03 Ogos 2014

Makmal Metrologi Sirim


Seorang pegawai menggunakan alat untuk menentu ukur bahan.

Pernah anda sebagai pengguna terfikir bahawa sekilogram tepung yang dibeli memang berat seperti yang anda inginkan atau kurang daripada itu. Apabila melihat ke jam dinding, jam tangan untuk mengetahui masa sebenar ketika itu, benarkah jarum jam atau angka menunjukkan waktu sebenarnya atau mengikut piawaian.

Seorang tukang masak misalnya memerlukan ukuran tepat bagi memastikan masakannya sedap. Apakah ramuan-ramuan atau bahan yang diperlukan dan tidak kurang pentingnya ialah banyak mana bahan tersebut perlu dimasukkan dalam aduan bagi menjadikan kek anda sedap.

Ketika anda menempah baju atau seluar, ukuran tepat perlu digunakan supaya mengikut saiz badan. Demikian penting sukatan atau ukuran yang tepat dalam kehidupan manusia.

Di Malaysia terdapat satu makmal yang menentukan ukuran dan waktu standard sebagai standard rujukan untuk penggunaan dalam pelbagai bidang.


Makmal Metrologi Kebangsaan (NML) ini ditubuhkan di bawah Sirim Berhad dan pada 15 Februari, 2008 dan ia dilantik sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007.

Metrologi bermaksud sains pengukuran dan di bawah NML standard-standard utama pengukuran kebangsaan yang diselenggarakan ialah jisim, panjang, masa, waktu, cahaya, rintangan, voltan dan standard-standard pengukuran bidang kimia.

Standard-standard sekunder bagi pengukuran beban, tekanan, tenaga, kapasitan, kelembapan, bendalir dan lain-lain dibangunkan berasaskan kepada standard-standard utama tersebut.

Mengapa pengukuran tepat penting?

Paling penting ialah Penguatkuasaan Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 yang mencatatkan sejarah penting kepada negara.

Ini kerana buat kali pertama setiap pengukuran kuantiti boleh diukur dalam pelbagai bidang sama ada perdagangan, kesihatan, keselamatan, sains dan kualiti alam sekitar yang merujuk kepada unit sistem pengukuran antarabangsa iaitu SI.

Ukuran yang berdasarkan kepada standard rujukan itu penting dalam konteks nasional kerana kuantiti-kuantiti boleh diukur itu haruslah dihubungkaitkan atau mempunyai pengesanan kepada standard-standard pengukuran kebangsaan yang diselenggarakan oleh NML.

Lebih penting, penggunaan-penggunaan unit pengukuran antarabangsa dan standard pengukuran terkini diperlukan untuk memudahkan perdagangan dan menjadikan produk negara ini lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Pada masa sama kebolehkesanan racun serangga di dalam produk minuman seperti teh atau paras antibiotik pada ikan dan udang pada tahap bahagian per juta (ppm) atau bahagian per bilion (ppb) memerlukan penghasilan bahan rujukan kimia (Certified Reference Materials) bagi menjamin kualiti hidup pengguna.

Oleh itu adalah jelas penggunaan peralatan dan meter-meter pengukuran yang tepat untuk aktiviti percukaian ke atas sumber asli seperti air, gas, petroleum dan kayu balak.

Bayangkan sekiranya sistem pengukuran ini tidak tepat dan tidak ada piawaian, maka, ada kemungkinan produk eksport negara tidak diterima.

Sebarang ralat yang wujud akibat kesilapan instrumen yang tidak di tentukur (calibration) menyebabkan pengukuran menjadi tidak tepat.

Ia akan menyebabkan produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti terutama yang melibatkan kesihatan dan keselamatan.

Ini boleh berlaku jika ukuran sesuatu proses pembuatan produk tidak menepati piawaian dan spesifikasi manakala kerajaan akan rugi daripada segi cukai sekiranya nilai ukuran sumber asli yang perlu dicukai tidak tepat.

Rujukan perlu dilakukan di Biro Antarabangsa Bagi Timbang dan Sukat atau BIPM di Paris, Perancis sebagai sumber rujukan piawaian ukuran di seluruh dunia.

Pengurus Besar Kanan, Bahagian Kajian dan Teknologi Inovasi, NML-SIRIM, Sepang, Dr. Osman Zakaria berkata, sesuai dengan fungsi badan tersebut yang ditugaskan sebagai pemantau kualiti, penubuhan makmal tersebut adalah bagi memudahkan proses-proses penentu ukur alatan piawaian, ukuran dan sukatan yang mana amat penting pada masa kini.

“SIRIM merupakan antara badan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kualiti dan rujukan terhadap alat-alat penentu ukur di seluruh negara bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya dalam bidang kesihatan dan keselamatan.

“Cuba anda bayangkan jika alatan yang digunakan di bidang perubatan tidak tepat ia pasti akan memberikan kesan yang negatif kepada pesakit apabila ubat-ubatan yang diberikan tidak mengikut dos yang sepatutnya.

“Malah, pengukuran seperti panjang, lebar dan tinggi adalah sangat penting dalam kehidupan yang melibatkan pelbagai aktiviti seharian seperti jual beli, pembinaan dan pembuatan yang menggunakan pelbagai alat pengukur dan sukatan, justeru tanpa ukuran dan sukatan yang tepat pasti akan melibatkan kerugian," katanya.

Sumber: Utusan

1 comments:

君子之风 berkata...

SST dan SIRIM satu badan ke?
www.sst.com.my