SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang membanjiri KL Converge di KLCC di Kuala Lumpur.
KL Converge 2014 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) menonjolkan Malaysia sebagai hab media digital dan komunikasi terkenal di rantau ini.
Acara tiga hari yang berlangsung dari 17 hingga 19 September, 2014 memberi tumpuan kepada elemen 'melihat', 'sentuhan', 'rasa', 'mendengar', 'persembahan' dan 'percakapan' itu diterjemahkan dalam pelbagai sesi pemikiran dan tempat pameran yang disertai beberapa negara dan syarikat.
Persidangan dan pameran industri kreatif multi platform adalah berdasarkan kepada kesatuan komunikasi, penyiaran, teknologi digital dan kandungan kreatif seperti filem, animasi, muzik dan drama.
KL Converge, dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Turut dipamerkan ialah Content Malaysia 2014 yang direka untuk memperlengkapkan ciptaan audio visual tempatan dan kandungan kreatif profesional dengan semua peralatan digunakan untuk memaksimumkan potensi perniagaan dan kelebihan mereka.
KL Converge juga mempamerkan sesi pembangunan aplikasi, permainan, kerjasama antara penyiar dan pemasaran muzik melalui penggunaan teknologi.
Sumber: Utusan
Orang ramai berpeluang mengetahui perkembangan teknologi terkini melalui pameran di KL Converge tersebut.
Penolong Pengurus Projek Teknikal Kontron Asia Pasific Design Sdn. Bhd., Maizalina Mior Jamal memberitahu, orang ramai lebih mudah memahami perkembangan itu setelah diberi penerangan tentang peralatan dan teknologi yang dihasilkan oleh syarikat pempamer.
"Mereka berpeluang untuk terus bertanya tentang teknologi yang dicipta dari segi fungsi dan peralatan yang digunakan serta bertukar pendapat berhubung beberapa perkara.
"Program ini juga merupakan sebuah platform yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai buah fikiran untuk mencipta teknologi baharu dengan berkongsi maklumat bagi bergerak maju ke hadapan," katanya.
Bagi pereka grafik Ventures 1337 Sdn. Bhd., Aiman Baharum, 23, pula, selain mengetahui perkembangan teknologi terkini, orang ramai berpeluang merancang untuk menjalankan perniagaan dengan ciptaan baharu.
"Rata-rata pengunjung yang datang ke sini juga mudah berinteraksi serta bergaul dengan para peserta pameran dan masing-masing bertukar pendapat berhubung sesuatu topik yang dibincangkan.
"Perkara itu menunjukkan ramai juga yang berkongsi keinginan yang sama dalam mencipta suatu teknologi baharu untuk digunakan oleh masyarakat," katanya.
Pengurus Bahagian Pengurusan Produk Mimos Berhad, Noor Hamizah Harun berkata, pameran itu juga memberi peluang kepada para peserta untuk menonjolkan bahan ciptaan mereka.
"Pada masa yang sama, peserta pameran dapat mengetahui kelemahan serta kekuatan bahan ciptaan mereka melalui kritikan yang diterima oleh para pengunjung yang melihatnya," ujarnya.
Sumber: Utusan
KL Converge Medan Tunjuk Potensi Industri Kreatif Negara
Pameran dan persidangan KL Converge 2014, yang berlangsung dari 17-19 Sept di ibu negara, menampilkan pelbagai peluang sedia ada bagi pembekal kandungan kreatif dari Malaysia.
Acara itu, yang melibat dan menemukan penyedia kandungan kreatif tempatan dan asing, juga menjadi platform bagi penyatuan idea-idea dan pengagihan kandungan digital.
Penganjur turut menjemput beberapa tokoh utama industri berkenaan untuk berkongsi pengalaman termasuk Namit Malhotra, pakar 'special effects' bunyi dan visual bagi siri filem popular "Transformers".
Malhotra dalam pembentangan mengenai topik CG dan VFX berkongsi pengalaman syarikatnya yang bermula secara kecil-kecilan di Mumbai, India, sehinggalah penglibatannya dalam beberapa filem keluaran Hollywood seperti "Gravity" dan "Lego the Movie: The Legend of Chima".
Beliau turut menekankan bahawa terdapat potensi besar yang boleh dicapai oleh syarikat-syarikat dalam industri kandungan kreatif kerana wujudnya permintaan berterusan bagi kandungan dan bakat kreatif, termasuk pakar kesan visual.
PELUANG BAGI INDUSTRI KREATIF MALAYSIA
KL Converge 2014 sebenarnya membuka satu lembaran baru kepada penggiat kandungan kreatif tempatan dalam memperluaskan lagi penyertaan mereka dalam industri kreatif.
Penggiat industri kreatif Malaysia banyak menyaksikan kejayaan sejak kebelakangan ini.
Umum tahu kejayaan siri animasi Upin dan Ipin, hasil kreativiti tenaga kerja Les' Copaque Production Sdn Bhd sejak diperkenalkan pada 2007 menerusi TV9.
Kejayaan Upin dan Ipin baik daripada segi kandungan, kreativiti dan pemasarannya berjaya menaikkan martabat industri animasi tempatan ke peringkat antarabangsa. Ia secara tidak langsung menetapkan satu tanda aras bagi para penggiat industri kreatif terutama dalam bidang berkenaan.
Sejak itu muncul pula siri animasi Boboiboy keluaran Animonsta Studio dan siri animasi wira Islam, Saladin, terbitan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC). Saladin pernah ditayangkan di Al Jazeera Children's Channel untuk penonton Timur Tengah pada 2010.
Kejayaan siri animasi tempatan itu turut membawa satu perubahan luar biasa dalam industri kreatif negara sehingga kerajaan mewujudkan dana untuk penggiat industri ini.
Malah bidang multimedia digital mula menjadi pilihan utama para pelajar di institusi pengajian tinggi berikutan peluang yang terdapat dalam bidang berkenaan.
Bagi mereka yang berada di luar industri kandungan pula, masih ramai yang tidak jelas mengenai industri kreatif dan tumpuan hanya diberi kepada bidang animasi sahaja.
TANGGAPAN SALAH INDUSTRI KREATIF
Bagaimanapun, industri kreatif bukanlah mengenai animasi semata-mata. Ia melibatkan komunikasi, penyiaran, teknologi digital dan kandungan kreatif.
Animasi adalah satu daripada cabang dalam kandungan kreatif termasuk filem, drama dan muzik.
Menurut pensyarah multimedia di Malaysian Institute of Information Technology, UniKL Mohd Zaky Khairuddin, maksud industri kreatif di Malaysia ada kalanya disalahanggap sebagai terhad kepada industri visual sahaja.
Sungguhpun begitu, tahap kesedaran berhubung industri kreatif baru telah meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini.
Pada 2012, kerajaan memasukkan bajet berjumlah RM200 juta yang diuruskan oleh MyCreative Ventures, cabang pelaburan kerajaan yang bertujuan meningkatkan industri kreatif tempatan kepada standard lebih tinggi.
"Nilai itu tidaklah banyak jika dibandingkan dengan modal sebuah filem Hollywood yang boleh mencecah US$400juta (RM1.2 bilion). Tetapi ia adalah sokongan kepada penggiat industri kreatif", kata Mohd Zaky kepada Bernama.
Malaysia baru membuka pintu kepada kepantasan industri kreatif. Bermula 2010 hingga kini, industri kreatif di Malaysia mengalami zaman 'fast forward'.
"Penggiat seni kreatif sudah melangkah ke peringkat antarabangsa tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan."
Beliau berpendapat dalam tempoh 10-15 tahun akan datang permintaan dari luar akan melonjak seperti yang berlaku di China, India dan Filipina. Hollywood sudahpun mula mencari tenaga kerja kreatif dari negara-negara Asia.
Inilah peluang yang perlu dilihat kerana industri kreatif boleh menghasilkan pulangan lumayan sehingga berbilion ringgit. Jika peluang ini tidak direbut, ia menjadi satu kerugian amat besar kepada negara.
Bagaimanapun, Mohd Zaky turut menyatakan perlu adanya langkah persediaan jangka panjang bagi mengawal hasil kandungan kreatif.
"Siapa tahu dunia tanpa sempadan hari ini akan menyebabkan kita tidak mempunyai kawalan atau tidak mempunyai kuasa lagi untuk mengawal hasil kandungan kreatif oleh syarikat luar yang bertapak di sini".
Oleh Nurul Halawati Azhari
Sumber: BERNAMA
KL Converge Ruang Terbaik Penggiat Industri Kreatif
Ketika ini industri kreatif berkembang di seluruh dunia dengan cukup pantas seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.
Cabang yang sangat luas, menyebabkan industri kreatif sangat diperlukan bukan hanya tertumpu kepada penghasilan permainan video dan animasi sebaliknya kini diaplikasi dalam bidang yang serius seperti industri minyak, industri perikanan, perkilangan dan seumpama.
Di negara maju seperti Amerika Syarikat industri kreatif menjadi satu daripada sumber terpenting dalam pertumbuhan ekonominya yang menyumbang tidak kurang US$3 trillion setahun.
Di Malaysia, industri kreatif turut berkembang dan berpotensi besar menjadi penyumbang kepada KDNK negara iaitu 1.3 peratus berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun yang menyumbang lima hingga tujuh peratus kepada KDNK.
Melihat potensi itu, persidangan yang dinamakan KL Converge diadakan buat julung kalinya sebagai medan untuk penumpuan idea-idea dan pengedaran bahan digital melalui web. Ia juga menjadi platfom Malaysia untuk menjadi hub media dan komunikasi digital terkemuka Asean.
Ia sebagai ruang terbaik untuk pemain industri multimedia, komunikasi, konten dan kreatif bertukar-tukar idea serta meneroka peluang baru, demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.
Membawa tema, Lihat, Dengar, persembah, Cakap, Rasa, Sentuh dan Keceriaan, KL Converge diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dari pelbagai negara dan syarikat secara terus bagi memaparkan aplikasi, permainan, filem dan rancangan TV.
KEPENTINGAN TEKNOLOGI DIGITAL
Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyebabkan jutaan manusia hari ini bergantung kepada aplikasi digital untuk membantu melancarkan tugas.
Ini menyebabkan permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan pengguna terhadap bahan digital yang merangkumi pelbagai bidang antaranya pendidikan, hiburan dan penyelidakan.
Mohamed Sharil berkata, perkara itu antara fokus utama dalam KL Converge 2014 terutama perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sistem digital negara.
Malaysia menduduki negara keempat di dunia mempunyai 'warga digital' bagi kadar penggunaan jalur lebar dan aplikasi internet dalam tempoh lima tahun dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, sistem digital bagi stesen televisyen negara yang kini dalam fasa pembikinan kandungan dan melengkapkan prasarana transmisi dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun hadapan.
KL Converge akan menjadi satu inisiatif bagi SKMM mencungkil bakat dan kandungan tempatan untuk Televisyen Terrestial Digital (DTT) Malaysia yang akan dilancarkan kelak.
"Sistem TV digital ini akan menambahkan lagi bilangan saluran dan pihak kami sedang mencari kandungan-kandungan untuk dimasukkan ke dalam saluran itu nanti.
"Untuk itu, kita harus meningkatkan pelaburan dalam kandungan tempatan. Apabila berlangsungnya TV digital, bilangan mereka yang terlibat dalam industri kandungan telah ada", katanya.
TUMPUAN INDUSTRI KREATIF DAN ANIMASI
Pada persidangan KL Converge itu, turut membawa beberapa nama besar terutama dalam industri kreatif dan animasi.
Mereka antaranya Namik Malhotra, pakar kesan khas bunyi bagi filem Tranformer dan Roger Christian dari filem Star Wars.
Turut dibawa ialah Komposer terkenal di sebalik filem blockbuster dan komersial, Steve Sidwell dan pengarah-pengarah filem terkenal seperti pengarah dari LucasFilm , Prime Focus dan Animation VFX.
Melalui perkongsian daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing ini, mereka yang terlibat dalam industri kreatif dan animasi boleh mempelajari kaedah terutama untuk menembusi pasaran luar.
"Pengamal industri kreatif dan animasi negara perlu mengambil peluang ini untuk bekerjasama dengan golongan profesional antarabangsa bagi menghasilkan karya dan idea yang boleh menembusi pasaran antarabangsa terutama di Hollywood, Bollywood dan pasaran Asean", katanya.
Persidangan itu juga diisi dengan pelbagai program menarik seperti pameran, sesi dialog dan interaktif, bengkel dan pelbagai lagi.
PELUANG TERBAIK PEMAIN INDUSTRI
Melihat potensi cemerlang dalam industri kreatif, rata-rata pemain industri melihat persidangan KL Converge yang pertama kali diadakan sangat tepat pada masanya.
Langkah diambil Malaysia dalam menganjurkan persidangan seperti ini adalah langkah ke hadapan berbanding negara-negara Asean lain.
Persidangan seperti ini telah lama dinantikan oleh kami sebagai orang yang terlibat dalam industri kreatif, menurut Ketua Pegawai Eksekutif FUNCEL Sdn Bhd, Azrul Hassani yang terlibat dalam penghasilan filem animasi.
Beliau berkata Malaysia negara kedua selepas Singapura yang ke hadapan dalam industri kreatif di Asean.
"Hasrat Malaysia untuk menjadi hub media dan komunikasi digital memang bertepatan dengan keadaan semasa yang mampu memberi peluang pekerjaan yang banyak di dalam industri ini", katanya.
Beliau berkata seperti bidang animasi, ia tidak terhad kepada penghasilan filem sahaja sebaliknya boleh menjana pendapatan yang tinggi melalui pelbagai cabang antaranya barangan dan komik, yang akan memberi banyak peluang pekerjaan.
"Seperti yang boleh kita lihat dalam animasi Upin dan Ipin, strategi pemasaran yang dilakukan membolehkan penjenamaannya kukuh hingga mampu mengeluarkan barangan tersendiri. Ini yang boleh kita lihat dalam skop yang lebih luas", katanya yang menghasilkan drama bersiri animasi Satria yang bekerjasama dengan teknologi Jepun.
Beliau yang turut terlibat dalam KL Converge berharap lebih banyak persidangan dan program seperti ini diadakan pada tahun-tahun akan datang untuk meningkatkan lagi perkembangan dan pengetahuan masyarakat dalam industri kreatif.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI IT UNTUK PERTANIAN MODEN
Tidak terhad dalam bidang animasi, industri kreatif turut melibatkan bidang-bidang lain antaranya pertanian seperti yang diusahakan oleh Aquagrow Corporation Sdn Bhd.
Mereka menggunakan teknologi berasaskan internet bagi melonjakkan hasil pengeluaran penternakan ikan secara moden dengan menggunakan aplikasi "Internet Of Things (IoT) atau dikenali sebagai 'Integrete Aquaculture Intelligent Solution' (IAIS) dalam perternakan ikan luar persisir.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Razali Mohamed berkata KL Converge diharap dapat membuka mata banyak pihak bahawa industri kreatif turut diperlukan dalam bidang pertanian dan bidang serius lain, tidak hanya tertumpu dalam bidang seni dan animasi sahaja.
Beliau mengambil contoh negara Norway antara negara yang menggunakan teknologi sama dalam penternakan ikan salmon, mampu meningkatkan pengeluaran kepada 600,000 tan metrik setahun dengan pendapatan berbilion ringgit.
"Penggunaan IoT dalam sektor perikanan agak asing di Malaysia malah kami adalah satu-satunya syarikat yang menggunakan teknologi itu. Ia terbukti lebih efisien berbanding kaedah penternakan ikan moden biasa", katanya kepada Bernama.
Melalui sistem ini, tenaga kerja dapat dikurangkan dengan pemantauan ikan termasuk oksigen terlarut, arus, nilai pH dan suhu dikoordinasikan berasaskan internet melalui Sistem Cloud Computing.
Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA
Pelbagai Pameran dan Aktiviti Di KL Converge.
Berikut dipaparkan maklumat berkaitan beberapa aktiviti yang terdapat di KL Converge.
Aplikasi 3D Thailand
Aplikasi mudah alih 3D 'LarTo 3D' yang dipamerkan di gerai pameran Thailand mendapat perhatian ramai pengunjung persidangan dan pameran KL Converge 2014.
Orang ramai dilihat mengerumuni gerai pameran itu dan ada di antara mereka mengambil gambar aplikasi itu yang dibangunkan syarikat Thailand, G Softbiz Co. Ltd.
Wakil syarikat itu, Junticha Winyoupan, berkata aplikasi itu direka khusus untuk kanak-kanak berusia dari 3 hingga 12 tahun dan menampilkan kartun dinosaur bernama 'LarTo'.
"Menerusi teknologi realiti maya yang juga dikenali sebagai realiti luasan, aplikasi ini membolehkan pengguna untuk menikmati 'pop up' animasi 3D pada skrin mudah alih atau tablet apabila digunakan bersama buku LarTo yang diterbitkan syarikat kami.
" 'Pop up' 3D itu ditampilkan bersama muzik dan suara karakter kartun yang memudahkan pengguna memahami jalan ceritanya," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata aplikasi itu boleh diperoleh secara dalam talian.
Sumber: BERNAMA
Kisah Bidayuh Raih Pertandingan Projek Jalinan
Anak hasil perkahwinan campuran antara Bidayuh dan Iban, John Dan Adrian mendapat ihlam untuk mencipta sebuah video untuk menghebahkan kepada dunia mengenai warisannya itu.
Lantas tidak terfikir pelajar berusia 16 tahun itu bahawa hasil kerjanya boleh memenangi pertandingan peringkat negara.
Anak muda dari Kuching itu, yang tidak mempunyai pengalaman teknikal dalam menghasilkan filem, ternyata terkejut apabila menerima panggilan telefon hujung minggu lepas bahawa beliau adalah finalis 'Projek Jalinan'.
Beliau menayangkan video berkenaan kepada panel hakim semalam pada pertandingan sempena Persidangan dan Pameran Kl Converge 2014 di sini dan teruja apabila mengalahkan 19 peserta lain untuk memenangi anugerah 'Most Inspiring Linkages'.
"Saya memang terkejut. Saya rasa peserta lain lebih baik daripada saya tetapi saya rasa tuah memihak saya," kata pelajar Sekolah Menengah St Joseph dari Kuching itu.
Adrian berkata video tersebut dirakaman di sebuah perkampungan budaya di bawah projek yang diselia oleh gurunya, Wong Ho Hock.
"Pada asasnya, saya mahu mempamerkan kehidupan biasa kaum Bidayuh di kampung dan saya merakamkan nenek saya keturunan Iban. Ini adalah kerana kami rasa lebih biasa dalam kalangan keluarga dan mudah untuk melakukan rakaman," katanya.
Pertandingan dengan tema 'Merdeka dan Hari Malaysia' anjuran Persatuan Kreativiti, Inovasi dan Reka Bentuk Malaysia (MACRI) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Yayasan 1Malaysia telah mendapat penyertaan lebih 500 video daripada 1 Julai hingga 31 Ogos 2014.
Pengarah Kluster Inisiatif dan Komuniti Remaja, Remaja Digital Malaysia, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), Sumitra Nair, berkata objektif acara itu adalah untuk menghubungkan generasi muda dan lama menerusi peralatan digital dan platform media sosial.
Beliau berkata video yang memenangi anugerah itu akan disiarkan di 'YouTube' serta saluran televisyen RTM.
Sumber: BERNAMA
Komuniti Dunia Bina Rumah Untuk Orang Asli
Ia bermula dengan satu objektif utama iaitu merapatkan jurang bandar dan luar bandar menerusi pembinaan rumah untuk masyarakat Orang Asli.
Tetapi John-Son Oei, pengasas EPIC Homes, tidak pernah terfikir bahawa inisiatif itu akan mendapat perhatian pihak luar dari Malaysia termasuk negara-negara di Afrika dan Amerika Selatan.
Beliau berkata sehingga kini, EPIC Homes telah melatih hampir 800 sukarelawan binaan dari Australia, Jerman, Jepun, Belanda, New Zealand, India, Sweden, Turki, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Iraq dan Venezuela.
Mereka menawarkan perkhidmatan melalui laman web www.epichome.org.
Berikutan usahanya merangsang insan untuk melaksanakan perubahan menerusi dalam talian, Oei telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ejen Transformasi Negara (ANT) 2014 yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sempena persidangan dan pameran KL Converge 2014.
SKMM memperkenalkan anugerah itu bagi menghargai individu atau kumpulan yang mencipta impak besar dan memberi sumbangan luar biasa kepada masyarakat sasaran dengan menggunakan penghubungan jalur lebar dalam mengurus operasi dan aktiviti mereka.
"Kami bertekad untuk menyediakan perumahan yang selamat dan mampan bagi masyarakat yang kurang bernasib baik bermula dengan Orang Asli selain rumah-rumah yang dibina insan biasa yang dilatih di bawah Program Latihan Binaan (BTP) kami," kata Oei.
Beliau berkata EPIC Homes membangunkan sistem binaan yang membenarkan semua orang termasuk warga asing untuk mengambil bahagian dalam pembinaan rumah bersama-sama Orang Asli, satu aktiviti yang saling menghubungkan pendudukan dari negara berbeza.
"Anugerah ANT amat bermakna buat kami di EPIC Homes kerana kami agak baru dan ia menunjukkan kerajaan menghargai usaha kami yang bukan sahaja membina rumah malah mentransformasikan negara kita juga," kata Oei.
Sejak membina semula rumah usang pertama pada 2010, beliau berkata EPIC Homes telah membina 30 rumah yang kebanyakannya di Selangor, Pahang dan Perak. "Ia adalah program yang berterusan dan kami sentiasa mencari (rumah untuk dibina semula) di kampung-kampung di seluruh Malaysia. Langkah kami seterusnya adalah di Johor dan Negeri Sembilan," katanya.
Oei percaya rumah bukan sekarad empat dinding bertaut sebaliknya ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kesejahteraan dan pembangunan rakyat.
Sumber: BERNAMA
Cekak Rambut Dapat Sambutan Menerusi Promosi Jalur Lebar
Ia bermula apabila cekak rambut yang dipakai dua sahabat baik Sereni Linggi dan Shentel Lee dari Kuching, Sarawak menarik perhatian pengunjung konsert Lady Gaga di Singapura pada 2009.
Akibat respons memberangsangkan setelah gambar mereka memakai cekak tersebar, menjadikan mereka teruja untuk memulakan perniagaan cekak rambut.
Sereni berkata mereka tidak menjangka cekak rambut mereka dengan jenama Sereni&Shentel mencetus kegilaan memakai cekak bukan sahaja di Malaysia tetapi negara lain seperti Singapura, Australia, New Zealand dan Jepun selain di Hollywood.
"Cekak rambut kami turut dipertonton dalam program televisyen popular 'Gossip Girls' dan 'Desperate Housewives' yang membuatkan kami begitu berbangga," katanya.
Mereka menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mendapat perhatian antarabangsa dan menghasilkan jualan.
Untuk itu mereka menerima Anugerah Usahawan Jalur Lebar Cemerlang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMK) sempena persidangan dan pameran KL Converge 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang berakhir Jumaat.
Anugerah itu diadakan bagi menghargai usahawan Malaysia yang berjaya membina perniagaan menerusi jalur lebar.
"Kami berbangga dan berbesar hati SKMK mengiktiraf kerja kami. Ia kejutan besar buat kami kerana kami hanya syarikat kecil berpangkalan di Kuching," kata Sereni.
Mereka telah menjual lebih 100,000 cekak rambut sejak 2009.
Cekak rambut mereka turut tersiar dalam majalah seperti Harper's Bazaar, Glam, Bride to Be Australia, Cleo, Famous, Women's Weekly dan Singapore Style.
Sereni dan Shentel turut bekerjasama dengan jenama kosmetik antarabangsa dan Ratu Cantik Dunia Malaysia.
Sumber: BERNAMA
Internet Jadikan Kerja Sosial Lebih Mudah
Muhammad Zhariff Afandi, 34, dilahirkan tanpa tangan, tetapi ini tidak menghalangnya daripada melakukan program pembangunan masyarat termasuk untuk belia.
Ini dilakukan dengan bantuan teknologi, iaitu secara dalam talian untuk memperoleh sokongan bagi kerja-kerja sosial, kemasyarakatan dan kemanusiaan.
"Kami menggunakan Internet untuk menghubungi penonton kami, yang kebanyakannya golongan belia menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook," katanya kepada Bernama.
"Internet sangat membantu, kamu tidak perlu berbelanja banyak untuk menghubungi orang lain dan ia lebih mudah untuk berkolaborasi dan berkomunikasi dengan orang lain," katanya mengenai alat dalam talian yang digunakan untuk aktivitinya.
Beliau adalah antara penerima Anugerah Agen Transformasi Nasional 2014 (ANT 2014) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMK) sempena persidangan dan pameran KL Converge 2014.
"Ia penghormatan besar untuk mengiktiraf kerja kita. Di samping menjadi pengesahan kepada apa yang kita lakukan, ia akan turut menggalak kita untuk meneruskan apa yang kita lakukan bagi kepentingan masyarakat," kata Zhariff yang turut dinamai antara beberapa ikon belia pada 2011.
Anugerah ANT dicipta oleh SKMK untuk menghargai individu atau kumpulan yang cemerlang dan berjaya memberi kesan besar dan membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat sasaran menerusi sambungan jalur lebar dalam mengurus operasi dan aktiviti mereka.
Zhariff kini terlibat dalam projek Agenda Lokalism, inisiatif untuk mempromosi jenama tempatan, usaha niaga dan keusahawanan belia.
"Kami cuba mendedah, mencipta peluang dan membantu mereka dalam aktiviti pembangunan perniagaan," tambahnya.
Sumber: BERNAMA
Tumpu Kepada Penyelidikan Sebelum Reka Bentuk Aplikasi - MyTeksi
Mesti serius, kesan masalah dan bincangkan idea sebelum melakukan sebarang reka bentuk aplikasi mudah alih atau perisian.
Itulah nasihat yang diberikan Timbalan Pengurus Besar MyTeksi, Jaygan Fu, yang menganggap dalam kebanyakan masa, sebanyak 95 peratus daripada kejayaan aplikasi adalah hasil penyelidikan dan lima peratus lagi daripada pelaksanaan idea.
"Kami mendapati masalah utama dengan teksi di Malaysia adalah untuk membuat tempahan. Di Indonesia, mereka mempunyai perkhidmatan yang lebih baik. Berikutan itu, pengasas syarikat ini Anthony Tan mencadangkan kami membangunkan aplikasi untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Beliau ditemui selepas pembentangan mengenai penjanaan idea, pelancaran dan pertumbuhan kejayaan perniagaan berasaskan aplikasi mudah alih pada persidangan dan pameran kandungan digital dan industri kreatif KL Converge 2014.
Dalam pembentangannya, Fu berkata aplikasi itu membawa penyelesaian kepada industri teksi selain membantu kehidupan pemandu teksi tempatan.
"Kajian kami menunjukkan pendapatan pemandu teksi meningkat dan waktu kerja mereka dapat dikurangkan selain menjimatkan petrol," kata Fu.
Beliau berkata antara manfaat aplikasi itu ialah pengguna dapat menaiki teksi dengan lebih selamat dan mengawal bajet bulanan untuk pengangkutan.
Fu berkata syarikat aplikasi itu berpejabat di Malaysia selepas mula beroperasi pada 2012, dan sehingga kini, aplikasi MyTeksi telah dimuat turun sebanyak 1.5 juta kali.
"Kami juga memperluaskan ciri-ciri aplikasi untuk membolehkannya beroperasi di lima negara serantau dan 16 bandar di bawah nama 'GrabTaxi'," katanya.
Pada masa ini, aplikasi itu boleh diperoleh di Lembah Klang, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.
"Kami mempunyai rancangan untuk memperluaskan liputannya ke bandar-bandar lain di Malaysia," katanya sambil menambah data ketersediaan teksi adalah faktor dalam membuat keputusan mengenai perkara itu.
Sumber: BERNAMA
Liga Remaja Kreatif Bentuk Generasi Berkebolehan, Berkeyakinan
Membentuk generasi berkebolehan dalam pembangunan kandungan kreatif dan berkeyakinan untuk menjana idea adalah antara tujuan pertandingan Liga Remaja Kreatif anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pada sesi pembentangan kategori Portal Internet yang berlangsung seiring dengan acara KL Converge, lima kumpulan finalis masing-masing diberi 10 minit untuk membentang idea mereka.
Kumpulan dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dianggotai Adam Akhmal Mohd Zaki Mubarak, Muhammad Afif Azhar, Abd Syakur Mohd Shahini dan Syamim Ridhwan Sukri tampil dengan portal 'Bahtera Maya'.
Menurut mereka, portal pendidikan itu yang boleh diakses di www.projekmrsmkb.com/kumpulan1, mengambil masa tiga minggu untuk dibangunkan.
Kumpulan pelajar Tingkatan Empat itu berkata pertandingan berjaya memupuk semangat kerjasama selain membina kreativiti dalam kalangan anggota kumpulan.
Sementara itu, kumpulan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Pahang dengan idea menggabungkan konsep laman media sosial dan pendidikan, tampil dengan 'Ilmu Kongsi Bersama' di www.edidik.me.
Kumpulan dianggotai Syed Syirwan A-dlie Syed Mohamed, Muhammad Al Amen Fakarol Rozi, Muhamad Fahim Abdullah Zawawi dan Yong Sin Yung itu melihat Liga Remaja Kreatif sebagai peluang untuk mereka berjinak-jinak dalam pembangunan web dan secara lebih serius pada masa depan.
"Asalnya kami bermula secara suka-suka. Namun, selepas dimaklumkan mengenai pertandingan ini, kami lebih bersemangat untuk menghasilkan portal ini dengan lebih rapi dan terancang," kata mereka.
Selain dua kumpulan tersebut, finalis lain ialah dari SMK Rosli Dhoby, Sarawak dengan portal budakfizik.com, Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu jomspm.com dan SMKJ Yoke Kuan, Selangor edustands.squarespace.com.
Ketua Bahagian Pembangunan Jalur Lebar MCMC Nor Akmar Shah Minan berkata pertandingan itu mencapai objektifnya dengan lebih 4,000 penyertaan diterima bagi semua kategori.
"Liga Remaja Kreatif terbuka kepada pelajar sekolah menengah seluruh negara, menerusi kategori video dan dua kategori yang baharu diperkenalkan tahun ini - Aplikasi Mudah Alih dan Portal Internet," katanya.
Tambahnya, kemuncak pertandingan Liga Remaja Kreatif adalah pada 29 Okt 2014 apabila tiga pemenang daripada kategori video dan masing-masing satu daripada dua kategori lain akan diumumkan.
Nor Akmar berkata, pertandingan itu antara lain memberi peluang kepada pelajar yang kurang cenderung di bidang akkademik namun memiliki daya kreativiti tinggi untuk menyerlah.
"Guru-guru perlu beri dorongan dan sokongan kepada mana-mana pelajar mereka untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Berdasarkan perhatian, kumpulan yang mendapat sokongan daripada guru mereka tampil dengan hasil yang sangat baik," katanya.
Sumber: BERNAMA
Aplikasi Baharu Untuk Bantu Penguna Pengangkutan Awam
Sebuah syarikat berstatus MSC telah membangunkan satu aplikasi mudah alih untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam dan, pada masa sama, menangani persepsi bahawa pengangkutan jenis itu tidak efisien.
Aplikasi yang masih belum dilancarkan itu, dikenali sebagai 'myJourney', akan membolehkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dengan mudah dan mengikut kesesuaian mereka, kata jurutera perisian Mapit MSC Sdn Bhd, Choong Pak Wai.
Katanya bagi fasa pertama, aplikasi itu menyediakan maklumat tentang pilihan laluan yang ada dan jenis pengangkutan seperti LRT dan bas RapidKL dan teksi untuk pergi dari satu tempat ke tempat lain, kepada pengguna.
"Malah jika pengguna tidak tahu di mana mereka berada, mereka masih boleh menggunakan aplikasi ini menerusi telefon bimbit mereka untuk mendapatkan destinasi mereka," katanya kepada Bernama di luar persidangan dan pameran KL Converge 2014.
Aplikasi itu dibangunkan dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kata Choong.
Menurut Choong, fasa seterusnya aplikasi itu ialah pengguna akan disalurkan dengan maklumat yang dikemas kini dan ciri lain yang lebih canggih.
"Pada masa depan, terdapat perancangan untuk memasukkan ciri seperti data masa sebenar bas dan sistem maklum balas yang membolehkan pengguna menyalurkan aduan," katanya.
Sumber: BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan