22 September 2014
Akhlak Menunjukkan Gambaran Hati
Orang yang 'celik mata hati'nya, akan nampak jauh hingga kehidupan di akhirat, kerana apa yang kita semai itulah yang kita akan tuai. Jika kita semai kebaikan, kebaikanlah yang kita dapat.
Jika kita mempamerkan nilai diri yang baik, tentunya nilai diri kita juga akan baik. Oleh itu tingkatkan nilai diri kita dengan memperbaiki diri terhadap apa-apa sahaja yang kita lakukan.
Nilai diri yang baik diukur melalui akhlak, dan akhlak yang baik memberikan gambaran hati kita yang baik. Seperti kata pepatah Melayu, "Hati orang yang bodoh itu di mulutnya, lidah orang yang cerdik di belakang hatinya".
Orang yang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang yang pandai berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Oleh itu jagalah hati kita; apabila hati terjaga mulut pun terjaga.
Jangan kita berasa diri kita ini lebih besar daripada sesiapa pun; kalau bercakap hendak menang sahaja, serta berasa kitalah yang pandai dan kita serba tahu, hingga langsung tidak mahu mendengar pandangan orang.
Berlemah lembutlah dalam komunikasi, jangan menggunakan kata-kata kesat walaupun ketika kita marah. Ingatlah "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Jagalah perasaan orang lain jangan kerana mulut kita, hati orang terasa dan terserlah sifat ego kita. Jom audit diri, adakah kita seorang yang memiliki sikap ego?
Ciri-ciri orang yang keegoan tinggi ialah, suka marah, suka bersaing, kalau bercakap dia sahaja yang betul, sangat fikir apa orang kata, dia menilai dirinya berdasarkan pangkat dan kedudukan, dia merasakan segala yang terhasil itu adalah hasil titik peluhnya, dia seorang yang kedekut, dia ingin lebih daripada orang dan tidak boleh ada orang yang lebih daripadanya. Semua ciri-ciri ini, membuatkan hidup kita stres.
Islam mendidik kita menjaga akidah, ibadah dan akhlak. Kalau kita yakin ibadah khusus kita baik, akhlak kita juga akan baik. Khusyuk atau tidak ibadah kita, boleh dinilai dan dilihat daripada perangai kita selepas solat.
Tiga peringkat dalam menjaga akhlak dengan sesama manusia pertama, menjaga dan menghormati diri kita, dengan tidak melakukan sesuatu yang tidak menjatuhkan martabat kita sebagai seorang insan dan seorang Islam.
Kedua, menjaga akhlak kita dengan orang sekeliling kita. Mulakan dengan orang terdekat; dengan suami atau isteri, dengan anak-anak, dengan ibu dan bapa kita, dengan ibu dan bapa mentua kita, adik-beradik dan ipar-duai kita, dan pembantu rumah. Ketiga, menjaga akhlak dalam masyarakat.
Jadikan kasih sayang sebagai tunggak kebahagiaan hidup kita dalam rumah tangga, keluarga dan masyarakat serta jauhi kebencian. Bayangkan kasih sayang ini sebagai satu wangian atau 'air jernih' dan 'air bersih' yang mengalir dalam kehidupan kita, yang menyamankan suasana. Apabila ada kebencian, bermakna sudah ada 'air keladak' yang mencemari kehidupan kita.
Jadilah orang yang suka bekerjasama. Apabila bercakap kita lebih hendak menjaga silaturahim, lebih daripada rasa kita hendak mempertahan pendapat kita, kecuali dalam bidang agama, kalau salah kita kena pertahankan. Sentiasa penuh kasih sayang, sentiasa melihat kebaikan dalam semua orang dan suasana. Sangat bermurah hati, baik hati dan suka membantu orang.
Kualiti kehidupan kita bergantung kepada kualiti komunikasi kita. Sebab dalam formula berkomunikasi, pengaruh dan kuasa 'perkataan' memberikan kesan 7%, 'intonasi' 38%, dan 'bahasa badan' 55%. Jagalah komunikasi kita jangan berkasar dan jangan terlalu lembut terutama bagi wanita hingga nampak kita hendak menggoda atau mengada-ngada.
Oleh itu kalau wanita berkomunikasi dengan bukan muhrim, kita mesti berkomunikasi dalam keadaan profesional. Janganlah kita buat aksi mengada-ngada dan gedik. Kita boleh bercakap dengan lemah lembut dan sopan santun.
Di mana sahaja kita berada, ingat bahawa kita ini hamba Allah yang baik dan peganglah tiga prinsip. Pertama, bilakah waktu yang paling penting? Sekarang. Kedua, siapakah orang yang paling penting? Orang di hadapan kita atau yang paling dekat dengan kita, (keluarga). Ketiga, apakah amalan penting? Berbuat baik. Dengan tiga prinsip hidup ini, kita akan tahu bagaimanakah kita hendak bertindak, dan kita akan tahu yang mana satu kita hendak utamakan.
Jaga akhlak kita di mana-mana kita berada, sama ada di mata manusia apatah lagi pada pandangan Allah. Yakin bahawa Allah paling suka dengan orang yang berakhlak, seperti akhlak Nabi Muhammad SAW yang mulia akhlaknya.
Sentiasalah kita menjaga keperibadian diri; berakhlak, senyum, memberi salam, menyapa dan bersopan-santun. Bersopan-santun dengan mendahulukan kepentingan orang daripada diri sendiri, kecuali dalam beberapa perkara tertentu. Berprasangka baik dengan semua orang atau masyarakat.
Jangan sesekali berfikir negatif tentang sesiapa kerana getaran fikiran kita akan sampai kepada orang yang kita fikirkan itu. Hantarkan kasih sayang dan hormat kepada semua orang dan cuba buat orang yang kita jumpa berasa mereka bernilai dan seronok tentang diri mereka dengan akhlak kita yang baik.
Bagi mengekalkan akhlak yang baik pertama, jadi insan dan hamba yang baik dahulu di sisi Allah. Kedua, ingat kita dijadikan sebagai khalifah, memimpin diri kita dahulu. Orang yang membangunkan dirinya, baru boleh membangunkan orang; orang yang bahagia sahaja yang boleh membahagiakan orang, dan orang yang betul dunia dalamannya sahaja, yang akan betul dunia luarannya.
Ketiga, kita mengimarahkan dunia mengikut hukum Allah dan mengutama Allah. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."
Oleh Dr. Muhaya mohamad
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan