21 Ogos 2014
Memahami Masalah dan Melayani OKU Dengan Adil
Dalam masyarakat kita, individu istimewa itu lebih merujuk kepada individu yang berbeza dari individu atau orang lain yang normal. Dalam erti kata lain, individu istimewa adalah mereka yang mempunyai kecacatan atau yang tidak memiliki keupayaan secara normal seperti individu normal lain.
Atas sebab ini jugalah mereka itu digolongkan ke dalam kategori individu kurang upaya OKU) atau juga sebagai individu dengan kelainan upaya. Secara akademiknya, individu dengan ketidakupayaan didefinisikan sebagai kategori individu yang mempunyai masalah dari segi pembelajaran, emosi dan tingkahlaku, masalah pendengaran atau penglihatan, masalah bahasa dan komunikasi, masalah fizikal dan kesihatan, autisme, pintar cerdas/berbakat dan juga masalah yang berkaitan fungsi kognitif.
Berdasarkan kepada definisi tersebut, terdapat pelbagai kategori OKU dan pengkelasan mereka adalah berdasarkan kepada kelainan dalam keupayaan atau ketidakupayaan mereka.
Terdapat pelbagai kategori OKU yang mana sebahagian besarnya masih tidak difahami oleh masyarakat. Namun masyarakat lebih memahami ketidakupayaan dari segi masalah pertuturan dan percakapan, pendengaran, penglihatan dan kekurangan anggota. Sewajarnya, pemahaman yang diperolehi lebih menjurus kepada mengoptimumkan hak dan keperluan golongan ini untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Masalah Pembelajaran
Selain itu, golongan kurang upaya intelek dan masalah pembelajaran juga tergolong ke dalam kategori OKU. Walaupun jumlah golongan ini adalah entiti tertinggi dengan jumlah yang paling ramai jika bandingkan di antara kalangan kategori OKU lain, namun golongan ini jugalah yang paling kurang difahami oleh lapisan masyarakat.
Apa tidaknya, dari segi fizikal mereka cukup sifat dan kelihatan normal, mereka boleh berlari, bertutur dan berdikari. Jika dilihat dari segi perangkaannya, data Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia sehingga tahun 2011 menunjukkan OKU dengan masalah pembelajaran terdiri dari seramai 134,659 orang daripada jumlah keseluruhan OKU seramai 359,203 orang.
Dengan jumlah teramai seperti ini, adalah sesuatu menghairankan kerana masyarakat belum memahami siapa mereka, keperluan dan di mana mereka boleh menjana keupayaan dan kekuatan mereka untuk terus hidup.
Salah satu contoh OKU dengan masalah pembelajaran ialah autisme dan Asperger sindrom. Walaupun mereka sempurna secara fizikal, mereka memerlukan bantuan dari segi pergaulan dan pertuturan, perkongsian sosial serta pembelajaran.
Selain itu, kanak-kanak dengan masalah hiperaktif juga termasuk di dalam kategori ini. Mereka ini terlalu aktif sehingga menjejaskan daya tumpuan dan pergaulan sosial mereka. Pada masa sama, mereka juga tertekan dan tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku kepada diri mereka.
Sebaliknya, apa yang masyarakat fahami ialah mereka ini amat sukar dikawal, terlalu agresif dan amat degil yang mana keadaan ini lebih mudah diatasi sekiranya seluruh masyarakat itu memberi sokongan bagi meredakan masalah.
Hak dan Keperluan
Definisi OKU yang digunakan adalah untuk menggambarkan kelainan upaya seseorang itu sebagai individu dengan keupayaan tertentu dan digambarkan bahawa mereka itu amat berbeza sekali atau lebih teruk ataupun lebih hebat dari individu yang normal, namun, mereka itu tetap individu manusia yang memiliki hak dan keperluan yang sama seperti apa yang dimiliki dan dikecapi oleh individu normal lain.
Mereka berhak untuk hidup secara sihat. Mereka berhak dilayan secara adil dan mereka juga berhak belajar, berkerjaya dan berkeluarga, sama seperti individu lain. Walaupun mereka itu berbeza dari segi keupayaan, namun mereka tidak berhak untuk dizalimi, disingkirkan mahupun disisihkan dari segi keadilan, hak dan keperluan dalam masyarakat.
Islam melihat kedudukan individu manusia itu sebagai amat mulia tanpa perlu wujud perbezaan yang berdasarkan kepada kecantikan rupa paras dan fizikal, ataupun kelebihan pangkat dan kedudukan, harta mahupun keturunan. Selagi ia manusia, ia masih memiliki maruah yang perlu dipelihara, dijaga dan dihormati oleh setiap orang, walaupun ia memiliki keadaan rupa paras dan fizikal atau mental yang serba kekurangan.
Penghormatan yang perlu diberikan itu perlulah adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan pangkat, umur, gender dan sebagainya. Yang tua perlu dihormati dan disegani manakala yang muda pula perlu dikasihi dan disayangi. Inilah yang diajarkan oleh Islam sejak sekian lama.
Ini juga bersesuaian dengan pengiktirafan yang telah Islam berikan terhadap kedudukan manusia itu sebagaimana menurut firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 70 yang bermaksud: 'Sesungguhnya Kami telah memuliakan kedudukan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di darat dan di laut dan Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka ke atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna'.
OKU dengan pelbagai sifat dan keadaannya adalah ciptaan Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala kejadian yang berlaku di sebaliknya kerana Dialah yang Maha Mencipta segala sesuatu. Keadaan ketidakupayaan yang berlaku perlu dilihat sebagai anugerah Allah, dan juga ujian-Nya ke atas ibu bapa, keluarga, jiran-jiran, anggota masyarakat dan kepada semua hamba-Nya.
Ini adalah asas dalam memahami situasi dan menerima keadaan yang berkaitan OKU. Sekiranya masyarakat jujur dan ikhlas, perkara utama yang paling asas dapat dielakkan dari berlaku ialah kes penderaan dan pengabaian terhadap individu OKU sepertimana yang heboh diperkatakan di dalam media-media tempatan. Ini belum lagi menyentuh hal ehwal berkaitan penyediaan segala prasarana dan keperluan berkaitan untuk kebajikan mereka.
Oleh: Khairul Azhar Idris
Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan