26 Ogos 2014
Gadget ~ Yang Dekat Seakan Jauh
Berpada-padalah menggunakan gajet, usah terlalu asyik sehingga mengabaikan banyak perkara penting.
DILIHAT dan dikaji dalam tawarikh (sejarah) Islam lampau, teknologi sudah lama berkembang.
Antara penciptaan teknologi yang terdapat di zaman nabi seperti penciptaan baju besi oleh Nabi Daud, penciptaan kapal besar oleh Nabi Nuh, penciptaan-penciptaan teknologi oleh sarjana Islam terdahulu seperti pembinaan kincir air, robot, pembinaan bangunan canggih seperti masjid dan istana serta perkembangan ilmu dalam sains dan teknologi.
Namun, nabi-nabi dan sarjana Islam terdahulu mempunyai ilmu dan kepakaran serta menggunakan teknologi yang dihasilkan mengikut landasan dan etika Islam.
Kerana jelas disebut dalam al-Quran bahawa mereka yang leka dengan perkara-perkara tersebut tanpa beriman kepada ALLAH SWT pasti ditimpa bala bencana.
Antaranya firman ALLAH yang bermaksud: “Adapun kaum A’ad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?)
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa ALLAH yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).
Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia; dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu).” (Surah Fushshilat: 15 -16)
Sana-sini teknologi
Pendakwah dan perunding motivasi, Siti Fatahiyah Mahamood berpendapat, jika dilihat sekarang ini, dengan kepesatan teknologi hubungan kekeluarga pula menjadi semakin renggang. Timbul persoalan apakah perkembangan teknologi yang semakin pesat ini turut memberi kesan negatif kepada keharmonian rumah tangga?
“Dalam keghairahan mengejar kecanggihan teknologi yang dikira amat penting untuk kemudahan dan keselesaan pengguna, secara tidak sedar fenomena ini turut memberi kesan kepada kehidupan berkeluarga. Jelas kelihatan di mana-mana saja manusia berada, alat-alat seperti telefon, komputer riba berbentuk tablet serta peralatan permainan sentiasa berada bersama-sama mereka.
“Tidak kira di rumah, di pejabat, di bilik kuliah ataupun ketika berada dalam kenderaan, keperluan untuk menggunakan alat-alat tersebut dilihat seperti amat perlu sehingga melupakan aspek-aspek keselamatan diri.
Jika dilihat di meja makan di mana-mana restoran, pasti akan kelihatan pelanggan yang ada leka dengan peralatan tersebut," kata pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, tidak kira mereka yang hadir bersama kawan-kawan atau keluarga ataupun pasangan suami isteri, masing-masing leka dengan telefon masing-masing selepas pesanan makanan dibuat.
Harmonikan rumah tangga
“Seharusnya pengguna teknologi canggih ini perlulah kembali merujuk kepada objektif asal teknologi tersebut dihasilkan. Selain ia bertujuan untuk kemudahan sistem kerja, keselesaan dan kelajuan masa mendapat maklumat.
“Memang tidak dinafikan fokus utama teknologi kepada masyarakat sekarang adalah komunikasi. Jadi gunakanlah teknologi tersebut mengikut etika dan garis panduan syariah yang ditetapkan.
Jika kita terlalu ekstremis dalam melakukan sesuatu perkara, kita secara tidak sedar akan melanggar batasan sifat normal kepada sifat yang luar biasa.
Siti Fatahiyah berkata, lestarikan kebijasanaan kita dengan iman dan ilmu agar teknologi tersebut menyuburkan lagi kemesraan hubungan dalam rumahtangga bukan untuk menguburkan kasih sayang yang telah terbina.
Dengan ilmu dan iman, insya-Allah kita mampu mengawal hati, akal dan keinginan agar perbuatan kita membawa kepada keredaan ALLAH seterusnya membawa kita ke mercu kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Anak kurang bergaul?
Teknologi dilihat sebagai alat komunikasi untuk menghubungi orang yang jauh di mata agar terasa dekat di hati. Tapi mereka tidak sedar perbuatan mereka itu membuatkan orang yang dekat di mata tetapi terasa jauh.
Fenomena ini juga sedikit sebanyak menjadikan anak-anak kurang bergaul dengan keluarga dan jiran menyebabkan mereka kurang bersopan atau terlanjur bahasa ketika bergaul terutamanya kepada orang tua.
Keharmonian rumah tangga terbina melalui hubungan komunikasi yang mesra. Apabila ahli keluarga atau masyarakat kurang berkomunikasi, maka kesannya hubungan akan jadi makin longgar dan adakalanya menyebabkan ikatan kekeluargaan makin hambar dan terlerai tanpa disedari.
Aktiviti berbual di laman sosial tanpa mengira batasan waktu dan status adakalanya menyebabkan tanggungjawab terabai. Keghairahan pengguna dalam mewujudkan kumpulan alumni dilihat sebagai satu usaha yang murni dalam merapatkan semula silaturahim.
Tetapi apabila etika komunikasi tidak diprihatinkan, maka wujudlah masalah dalam rumah tangga sehingga menyebabkan perbalahan dalam kalangan ahli keluarga. Apabila iman dan takwa tidak dijadikan landasan, maka hidup kita tidak akan tenang.
Oleh: SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sumber: Sinar Harian
Labels:
ICT
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan