16 Ogos 2014

Paracetamol Punyai Kesan Buruk



Penyelidik perubatan di London menganggap ubat tahan sakit paling popular, paracetamol tidak begitu berkesan seperti mana yang dianggap banyak pihak, malah turut mempunyai kesan sampingan buruk.

Beberapa siri kajian mengaitkan ubat tahan sakit itu dengan kesan sampingan yang serius termasuk asma, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau lebih dikenali 'attention deficit hyperactivity disorder' (ADHD) dan mungkin mengakibatkan masalah jantung dan buah pinggang.

Bukti yang ditemukan mencetuskan amaran daripada pemerhati kesihatan di Britain dan Amerika Syarikat (AS) terhadap doktor supaya tidak kerap memberikan paracetamol kepada pesakit.


Keadaan itu, bagaimanapun mengundang pertikaian dalam kalangan profesional perubatan yang merasakan, tanpa ubat tahan sakit itu di peti simpanan perubatan, mereka tidak mempunyai apa-apa ubat untuk merawat jutaan pesakit.

Sementara itu, timbul andaian yang mendakwa bagi beberapa penyakit, ubat itu sebenarnya tidak begitu baik berbanding plasebo.

Bagaimanapun, paracetamol sehingga kini masih dianggap sebagai alternatif kepada mereka yang tidak boleh mengambil ubat antiradang tanpa steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen.

Penyelidik di Universiti Sydney menjalankan kajian ke atas lebih 1,650 responden yang menderita sakit belakang dan pelbagai penyakit lain dalam tempoh kira-kira enam minggu.

Satu pertiga responden diberikan dos harian paracetamol, satu pertiga lagi diberi ubat biasa dan satu pertiga lagi diberikan pil plasebo dengan kesemua mereka secara purata mengambil masa selama 17 hari untuk pulih.

Dr. Christopher Williams yang mengetuai kajian itu berkata, keputusan itu mengandaikan bahawa pakar perubatan perlu menimbangkan semula cadangan popular iaitu memberikan paracetamol sebagai ubat awal kepada rawatan sakit belakang.

Dalam perkembangan berasingan, jurnal JAMA Pediatrics dalam laporannya pada Februari lalu mengeluarkan amaran bahawa bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan ubat tahan sakit semasa mengandung, berisiko mengalami ADHD dan beberapa masalah lain. - AGENSI

Sumber: Utusan

Paracetamol tidak berfungsi


Badan kucing tidak mempunyai keupayaan untuk memproses parasetamol. Jadi, ubat yang diberikan itu akan terkumpul, tidak diproses, berkembang dan menjadi toksin di dalam badan si comel.

SEKIRANYA kita mengalami sakit kepala atau demam, perkara pertama yang terbayang di fikiran kita ialah pil parasetamol jenama Panadol.

Menjadi kelaziman, rakyat Malaysia yang mengalami sakit kepala akan menelan ubat yang mengandungi bahan aktif parasetamol. Semua orang akan membeli pil parasetamol kerana kemujarabannya sudah terbukti. Ia juga dianggap sebagai ubat penahan sakit terbaik di dunia.

Selain harganya yang murah, parasetamol juga mudah diperoleh kerana banyak dijual di farmasi-farmasi, kedai runcit biasa atau di rangkaian kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Pembelian ubat ini juga tidak memerlukan preskripsi daripada doktor.

Racun

Bagaimanapun, parasetamol selamat untuk digunakan dalam kalangan orang dewasa tetapi ia dianggap sebagai sejenis racun dan berbahaya bagi kanak-kanak.

Pada masa yang sama, parasetamol juga tidak sesuai untuk diberikan kepada binatang terutama ­kucing peliharaan kita.

Sekiranya manusia memakan pa­rasetamol, enzim di dalam badan kita akan bertindak secara automatik untuk merembes dan memecahkan kan­dungan ubat tersebut sekali gus memenuhi fungsinya.

Namun, ubat ini tidak berfungsi kepada si comel.

Pemilik juga dilarang membuat rawatan sendiri sekiranya kucing peliharaan mereka sakit atau demam tanpa mendapat nasihat daripada veterinar.

Ini kerana, badan kucing tidak mempunyai keupayaan untuk memproses ubat tersebut. Jadi, pa­rasetamol yang diberikan itu akan berkumpul, tidak diproses dan berkembang serta menjadi toksin di dalam badan si comel.

Toksin yang merebak akan meng­akibatkan salur darah mereka mengembang dan rosak, lidah dan gusi bertukar menjadi warna coklat gelap atau hitam, kerosakan pada hati dan boleh mengakibatkan kematian.

Sebagai langkah-langkah ke­selamatan, segala ubat-ubatan yang ada di rumah perlu disimpan di tempat yang selamat dan dijauhkan daripada si comel.

Sekiranya kucing peliharaan kita memakan parasetamol atau pemilik tersalah memberikan ubat, veterinar menasihati supaya si comel di bawa segera ke klinik.

Seperti mana yang diketahui, terdapat banyak klinik yang dibuka selama 24 jam di Malaysia.

Bagaimanapun, bagi memastikan si comel mendapat rawatan segera ketika dalam situasi kecemasan, pemilik diminta supaya menyimpan nombor telefon klinik veterinar berdekatan.

Ia dapat membantu pemilik membuat keputusan yang tepat dalam situasi kecemasan.

Oleh DR. ZURAIDAH GHADZALI
Ijazah Doktor Perubatan Veterinar,
Universiti Putra Malaysia
Sumber: Kosmo

0 comments: