22 Ogos 2014
Kaitan Sultan Muhammad Al-Fatih Dengan Hagia Sophia
Beberapa bulan yang lalu umat Islam di Istanbul, Turki mengadakan sembahyang Jumaat buat pertama kali di masjid Hagia Sophia selepas dijadikan muzium oleh pemimpin sekular, Mustafa Kamal Ataturk sejak 1934.
Walaupun ada beberapa pihak di negara ini khususnya yang menyanjung Kamal Ataturk sebagai arkitek moden Turki tetapi hakikat yang tidak boleh dipadam bukanlah sahaja mengguling sistem monarki tetapi meruntuhkan negara Islam menjadi sekular.
Turki yang sebelum ini sebahagian daripada Empayar Constantinople ditawan Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453 yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Sejak itu Turki berada di bawah sistem monarki Kerajaan Uthmaniyyah hingga digulingkan oleh Kamal Ataturk tahun 1923.
Banyak iktibar daripada penggulingan ini antaranya selepas 500 tahun Sultan Muhammad al-Fatih 'mengislamkan' Turki daripada Kristian, sultan-sultan selepasnya yang memerintah Turki moden pada abad ke-19 sudah lupa kepada tanggungjawab.
Kehebatan kepimpinan Sultan Muhammad al-Fatih yang digelar 'raja yang sebaik-baik raja' semakin cair apabila Turki seolah-olah dimiliki oleh keluarga diraja. Mereka membuat sesuka hati hingga menindas rakyat untuk kesenangan peribadi yang secara tidak langsung derhaka kepada pesanan Sultan Muhammad al-Fatih.
Keluarga diraja Turki diajar oleh rakyatnya sendiri. Mereka bangun menggulingkan pemerintahan monarki, apa lagi bersama-sama mereka wujud pemimpin sekularis. Kejatuhan sistem monarki Turki yang hebat dibina oleh Kerajaan Uthmaniyyah wajar dijadikan pengajaran bahawa sultan atau raja yang tidak amanah akan dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri.
Sistem monarki boleh runtuh dalam sekelip mata. Ini termasuk sistem monarki berpelembagaan yang memisahkan kuasa eksekutif dengan kuasa raja seperti yang diamalkan di beberapa negara termasuk Britain ketika ini. Maksudnya sistem monarki hanya boleh dipertahankan sekiranya raja atau sultan menunjukkan kepimpinan yang adil dan amanah.
Kalau masjid Hagia Sophia boleh berkata-kata, sudah tentu akan bercerita tentang banyak peristiwa yang dilalui antara raja yang sebaik-baik raja kemudian akhirnya jatuh kepada raja yang tidak menghiraukan rakyat, kemudian ke tangan sekularis dan hanya baru-baru ini Turki bertatih untuk kembali menjadi sebuah negara Islam. Bagaimanapun 'Islam' belum bebas di Turki kerana pemikiran sekular yang menebal ditanam kepada rakyat dan ini menjadi cabaran kepada Perdana Menteri Tayyip Erdorgan.
Siapa Sultan Muhammad al-Fatih? Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Nabi Muhammad bersabda: "Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera." Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fatih lebih kurang 800 tahun selepas itu. Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.
Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan membebaskan Islam. Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun.
Baginda bukan sahaja mengangkat martabat Kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.
Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St. Sophies yang dibina tahun 537 Masehi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia. Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.
Sejarah mencatatkan ketinggian pegangan agama Sultan Muhammad al-Fatih terbukti apabila baginda bersama bala tentera mahu mengadakan sembahyang Jumaat pertama selepas gereja itu menjadi masjid Hagia Sophia. Baginda bertanya, siapa antara mereka yang boleh menjadi imam. Beliau berkata lagi, "Siapa yang pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk." Sebahagian daripada bala tentera itu duduk.
Kemudian berkata lagi, "Siapa yang tidak pernah meninggalkan sembahyang tahajud walaupun sekali?" Semua bala tenteranya duduk menandakan mereka pernah meninggalkan sembahyang tahajud dan yang berdiri hanya baginda seorang. Baginda telah mengimamkan sembahyang Jumaat pertama di Hagia Sophia.
Bagaimanapun selepas hampir lima abad berlalu, masjid Hagia Sophia ditukar menjadi muzium kerana dasar sekularisme Turki moden di tangan Kamal Ataturk melarang penonjolan agama Islam, sebaliknya disamakan taraf dengan agama lain terutama Kristian. Barat telah berjaya meracuni pemimpin Turki ini dengan menawarkan sekularisme, satu jarum ideologi untuk menghapuskan sejarah keagungan Islam Kerajaan Uthmaniyyah yang menawan Constantinople sekali gus menghancurkan Empayar Byzantine.
Akibat sekularisme yang tebal juga Hagia Sophia belum dirasmikan sebagai sebuah masjid yang membolehkan umat Islam sembahyang di dalamnya. Hagia Sophia masih sebuah muzium dan Tayyip Erdorgan tidak mungkin menjadikannya masjid pada masa terdekat ini.
Sebabnya beliau mengambil tindakan yang berhati-hati apa lagi musuh politiknya dan musuh Islam menunggu masa untuk mengeksploitasi isu Hagia Sophia sekiranya kembali menjadi masjid. Hagia Sophia melampaui sebuah masjid tetapi yang lebih penting inilah bukti sejarah keagungan seorang raja yang mengagungkan Islam.
Oleh Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan
Labels:
Sejarah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan