17 Ogos 2014
Singkir Pemimpin Bukan Kerja Mudah
Menurunkan seseorang pemimpin tidak sama dengan menjatuhkan orang biasa kerana ia melibatkan proses psikologi dalam kumpulan dan melibatkan kuasa.
KRISIS politik dan penyingkiran Menteri Besar Selangor sedang hangat dibincangkan rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar satu cerita percaturan politik tetapi sebenarnya melibatkan proses psikologi dalam kumpulan dan melibatkan kuasa.
Ia merupakan proses kepemimpinan melibatkan individu yang cuba mempengaruhi antara satu sama lain. Adakalanya gagal dan jika bernasib baik, berjaya. Ia bergantung kepada sejauh mana proses dalam kumpulan itu berlaku.
Walaupun krisis ini sudah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu, kemuncaknya berlaku apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ia merupakan antara strategi yang digunakan oleh partinya dalam usaha untuk membuatkan beliau melepaskan jawatan. Walaupun kelihatan mudah, proses penyingkiran itu tidak semudah yang dijangka.
Menurunkan seseorang pemimpin tidak sama dengan menjatuhkan orang biasa. Inilah yang dinamakan proses kumpulan. Dalam psikologi, manusia dikatakan akan berasa mempunyai kekuatan sekiranya mempunyai pengaruh dan sokongan daripada pengikut.
Pemimpin tidak akan wujud tanpa pengikut. Semakin besar pengikut yang dimiliki, bermakna semakin berkuasa sebagai seorang pemimpin.
Tidak terikat
PROSES menyingkirkan pemimpin menyebabkan keadaan negara berkenaan menjadi kucar-kacir.
Pemimpin pula tidak semestinya wujud dalam bentuk kuasa yang bersifat formal. Ada banyak pemimpin yang tidak terikat dengan proses pelantikan secara formal.
Imam atau ketua masyarakat di kampung misalnya sangat dihormati. Kata- kata mereka didengar dan dipatuhi sekalipun mereka mungkin bukanlah ketua yang dilantik oleh sesiapa.
Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW tetap dirasai kehadirannya walaupun selepas kewafatan Baginda.
Di India, ribuan rakyat bersatu bersama-sama Mahatma Ghandi untuk menentang penjajah Inggeris walaupun beliau merupakan seorang yang bersifat sederhana sahaja.
Beberapa tokoh politik di negara kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran negara.
Bagaimanapun, beliau masih dianggap pemimpin dan pandangannya masih dianggap sebagai satu bentuk 'arahan' oleh rakyat Malaysia.
Inilah sifat yang dimiliki oleh seseorang pemimpin. Ada pemimpin yang perlu bersusah payah menunjukkan kuasanya bagi membolehkan mereka dihormati, malah ada pula yang tidak perlu melakukan apa-apa.
Pemimpin yang bersifat autokratik misalnya, perlu menghukum mereka yang menentang mereka bagi membolehkan mereka dianggap sebagai pemimpin. Sebaliknya, ada pula pemimpin yang tidak melakukan sesuatu yang istimewa tetapi kata mereka dipatuhi.
Pandangan psikologi menyatakan bahawa ada individu yang dilahirkan sebagai pemimpin manakala sesetengahnya perlu dilatih.
Pandangan ini mungkin ada kebenarannya. Ada individu sejak zaman kanak-kanak akan cuba beraksi sebagai pemimpin dengan mengarah rakan-rakan lain untuk mengikut telunjuk mereka ketika bermain. Ada pula yang hanya mampu menjadi pengikut yang baik tetapi tidak sebagai pemimpin.
Bagaimanapun, ada pandangan yang menyatakan bahawa kejayaan seseorang pemimpin itu bergantung kepada situasi orang bawahannya. Ini pula tidak bergantung sama ada mereka bersifat autokratik atau demokratik.
Pemimpin seperti Saddam Hussien atau Muammar Gaddafi mungkin dianggap sebagai individu yang kejam mengikut kaca mata Barat. Bagaimanapun, setelah ketiadaan mereka, negara menjadi semakin kucar-kacir.
Kekejaman yang dilakukan oleh pemimpin puak di Iraq atau Libya mungkin lebih teruk daripada apa yang pernah dilakukan oleh kedua-dua pemimpin tadi.
Berbalik kepada kisah politik di Selangor, kita semua tentunya sedang menantikan apakah kesudahannya krisis politik yang sedang berlaku itu.
Ia tidak hanya bergantung kepada sejauh mana sokongan yang diterima oleh PKR untuk menyingkirkan Menteri Besar. Tetapi ia juga banyak bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh rakyat Selangor untuk terus mempertahankan pemimpin mereka.
Kelemahan lawan
PARA penyokong Abdul Khalid mengangkat sepanduk bagi menyatakan sokongan kepadanya di Kuala Lumpur.
Abdul Khalid mungkin tidak lagi mendapat kepercayaan partinya tetapi kepercayaan rakyat bakal membolehkan beliau terus memegang tampuk pimpinan.
Kejayaan seseorang pemimpin juga bergantung kepada sejauh mana mereka mengetahui kelemahan lawannya dan kemampuan menyembunyikan kekuatan sendiri.
Dalam kes Abdul Khalid, PKR mungkin berasa sudah mampu memperoleh kejayaan dengan memecat beliau daripada parti.
Bagaimanapun, musuh politik Abdul Khalid pula mungkin masih tidak mampu membaca apa langkah yang masih ada di tangan beliau. Begitu jugalah sebaliknya.
Inilah situasi yang jelas dilihat dalam krisis politik di Selangor. Abdul Khalid mungkin tidak lagi dianggap pemimpin utama dalam partinya.
Bagaimanapun, tidak ada sesiapa pun boleh menjangkakan kuasanya itu untuk mempengaruhi pengikut yang lain. Ia satu proses psikologi yang tidak kelihatan.
Selagi kedua-dua pihak masih mempunyai keupayaan mempengaruhi orang bawahan, maka selagi itulah pertembungan kuasa ini akan terus berlaku.
Sumber Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan