13 September 2014

Integriti Elak Insiden Kebocoran Soalan Peperiksaan Berulang



Kes kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan suatu isu baharu. Namun kali ini ia kelihatan lebih parah apabila ia dikesan sebelum peperiksaan bermula.

Ketika banyak pihak mempertikaikan sejauh mana tahap keselamatan kertas ujian dan integriti para pegawai yang terbabit dengannya, Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan (LP) menjadi sasaran kemarahan banyak pihak.

Pada asalnya, LP hanya menangguhkan kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 bagi UPSR 2014 yang dijadualkan pada 11 September, 2014 dan mengumumkan 30 September, 2014 sebagai tarikh baharu ujian itu.


Namun, LP juga terpaksa membatalkan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 (Kertas 1 dan 2) yang telah dijalankan pada 11 September, 2014 kerana didapati turut bocor dan calon dikehendaki menduduki semula peperiksaan itu pada 30 September, 2014.

Berikutan kes kebocoran soalan yang berulang, banyak pihak mempersoalkan integriti dan sikap amanah pihak yang terlibat dalam setiap peringkat penyediaan kertas peperiksaan, yang bermula daripada proses menggubal soalan, mengumpul, mencetak, membungkus, menyimpan di bilik kebal dan menghantar ke pusat peperiksaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata masyarakat tidak seharusnya menuding jari kepada guru semata-mata, sebaliknya turut melihat secara menyeluruh proses penggubalan soalan sehingga ia diedarkan ke pusat peperiksaan.

"Penggubal soalan bukan terdiri daripada guru sahaja namun pelbagai pihak termasuk pegawai pendidikan daerah dan soalan-soalan dikumpul akan ditapis di bawah satu jawatankuasa.

"Kebocoran soalan boleh berlaku. Contohnya ketika proses percetakan, kita cetak beribu-ribu kertas soalan dan kita edarkan di banyak pusat peperiksaan, tidak mustahil kebocoran boleh berlaku ketika proses itu," katanya kepada Bernama.



BERI KESAN

Dr Junaidy berkata hal ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar bahkan ibu bapa serta guru-guru yang bertindak sebagai pengawas peperiksaan manakala pihak sekolah perlu memperuntukkan lebih masa dan kewangan bagi mengadakan peperiksaan semula.

"Kewibawaan guru-guru akan dipertikai kerana mereka dianggap individu utama yang bertanggungjawab dalam perkara ini. Ibu bapa yang terlibat menjadi panik kerana bimbang emosi anak-anak mereka terganggu.

"Para pelajar mungkin sudah membuat persediaan bersungguh-sungguh namun insiden soalan bocor ini mengakibatkan mereka hampa dan trauma sekaligus mengganggu psikologi dan prestasi mereka kerana perlu membuat persediaan kali ke kedua," katanya.

SOALAN ALTERNATIF

Dr Junaidy berpendapat LP sepatutnya bersedia dengan set kertas soalan alternatif bagi mengatasi insiden seumpamanya.

Beliau berkata sekiranya set kertas soalan A didapati bocor, LP boleh menggantikannya dengan set kertas soalan B, atau C dan ini akan mengelakkan pelajar daripada menunggu lebih lama untuk menduduki semula peperiksaan.

"LP sepatutnya lebih bersedia kerana isu kertas soalan bocor ini bukan perkara baharu dan kejadian kali ini dianggap yang paling serius.

"Tiada jaminan set kertas soalan kedua (30 Sept) yang dibuat nanti tidak akan bocor, dan yang demikian itulah perlunya set kertas soalan alternatif," katanya.

Dr Junaidy berkata terdapat dua kategori soalan bocor iaitu soalan sebelum peperiksaan berjalan dan selepas peperiksaan dilangsungkan.

"Soalan bocor sebelum peperiksaan merujuk kepada situasi yang berlaku sekarang dan soalan bocor selepas peperiksaan pula merujuk kepada soalan 'spot' (soalan yang dijangka keluar) yang kita tahu jawapannya," katanya.

KEJAR ANUGERAH

Seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh Melaka, Hamidi Mat Isa berkata kebocoran soalan boleh berlaku kerana kerakusan guru dan pihak sekolah yang ingin meraih anugerah sekolah terbaik dan pelajar terbaik.

"Jika benar perkara ini berlaku, guru dan pihak sekolah sebenarnya menganiaya pelajar kerana mereka sepatutnya tidak layak namun mendapat keputusan yang dibanggakan disebabkan soalan bocor.

"Sekiranya mereka dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), ia akan mendatangkan kesan buruk kepada pelajar itu sendiri kerana mereka sebenarnya tidak berkelayakan," katanya.

Hamidi berkata kertas soalan peperiksaan itu sepatutnya berada dalam keadaan selamat dan tidak timbul isu kebocoran soalan kerana ia disimpan di dalam bilik kebal sebelum dikeluarkan pada hari peperiksaan berlangsung.

"Di dewan peperiksaan, kita akan menerima kertas peperiksaan dalam keadaan terikat dan berbungkus selepas diambil dari bilik kebal. Kebocoran soalan kemungkinan berlaku sebelum kertas peperiksaan disimpan di bilik kebal atau selepas dibawa keluar dari bilik kebal," katanya.

Mengulas tarikh peperiksaan ulangan memakan tempoh masa lama iaitu pada 30 Sept, Hamidi berpendapat Kementerian Pendidikan mempunyai alasan kukuh berhubung pemilihan tarikh berkenaan.

"Jangka masa sehingga 30 Sept memang lama dan kita bimbang moral dan semangat pelajar menurun sekaligus mengganggu fokus mereka.

"Soalan-soalan ganti memang kita dah ada cuma kita perlu mencetak dalam bentuk 'hard copy'. Jadi kementerian perlu ambil masa untuk mencetak, proses penghantaran ke pusat-pusat peperiksaan dan menyelaraskan tarikh di seluruh negara," katanya, yang berpengalaman menjadi pengawas peperiksaan UPSR selama lima tahun.

KESAN PSIKOLOGI

Pakar Perunding Kaunseling di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Dr Haslee Sharil Lim Abdullah berkata ibu bapa terlebih dahulu perlu bertindak mengawal psikologi mereka agar tenang menghadapi isu itu kerana anak-anak lebih memerlukan sokongan mereka.

Beliau berkata sekiranya ibu bapa gagal mengawal emosi dan tidak boleh menerima hakikat, ia akan memberi kesan psikologi kepada anak-anak.

Katanya ibu bapa perlu berusaha agar dapat menangani situasi dengan baik di samping memikirkan kaedah berkesan untuk memulihkan semangat anak-anak bagi menghadapi peperiksaan kedua nanti.

"Jika kita melihat daripada sudut negatif dan tidak memikirkan tentang hikmah di sebaliknya, ia akan menggangu kehidupan seharian kita. Mungkin pelajar rasa mereka dah betul-betul bersedia dan boleh skor (jika kes soalan bocor ini tidak berlaku), tapi itu belum tentu.

"Jika dilihat daripada sudut positif pelajar mempunyai masa tambahan untuk mengulangkaji pelajaran sehingga tarikh peperiksaan baharu nanti. Jadi mereka mempunyai pilihan sama ada ingin melayan perasaan negatif atau bersifat positif," katanya.

Haslee Sharil Lim berkata setiap individu mempunyai kekuatan psikologi yang berbeza ketika berhadapan dengan perkara di luar jangkaan seperti ini.

Katanya individu yang mempunyai kemantapan psikologi mungkin akan berasa terganggu namun akan segera mengawal diri dengan bertenang serta melihat hikmah di sebalik perkara yang berlaku.

"Berbeza dengan individu yang kurang mempunyai kekuatan daripada segi psikologi, mereka akan rasa terganggu, gagal mengawal perasaan sehingga membawa kesan buruk kepada diri sendiri," katanya.

Oleh Erda Khursyiah Basir
Sumber: BERNAMA

Polis Tubuh Pasukan Petugas Khas Siasat Kes Soalan Bocor

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyiasat kes kebocoran dua kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata pasukan petugas itu menjalankan siasatan sebaik menerima laporan polis pada Rabu, 10 Sepetember, 2014.

"Tiga laporan polis diterima (mengenai UPSR) iaitu dua di Putrajaya dan satu di Johor.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda," katanya.

Sumber: Bernama

0 comments: