15 Ogos 2014
Solat Menghormati Waktu
Solat menghormati waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat. Kesukaran mendapat air dan menghadap kiblat berlaku terutamanya ketika kita bermusafir sebagai contoh ketika menuju ke tanah suci Mekah.
Solat ini wajib di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat tayamum.
Pendapat ulama
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 Hijrah) menyatakan bahawa ada empat pendapat daripada Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Bar daripada sebilangan fuqaha."
Imam Al-Nawawi berkata: Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya."
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali." (riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya." (riwayat Imam Ahmad)
Semoga dengan pencerahan ini, walau apa jua keadaan sekalipun solat hendaklah diutamakan kerana ia membawa kepada kejayaan dan kemenangan.
Oleh DR. HAJI ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim)
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan