25 Ogos 2014
Keperluan Nutrisi Untuk Kucing Anda
KUCING tidak makan sekali gus sebaliknya secara berulang.
MEREKA yang memelihara kucing perlu mengetahui haiwan ini adalah jenis karnivor. Jadi, sebagai pemilik, anda perlu tahu makanan yang terbaik dan sesuai untuk mereka. Protein merupakan sumber bekalan makanan utamanya.
Berbeza dengan anjing, kucing tidak mampu menghadam kebanyakan makanan yang dimakan oleh manusia. Kerap kali veterinar ditanya jenama makanan apakah yang sesuai diberi. Soalan ini tidak mudah dijawab memandangkan terdapat pelbagai jenis makanan di pasaran.
Sebagai panduan, abaikan sahaja perkara-perkara yang tertulis pada pembungkus makanan kucing seperti gourmet, premium, super-premium dan natural. Sebenarnya ia tidak merujuk kepada sebarang definsi spesifik terhadap makanan haiwan ini.
Sebaliknya, pastikan makanan tersebut memiliki label daripada American Association of Feed Control Officials (AAFCO) iaitu sebuah badan yang mengesahkan bahawa makanan tersebut selamat dan memenuhi keperluan nutrisi harian si comel.
Dapatkan nasihat
Veterinar merupakan rujukan terbaik anda. Mereka boleh memberi saranan makanan terbaik si comel. Oleh itu, anda tidak disaran bertanya atau merujuk perkara ini melalui telefon atau melalui laman sosial.
Ada baiknya anda mendapatkan nasihat secara bersemuka kerana veterinar yang boleh memberikan nasihat secara terus dan petunjuk berdasarkan label bungkusan makanan haiwan.
Makanan yang telah dibeli boleh diberi kepada si comel dan lihat tindak balasnya. Sekiranya tiada menunjukkan sebarang masalah seperti cirit-birit bererti makanan tersebut sesuai.
Bagaimanapun, sekiranya makanan tersebut tidak menepati selera si comel, anda perlu mempunyai pilihan lain. Ini kerana si comel kemungkinan boleh membuat ragam seperti enggan makan kerana tidak suka.
PILIHLAH makanan yang memiliki label American Association of Feed Control Officials (AAFCO) iaitu sebuah badan yang mengesahkan makanan tersebut selamat dan memenuhi keperluan nutrisi harian si comel.
Untuk menukar makanan si comel daripada satu jenama kepada satu jenama yang lain bukanlah semudah yang disangka. Kadar nutrisi dalam setiap jenama makanan adalah berbeza-beza, jadi prosedur menukar makanan ini haruslah dilakukan secara berkala dan bukan mendadak.
Campurkan makanan baharu untuk kucing anda di dalam makanan lama sedikit demi sedikit selama seminggu. Sekiranya tiada masalah atau tanda-tanda seperti cirit-birit, ini menunjukkan makanan baharu boleh diberi secara berterusan. Menukar makanan secara mendadak boleh mengakibatkan masalah radang usus.
Kucing sangat memerlukan nutrisi yang tinggi bagi membantu proses pembesarannya, jadi pemberian makanan basah berterusan bukanlah masalah kepada anak kucing yang berusia di bawah empat bulan. Namun, apabila usianya meningkat, jumlah makanan basah boleh dikurangkan kepada dua kali sahaja seminggu.
Pemberian makanan basah secara berterusan boleh menggalakkan pembentukan plak pada gigi yang mengakibatkan jangkitan pada gusi dan mulut (gingivitis).
Jumlah makanan yang wajar diberikan bergantung kepada beberapa faktor. Contohnya adakah kucing anda haiwan dalaman (indoor), luaran (outdoor), telah dimandulkan dan berapakah pula usianya?
Ia memberi kesan terhadap keperluan diet kucing anda.
Ketahui maklumat seperti berat dan pemakanan si comel anda. Pemberian makanan yang silap boleh mengundang masalah yang tidak dijangka seperti batu karang, obesiti dan masalah buah pinggang.
Nutrisi
Veterinar boleh menyarankan keperluan yang bersesuaian dengan keperluan kucing anda berdasarkan nutrisi yang terdapat pada pembungkus makanan.
Ada sesetengah pemilik kucing ingin berjimat lalu memberi makanan murah. Makanan murah mengakibatkan si comel sentiasa lapar dan seolah-olah tidak puas. Kucing juga akan kerap membuat bising dan meminta makanan secara berterusan.
Makanan yang cukup nutrisi pula perlu diambil mengikut sukatan dan keperluan. Kucing tidak mengambil makanan sekali gus, sebaliknya secara berulang dan sukatan tersebut biasanya memadai buat haiwan ini. Walaupun sedikit mahal, pemberian mengikut saranan mampu mengekang pembaziran selain memastikan si comel kekal sihat.
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan