20 Ogos 2014

Lorong Tema Kampung China Kuala Terengganu



Lokasi merakam fotografi pegun

TATKALA menjejak kaki di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Terengganu, lirikan mata tertumpu pada struktur bangunan lama.

Sepanjang 700 meter jalan yang dilalui dengan dihiasi tanglung pada waktu malam di Kampung Cina pelbagai rupa bentuk deretan bangunan lama tersergam indah. Pembinaan bercirikan kolonial Inggeris dan Melayu tempatan dapat disaksikan pada struktur bangunan lama berkenaan.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat lorong-lorong unik di sebalik bangunan lama tersebut. Ia bukan sahaja mempunyai tema tersendiri tetapi mampu dijadikan lokasi merakam fotografi pegun menarik kepada pengunjung yang singgah di Kampung Cina.


Pengerusi Koperasi Kampung Cina Kuala Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw, berkata, lorong-lorong berkenaan dibangunkan sejak lima tahun lalu secara berperingkat-peringkat.

“Buat masa ini, terdapat tujuh lorong yang dihiasi dengan tema berbeza-beza agar dapat menzahirkan keunikan dan menarik perhatian pengunjung. Tujuh lorong berkenaan ialah Lorong Penyu, Kenangan Payang, Wee Sing Hee, Warisan Dunia, Eko, Haji Awang Besar dan Seni Fun Map,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi MCA negeri memberitahu, lantai Lorong Penyu dihiasi dengan kepingan batu kecil berwarna-warni dengan rupa bentuk penyu apabila pengunjung melalui laluan berkenaan.

Selain itu, Chin Yaw menambah, terdapat sebuah nukilan Profesor Chan Eng Heng sepanjang dinding bertajuk Little Turtle Messenger yang dihiasi illustrasi Tan Yi Sin.

“Pengunjung boleh membaca dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu yang diterjemah oleh Wan Md. Adnan Wan Ismail. Kita juga meletakkan mural spesies-spesies penyu yang terdapat di negara ini seperti penyu Agar, Belimbing, Lipas dan Sisik,” ujarnya.


PINTU gerbang mercu tanda Kampung Cina.

Warna-warni

Kampung Cina Kuala Terengganu terletak di sepanjang Jalan Bandar (sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kampung Cina) iaitu berdekatan muara Sungai Terengganu yang bersambung ke Laut China Selatan.

Walaupun berada di kawasan yang kecil, rumah-rumah kedai di jalan tersebut dihias berwarna-warni. Kedai-kedai kecil, kafe dan restoran masih mengekalkan ciri-ciri tradisional masyarakat Cina.

Jeti berdekatan dengan Kampung Cina menyediakan perkhidmatan bot untuk pelancong ke pulau-pulau berdekatan. Ia memudahkan pelancong yang tinggal di hotel dan hostel di Kampung Cina.

Menurut laporan Setiausaha Kerajaan Amerika Syarikat yang pertama, Alexander Hamilton bersama Kapten Joseph Jackson yang berkunjung ke Kuala Terengganu pada tahun itu, dianggarkan sebanyak 1,000 buah rumah penempatan masyarakat Cina pada tahun 1719.

Tiada laporan mengenai tarikh tepat Kampung Cina ditubuhkan kerana tiada kajian arkeologi dilakukan di kawasan tersebut.

Kebanyakan masyarakat Cina yang tinggal di perkampungan itu terdiri daripada keluarga terawal yang tiba di Terengganu pada abad ke-16.

Sehubungan itu, kebanyakan penduduk di situ menjaga kediaman mereka kerana menganggap ia sebagai rumah nenek moyang dan mempunyai banyak sejarah untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.


SAJAK dinasti Tang menghiasi dinding di Lorong Wee Sing Hee.

Tapak warisan

Pada tahun 2004, kerajaan telah mengisytiharkan Kampung Cina sebagai tapak warisan di Terengganu.

Menurut laporan Munshi Abdullah semasa lawatan di Kuala Terengganu pada tahun 1836, terdapat suku kaum Cina terbesar iaitu Kapitan Cina yang juga dipanggil sebagai Kapitan Lim Eng Huat (1798-1847).

Populasi penduduk Cina di Kuala Terengganu dianggarkan seramai 600 orang manakala masyarakat Melayu pula antara 15,000 hingga 20,000 orang.

Kepada mereka yang ingin merakam fotografi pegun bersama penyu terdapat replika penyu berusia 80 tahun di hujung lorong berkenaan.

Apabila menjengah ke Lorong Wee Sing Hee, yang merupakan ahli perniagaan terkenal di Kampung Cina suatu ketika dahulu, para pengunjung boleh melihat pondok telefon lama berwarna merah yang dilengkapi telefon lama di dalamnya.

Chin Yaw menambah, pondok telefon berkenaan dibawakan khas dari Muzium Telekom Malaysia di Kuala Lumpur untuk tatapan pengunjung.


Lorong Penyu (Turtle Alley)

Katanya, terdapat juga peti surat lama yang masih berfungsi berdekatan laluan lorong berkenaan.

“Kita juga telah meletakkan papan tanda perniagaan lama di dinding lorong berkenaan untuk dijadikan hiasan terutamanya kepada golongan muda.

“Apa yang menarik mengenai lorong ini, terdapat lesung batu yang berusia lebih 100 tahun malah sebuah telaga lama dari Kampung Tiong,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat juga sajak lama Dinasti Tang yang ditulis secara kaligrafi di dinding lorong tersebut.

Chin Yaw, menjelaskan lorong-lorong berkenaan dibangunkan bukan sahaja untuk dijadikan destinasi merakam fotografi pegun menarik tetapi memberi ilmu dan informasi kepada pengunjung.

Fotografi pegun adalah teknik merakamkan foto objek tidak bergerak menggunakan kamera lensa tunggal (SLR).

Katanya, pengunjung yang melalui Lorong Kenangan Payang yang dihiasi lebih 50 payung dapat melihat wajah tiga dimensi tokoh-tokoh politik masyarakat Cina di negeri Terengganu.

“Ini dilakukan bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai tokoh-tokoh politik yang sama-sama membangunkan negeri khususnya Kampung Cina. Antara nama tokoh berkenaan ialah Datuk Toh Seng Chong, Datuk Tok Teng Sai, Datuk Ir. Wong Foon Meng dan Tan Sri Lau Yin Pin,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, terdapat lorong Warisan Dunia yang mengetengahkan tempat-tempat menarik di seluruh dunia.

Banyak maklumat sejarah dapat diperoleh apabila seseorang melalui lorong ini mengenai Colosseum Roman di Rom, Itali, Taj Mahal di India, Petra di Jordan, Tembok Besar China dan Machu Picchu di Peru.

“Semasa menjejak kaki di lorong ini, pengunjung juga dapat melihat latitud sebenar tempat-tempat menarik tersebut. Bagi mereka yang bercinta, kita turut menyediakan satu ruang dipanggil Lovers Lock untuk mereka meletakkan mangga di situ,” katanya.



Replika

Beliau menambah, masyarakat Kampung Cina tidak melupakan tentang kepentingan alam sekitar. Justeru, beliau berkata, Lorong Eko dibangunkan untuk melahirkan rasa cintakan alam semula jadi.

“Para pengunjung pasti akan merasa segar dan nyaman apabila berada di lorong ini yang mempunyai bumbung daun nipah di pintu masuk lorong.

“Bahkan, kita turut membuat replika sebuah rumah kampung untuk mereka duduk dan merakam fotografi pegun di situ. Selain itu, terdapat juga kain-kain batik kecil yang menutup ruangan atas lorong berkenaan untuk menambah kreativiti kawasan,” katanya.

Chin Yaw, menambah Lorong Fun Map pula, terdapat peta besar Kampung Cina untuk dijadikan rujukan para pengunjung.

Beliau berkata, Lorong Haji Awang Besar masih dalam pembinaan dan ingin menjadikan suasana kampung Melayu di kawasan itu.

“Kita akan menambah baik dari semasa ke semasa lorong-lorong berkenaan bagi memastikan orang ramai menjadikannya salah satu kawasan perlu dilawati di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang mengunjungi Kampung Cina baru-baru ini, Nor Syuhada Ismail, 21, memberitahu, dia tertarik dengan lorong yang dihiasi payung.

“Ia sangat kreatif dan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung Kampung Cina.

“Keunikan ini mampu menambah kunjungan pelancong tempatan dan luar negara ke Kampung Cina dalam jangka masa panjang,” katanya.

Nor Syuhada yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Terengganu, memberitahu, keunikan ini turut memberi peluang kepada masyarakat negeri Terengganu merasai suasana baharu terutama apabila ingin merakam fotografi pegun di bandar raya ini.

Bagi anak kelahiran Sarawak, Lawrence Tiong, 21, dia tertarik dengan rumah kampung yang terdapat di Lorong Eko.

“Penggunaan kayu dan daun nipah dalam binaan rumah kampung seolah-olah seperti berada di luar bandar.

“Ia sangat menarik kerana rumah itu dibina di bahagian luar sahaja dan pengunjung boleh duduk di depan seperti tiga dimensi,” kata pelajar Institut Teknologi Petroleum Petronas itu.

Sumber: Kosmo

0 comments: