18 Ogos 2014

Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M)



TP1M bawa banyak manfaat

Sejak Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) diperkenalkan pada Januari 2010, banyak manfaat diperoleh penghuni kawasan perumahan kos rendah swasta dan kos sederhana rendah swasta di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan ingin menegaskan bahawa peruntukan TP1M dilaksanakan di semua negeri dan diperluaskan tanpa pilih kasih.

Menurutnya, selain mengecat bangunan, kerja-kerja penyenggaraan di bawah TP1M termasuklah membaik pulih lif, membaik pulih tangki air sistem retikulasi, membaik pulih paip sanitari, membaiki bumbung, membaik pulih tangga dan handrail, pendawaian elektrik dan membaik pulih kerosakan umum pada harta bersama.


Menurut beliau, selain menjadikan suasana lebih ceria, ia turut memberi kehidupan yang lebih baik kepada penghuni.

Malah aspek paling penting kata beliau, TP1M berjaya membantu meningkatkan nilai hartanah sehingga 50 peratus di kawasan-kawasan terbabit.

"Di kawasan Pantai Dalam sebagai contoh, nilai rumah kos rendah di situ daripada RM70,000 naik sehingga RM120,000, begitu juga dengan rumah kos sederhana rendah di tempat lain yang kini telah meningkat kepada RM180,000," katanya.

Abdul Rahman berkata, kerajaan mengambil pendekatan ini bagi membantu persatuan penduduk atau badan pengurusan kos rendah dan sederhana rendah yang gagal menyelenggara harta bersama dalam kawasan kediaman mereka akibat kekurangan dana.

"Masalah ini dapat kita lihat keadaan rumah pangsa yang uzur dengan cat yang luntur, pelbagai kerosakan seperti tangga, lif, sistem sanitari dan bumbung yang sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan penduduk," katanya.

Sumber: Utusan

Rakyat sambut baik program penyelenggaraan


Pangsapuri Sri Batu, Kuala Lumpur lebih berseri setelah dicat semula.

Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) merupakan program membaik pulih dan menyenggara bangunan bagi perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah swasta.

Program ini bertujuan untuk membantu pihak pengurusan rumah kos rendah dan sederhana rendah swasta membaikpulih perumahan mereka.

Program ini merangkumi skop kerja membaik pulih atau menyenggara lif, tangki air dan sistem retikulasi, paip sanitari, bumbung, tangga dan handrail, mengecat bangunan, pendawaian semula serta membaik pulih kerosakan am yang melibatkan harta bersama.

Program TP1M telah bermula sejak tahun 2010 dengan tujuan untuk membantu menyelenggara rumah kos rendah swasta (berstrata) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta geran bagi melaksanakan program ini.

Pada awalnya, program ini memperkenalkan konsep geran sepadan (matching-grant) yang menggalakkan kerjasama di antara pihak Kerajaan, pihak pengurusan penyelenggaraan di kawasan perumahan, penduduk dan juga syarikat-syarikat korporat di Kuala Lumpur khususnya dalam melaksanakan projek penyelenggaraan rumah kos rendah swasta (berstrata).

Sambutan yang diterima amat baik dan kesan positif daripada pelaksanaan projek TP1M telah mewujudkan suasana persekitaran yang lebih ceria di Bandaraya Kuala Lumpur dan terbukti berjaya meningkatkan keselesaan penduduk di kediaman masing-masing.

Pada 29 Mei 2011, program TP1M telah diperluaskan kepada perumahan kos sederhana rendah swasta (berstrata) supaya lebih banyak kawasan mendapat manfaat yang dapat meningkatkan imej bandar raya.

Walaupun telah diperluaskan ke perumahan kos sederhana rendah swasta, kawasan perumahan kos rendah swasta tetap diberi keutamaan di dalam pelaksanaan program ini.

Pada peringkat awal, kaedah pelaksanaan TP1M adalah One To One Matching Grant (50:50) (Geran Sepadan) di mana separuh dari kos penyelenggaraan akan dibiayai oleh dana TP1M dan separuh lagi dibiayai oleh Management Corporation (MC)/Joint Management Body (JMB)/Persatuan Penduduk (PP).

Konsep ini diterapkan supaya MC/JMB/PP tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menyelenggara kawasan kediaman dan memupuk bekerjasama di antara penduduk.

Pada 10 Januari 2012, kaedah pembiayaan TP1M ini telah diturunkan pada kadar 90:10 bagi kos rendah swasta (90 peratus kos dibiayai oleh TP1M, 10 peratus oleh MC/JMB/PP) dan 70:30 bagi kos sederhana rendah swasta (70 peratus kos dibiayai oleh TP1M, 30 peratus oleh MC/JMB/PP).

Kaedah pembiayaan ini diguna pakai sehingga kini untuk pelaksanaan program perluasan TP1M. Sambutan yang diterima adalah sangat baik kerana penduduk telah mulai faham dan menerima konsep perkongsian pembiayaan yang diperkenalkan.

Rombakan struktur dan fungsi kementerian-kementerian selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 turut melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Program TP1M merupakan antara fungsi yang dipindahkan daripada KWP ke KPKT berkuatkuasa pada 16 Mei 2013. Butiran projek TP1M di bawah KWP bagi peruntukan pembangunan dipindahkan secara keseluruhannya kepada KPKT pada 15 Julai 2013.

Kerajaan seterusnya telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bermula tahun 2013-2016 bagi pelaksanaan TP1M. Di samping itu, kerajaan juga telah menambah peruntukan sebanyak RM80 juta untuk tahun 2015-2017.

Sumber: Utusan

Kerajaan prihatin kesulitan penghuni rumah pangsa kos rendah


Perumahan Awam Kos Rendah Taman Muhibbah sebelum dan sesudah dicat semula.

Pengurusan dan penyelenggaraan bangunan bertingkat / berstrata termasuk kemudahan bersama seperti lif, dewan dan taman permainan merupakan tanggungjawab penuh pihak yang mengurus perumahan/penghuni yang mendiami dan memiliki bangunan tersebut.

Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesulitan penghuni bangunan rumah pangsa kos rendah dalam mengurus dan menyelenggara perumahan mereka terutamanya apabila melibatkan kos pembaikan yang tinggi.

Sehubungan ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Program PenyenggaraanPerumahan Kos Rendah Awam Berstrata (PPP) pada tahun 2011 untuk membantu menyelenggara dan membaikpulih perumahan berstrata kos rendah awam dan swasta di seluruh negara kecuali perumahan kos rendah swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pelaksanaan PPP pada awalnya adalah berdasarkan konsep geran sepadan 50:50 di mana separuh daripada kos penyenggaraan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui PPP manakala separuh lagi ditanggung oleh pihak yang menguruskan rumah pangsa kos rendah terbabit samada Kerajaan Negeri / Pihak Berkuasa Tempatan / Agensi Kerajaan Negeri / Perbadanan Pengurusan (MC)/Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Persatuan Penduduk.

Sepanjang tahun 2011, KPKT telah melaksanakan sebanyak 37 projek penyenggaraan perumahan kos rendah di bawah PPP iaitu 28 perumahan awam dan 9 perumahan swasta dengan peruntukan berjumlah RM15.3 juta.

Selepas setahun pelaksanaan, Program PPP ditambah baik dan diperkukuhkan dari segi liputan kawasan operasi, kumpulan sasar, kadar geran sepadan dan skop kerja.

Mulai tahun 2012, kumpulan sasar PPP adalah tertumpu kepada perumahan kos rendah awam berstrata di seluruh Negara. Perumahan kos rendah swasta puladikeluarkan daripada PPP dan diletakkan di bawah Program Tabung Penyelenggaran 1Malaysia (TP1M).

Kadar geran sepadan PPP juga telah dipinda daripada 50:50 kepada 90:10 dimana, Kerajaan Persekutuan membiayai 90 peratus kos penyelenggaraan dan pihak yang mengurus rumah pangsa kos rendah awam hanya menanggung 10 peratus daripada kos tersebut.

Di samping itu, skop kerja penyenggaraan PPP turut diseragamkan kepada membaiki/menukar lif, membaiki/menukar bumbung, membaiki tangki air dan sistem retikulasi, penyenggaraan paip sanitari, penyenggaraan tangga/handrail, pendawaian semula, mengecat dan membaiki kerosakan am yang melibatkan harta bersama (common property).

Sejak Pelaksanaan PPP pada tahun 2011 sehingga 2013, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM92.85 juta untuk menyelenggara dan membaikpulih 108 kawasan perumahan kos rendah awam di seluruh Negara.

Tahun ini, sebanyak 36 projek penyenggaraan rumah kos rendah awam akan dilaksanakan melibatkan peruntukan berjumlah RM34 juta.

Program PPP yang diperkenalkan telah banyak membantu pihak yang mengurus rumah pangsa kos rendah awam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan kos pembaikan yang tinggi.

Di samping itu, program ini juga dapat meningkatkan imej rumah pangsa kos rendah awam dan kualiti hidup penghuni.

Sumber: Utusan

TP1M sediakan dana RM42.6 juta di tahun 2014



Sebanyak 98 kawasan perumahan kos rendah dan sederhana rendah akan dibaik pulih dengan peruntukan bawah Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) sebanyak RM42.6 juta pada tahun 2014.

Menurut Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebanyak RM32,778,498.33 telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk melaksanakan 97 projek baik pulih di bawah TP1M pada tahun 2013.

Daripada 97 projek baik pulih tersebut, 73 (75 peratus) merupakan rumah kos rendah swasta dan 24 (25 peratus) rumah kos sederhana rendah swasta.

Kuala Lumpur merupakan negeri yang paling tinggi dilaksanakan TP1M iaitu sebanyak 56 projek diikuti Johor sebanyak 16 projek. Dua negeri iaitu Melaka dan Perak melaksanakan TP1M paling rendah sebanyak satu projek bagi tahun 2013.

Antara kesan positif program TP1M adalah kenaikan harga jualan dan sewa rumah, peningkatan kadar kutipan caj penyenggaraan dan kediaman yang selamat dan selesa untuk dihuni.

Secara keseluruhannya, program TP1M telah memberi impak yang positif dalam meningkatkan kualiti hidup penghuni serta keceriaan kawasan perumahan.

Sumber: Utusan

0 comments: