23 September 2014
Kembalikan Nostalgia Motosikal Skuter
MENUNGGANG motosikal ini memberikan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan kerana nilai nostalgia dan elemen vintajnya menarik minat ramai.
Motosikal lama atau vintaj sering dikaitkan dengan orang lama yang masih menggunakan kenderaan itu untuk tujuan harian seperti ke masjid dan sebagainya dalam keadaan usang atau tidak terjaga sepenuhnya.
Namun tanggapan itu pastinya berbeza apabila ia jatuh ke tangan anak-anak muda yang memberikan nafas baharu kepada motosikal vintaj itu sehinggakan ramai yang terpegun melihatnya.
Motosikal buatan Itali, Lambretta dan Vespa merupakan antara motosikal vintaj jenis skuter yang mendapat tempat dalam kalangan anak muda hari ini, bukan sahaja kerana reka bentuknya malah nilai nostalgia yang terdapat pada motosikal itu.
Ada di antara mereka tidak dapat membezakan antara Lambretta dan Vespa kerana rekaan kedua-duanya hampir sama tetapi ia dikeluarkan oleh dua syarikat yang berbeza.
Filem-filem lama seperti filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee misalnya pernah menonjolkan motosikal jenis ini yang dijadikan kenderaan muda-mudi ketika itu yang sedang hangat bercinta.
Bukan itu sahaja, pengaruh budaya mod yang dibawa dari British juga antara faktor mengapa motosikal jenis ini popular dalam kalangan anak muda di negara itu dan mula menjadi ikutan remaja di Malaysia.
Motosikal jenis ini agak rapat dengan sub budaya lain seperti bola sepak, muzik dan sebagainya yang dilihat antara faktor yang mempengaruhi kembalinya Lambretta dan Vespa sehingga digilai generasi baharu.
Di Malaysia sahaja terdapat pelbagai kelab motosikal vintaj, antaranya Lambretta Malaya yang turut sama berkongsi pengalaman dan minat. Berikut adalah maklumat daripada perkongsian mereka itu.
Gaya mod jadi ikutan
Sub budaya dari British yang tampil trendy dengan gaya pakaian serta menggunakan motosikal vintaj Lambretta membuatkan saya tertarik untuk mendapatkan motosikal jenis ini.
Ini bukan motosikal pertama, kerana sebelum ini saya pernah memiliki Lambretta Series 3 dan Vespa tahun 1962. Saya mula meminati motosikal ini sejak lima tahun lalu.
Untuk mendapatkan reka bentuk dan warna hari seperti hari ini, saya telah membelanjakan lebih RM20,000 untuk membaik pulih dan mencantikkan motosikal kesayangan saya.
Pemilihan motosikal jenis ini disebabkan keunikannya yang sukar didapati pada motosikal zaman sekarang dan perasaan apabila menunggangnya juga memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan.
Selain daripada memiliki motosikal vintaj, saya juga meminati dan mempunyai koleksi barangan vintage lain seperti beg, kasut dan sebagainya yang boleh dilihat melalui Instagram saya modernflashbackvintage.
Memiliki dan meminati barangan vintaj ini bagaikan mengimbau nostalgia lama walaupun ketika motosikal ini dikeluarkan, saya masih belum dilahirkan lagi.
Pengaruh muzik British
Minat terhadap motosikal klasik jenis ini bermula daripada sebuah band muzik yang berasal dari British iaitu Ocean Colour Scene yang menggunakan Lambretta sebagai salah satu cover album mereka.
Ia dikuatkan lagi dengan adanya salah seorang pemain gitarnya, Steve Cradock turut memiliki dan menggunakan Lambretta, membuatkan saya menanam cita-cita untuk memilikinya pada satu hari nanti.
Hinggalah pada tahun 2001, saya mula membeli sebuah Vespa dan kemudiannya membeli sebuah Lambretta pada 2002.
Muzik dan motosikal klasik seperti Lambretta dan Vespa tidak dapat dipisahkan apabila ia sering dijadikan salah satu icon dalam mengetengahkan aliran satu-satu muzik.
Apatah lagi kumpulan muzik Gerry & The Pacemakers yang menyanyikan lagu kumpulan bola sepak Liverpool, Youll Never Walk Alone turut menggayakan motosikal jenis ini dalam sebuah filem satu ketika dahulu.
Saya adalah salah seorang penyokong Liverpool dan perkaitan seperti ini menimbulkan lagi minat saya dalam memiliki dan menggunakan motosikal klasik Lambretta.
Dulu susah sekarang mudah
Jika dahulu, untuk bermain dengan motosikal jenis ini agak sukar kerana peralatan dan alat ganti tidak mudah ditemui memandangkan ia adalah motosikal jenis lama.
Namun sekarang, peralatannya mudah didapati, apatah lagi dengan adanya internet dan kedai-kedai online yang membekalkan pelbagai alat ganti, tidak kira terpakai mahupun baru.
Saya lebih suka membaiki dan membuat modifikasi sendiri. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan wang ringgit, bahkan mampu memberi kita lebih pengetahuan terhadap motosikal yang kita sayangi.
Peranan internet seperti YouTube yang mempunyai tutorial dalam melakukan sebarang baik pulih mampu memberi pengetahuan serba sedikit selain buku-buku manual yang terdapat di pasaran.
Secara tidak langsung, jika berlaku sebarang masalah terhadap motosikal ini, pastinya pemilik mampu membaikinya sendiri ataupun serba sedikit mengetahui apa yang rosak.
Ini kerana tidak banyak kedai-kedai motosikal yang mempunyai kepakaran tentang motosikal jenis ini. Jadi, ia memberi kelebihan kepada pemiliknya.
Motor klasik beri rezeki
Ikatan di antara kumpulan peminat motosikal vintaj ini adalah kuat dan boleh dianggap sebagai adik beradik kerana kami sering bersama berkonvoi sehingga ke Bangkok, Thailand.
Perjalanan jauh seperti itu bukan sahaja menuntut kepada kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan motosikal ini tetapi juga perlu tahu seberapa banyak ilmu untuk memperbaiki motosikal ini.
Ini kerana dalam setiap perjalanan yang ditempuhi, kita akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan mereka yang pakar membaikinya. Jadi, inisiatif ini diambil untuk saya lebih belajar bagi mengetahui serba sedikit masalah dan cara mengatasi kerosakan motosikal tersebut.
Oleh kerana itu, saya kini mempunyai sebuah bengkel motosikal yang dikhususkan untuk membaiki dan membaik pulih motosikal vintaj ini yang terletak di Rinching Tengah, Semenyih, Selangor.
Ia secara tidak langsung memberikan sedikit sebanyak rezeki terhadap apa yang kita gemari dan dalam masa yang sama memberikan kepuasan kepada saya dalam membaik pulih motosikal yang saya suka.
Lambretta ataupun Vespa, antara motosikal yang paling senang dibaiki jika tahu caranya kerana ia tidak memerlukan perkakas yang banyak, hanya cukup satu set kelengkapan yang biasa.
Ia juga tidak perlu dibaiki di bengkel semata-mata, kerana jika menghadapi masalah di tengah perjalanan, proses membaiki boleh dilakukan di situ tanpa sebarang masalah.
Bukan sekadar gaya hidup
Bagi mereka yang benar-benar minat terhadap motosikal ini, ia bukan lagi satu gaya hidup atau trend tetapi lebih kepada kehidupan seharian yang ingin sentiasa bersama kerana sayangkan motosikal ini.
Ini kerana ada di antara mereka yang bermain dengan motosikal ini lebih kepada mengikut orang dan sebagainya. Ia pasti tidak akan berkekalan lama kerana satu masa nanti mereka akan mula bosan.
Tidak seperti kumpulan kami yang merasakan ia lebih daripada trend semata-mata. Minat yang mendalam terhadap motosikal ini boleh diibaratkan sebagai sesuatu yang sukar digambarkan oleh perkataan.
Setiap yang berlaku pasti ada permulaannya. Begitu juga saya yang diperkenalkan dengan motosikal Lambretta oleh arwah emak saya menerusi filem P. Ramlee sebelum menonton sebuah lagi filem lakonan Rosyam Nor di rangkaian televisyen tempatan.
Sejak itu, saya mula mencari dan membeli motosikal ini serta menghantarnya ke kedai untuk dibaik pulih. Namun tiada kepuasan yang dikecapi sebab tidak sampai apa yang dikehendaki.
Jadi, saya mula belajar serba sedikit dan kini saya tumpukan kepada teknik mengecat dan rekaan kustom khusus untuk motosikal Lambretta kepada siapa yang berminat.
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan