesihatan dan penampilan fizikal. Kedua, tulis visi hidup dengan menggunakan jurnal kehidupan.

Ketiga, sayang diri sendiri dengan cara bersyukur dengan pemberian dan kejadian Allah, dan bina kasih sayang Allah. Sebab hanya orang yang sayang Allah akan sayang dirinya. Keempat, bina ketenangan diri dan hati dengan cara mengetahui tujuan hidup; orang yang tenang akan menang.

Tip melaksanakan tujuan hidup ada lima perkara yang perlu difokuskan. Pertama, fokus kepada menjaga fizikal. Untuk tujuan mendapat fizikal yang sihat, pilih makanan yang sihat bukan makanan yang sedap. Kedua, fokus kepada menjaga minda, dengan cara menambahkan ilmu dan pilih bahan bacaan dan bahan tontonan; bukan sibuk mencari berita tetapi sibuk mencari ilmu. Ketiga, fokus kepada menjaga spiritual; tingkatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah.

Keempat, fokus kepada menjaga silaturahim. Setiap apa-apa yang kita lakukan hanyalah dengan niat mencari reda Allah bukan mengharap penghargaan manusia. Ikhlas dan berlemah lembut dengan orang, sebagaimana kita tidak suka orang berkasar dengan kita, begitulah kita tidak boleh berkasar dengan orang. Setiap masa, fikirkan apakah manfaat yang kita telah berikan kepada orang, bukan apakah manfaat yang kita dapat daripada orang.

Kelima, fokus kepada menjaga kewangan kita; jangan membazir berbelanja untuk mencantikkan imej luaran diri kita yang tidak kekal itu, tetapi banyakkanlah menggunakan wang kita berbelanja untuk meningkat imej dalaman diri kita.

Jom audit diri, siapa diri kita dan bagaimana imej diri kita? Adakah kita seorang yang berimej positif atau berimej negatif? Ingat apa yang kita perlihatkan kepada orang tentang diri dan sikap kita itulah gambaran hati atau kalbu kita. Kalau kita asyik nampak orang tidak elok bermakna dalaman kita pun tidak elok. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Oleh DR. MUHAYA MOHAMAD
Sumber: Utusan

0 comments: