12 September 2014

Formula Hafaz Al-Quran


Hafal satu juzuk dalam sebulan

SEAWAL pukul 5 pagi kedengaran sayup ayat-ayat al-Quran dialunkan oleh 90 pelajar tahfiz di Pusat Tahfiz Hayatul Uloom, Kampung Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

Rutin harian mereka bermula seawal pukul 5 pagi hingga 11 malam. Sepanjang tempoh itu, jadual padat mereka dibahagikan kepada tempoh rehat kira-kira 45 minit, solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, dua sesi hafalan dalam tempoh dua jam dan riadah.

Demikianlah perjuangan anak muda yang berusia antara 12 hingga 20 tahun mengabdikan diri mereka menghafal 30 juzuk al-Quran sehingga larut malam.

Bukan calang-calang individu yang mampu bergelar hafiz kerana ia disulami dengan beberapa elemen penting seperti dedikasi yang tinggi, jadual yang konsisten, pemakanan yang betul di samping usaha dan tawakal.


Melihat keletah Muhd. Alif Joemasry, 15, dia sama seperti remaja seusianya yang gemar bergurau-senda, berjenaka dan berhibur.

Namun pada usia semuda itu, di hatinya sudah terpahat 30 juzuk al-Quran yang dihafal sejak umurnya 13 tahun lagi. Sejak berusia lima tahun dia sudah memasang angan-angan bergelar hafiz.

Lebih mudah

"Setiap kali menghadiri majlis agama, penceramah selalu menceritakan pelbagai kelebihan bergelar hafiz. Antaranya kita dipandang mulia di sisi Allah dan mendapat perlindungi-Nya.

"Peluang menyelamatkan 10 ahli keluarga daripada api neraka membuatkan saya teruja untuk menghafaz al-Quran," katanya.

Muhd. Alif mengakui bukan mudah baginya untuk menghafal al-Quran terutama ketika bercuti di kampung halaman di Sungai Penchala, Damansara, di Selangor.

Cabaran utama pada masa kini katanya ialah hiburan melalaikan yang kebanyakan berpunca daripada internet. Katanya, dia sendiri kadangkala terleka dengan hiburan tersebut.

"Saya tidak antisosial dan masih bergaul seperti biasa. Cuma saya fokus ketika menghafal al-Quran. Sekurang-kurangnya satu juzuk sehari ketika berada di rumah.

"Jika di asrama lebih mudah untuk menghafal kerana tumpuan dan hiburan kami hanya satu, melagukan ayat suci Allah dan menghafal kalimahnya," katanya yang bercita-cita mahu menjadi pendidik.

Pusat Tahfiz Hayatul Uloom beroperasi secara rasmi pada tahun 2008 hasil usaha Pengetua atau Mudir pusat tersebut Dr. Shahrir (Dr. Zubair) Hussin.

Pusat itu menerima pelajar seawal usia 12 tahun kerana usia itu dikatakan tempoh yang sesuai bagi anak muda mendalami dan menghafaz al-Quran.

Bermula dengan pembinaan asrama kemudian pusat pengajian khusus di atas tanah seluas 0.8 hektar, pusat tersebut dibina secara berperingkat sejak tahun 2002.

Bagi menyediakan pembelajaran dan kediaman untuk para pelajar, sumber kewangan utama pusat tersebut melalui yuran pengajian, sumbangan syarikat korporat dan orang awam.

Muda

Selain diterapkan dengan pembelajaran al-Quran, subjek seperti pengajian Islam, seni khat, bahasa Arab dan fardhu ain turut diajar di pusat itu.

Namun, penghafalan al-Quran menjadi misi utama pusat tersebut yang mahu melahirkan tahfiz dalam kalangan muslim muda.

Bagi Hisyamuddin Mohd. Johan, 22, perjalanan menjadi hafiz bermula pada usia 12 tahun, demi memenuhi permintaan bapa.

Akui Hisyamuddin, pada peringkat awal, dia melalui proses yang sukar sepanjang menghafaz al-Quran kerana tidak mempunyai minat.

Bagaimanapun, peredaran masa berjaya membuatkannya meneruskan impian bapanya itu. Kini, dia berjaya menghafal setiap juzuk selepas sedekad berjuang.

"Saya beberapa kali bertukar sekolah tahfiz kerana mencari formula yang betul menghafal al-Quran. Jika seseorang itu tidak mempunyai minat maka dia akan menempuh proses yang sukar.

"Dahulu saya sekadar mengikut rakan-rakan menghafal surah atau juzuk yang mudah. Sasaran saya hanya menghafal dan bukan mendalami al-Quran.

"Namun di sini, ustaz banyak memberikan dorongan dan saranan sehingga saya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran," katanya yang sudah menghafal 20 juzuk sebelum menghabiskan 10 juzuk lagi dalam tempoh enam bulan di Pusat Tahfiz Hayatul Uloom.

Meminati bidang fekah dan mahu menjadi seorang pendidik, Hisyamuddin berkata, minat merupakan elemen utama untuk menjadi tahfiz.

Selain penjagaan makanan, fizikal yang sihat dan minda yang cergas, hati seorang tahfiz perlu dijaga daripada sebarang anasir jahat.

"Menghafal al-Quran memerlukan hati yang bersih. Untuk menjaga hati yang bersih kita perlu sentiasa dalam keadaan wuduk, tidak melihat perkara dilarang Allah dan patuh dengan perintah-Nya," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Mudir Pusat Tahfiz Hayatul Uloom, Abu Bakar Shahrir, 25, menjelaskan formula untuk bergelar tahfiz. Ujarnya, setiap pelajar perlu melalui kira-kira tiga peringkat sebelum dibenarkan menghafaz al-Quran.

Terangnya, tiga peringkat itu ialah peringkat pembacaan iqra', nazirah dan menghafaz empat surah terpilih iaitu as-Sajadah, al-Mulk, Yasin dan al-Dukhan.

Bacaan solat

"Peringkat pertama ialah iqra'. Ia khusus untuk pelajar pada tahap yang kurang memuaskan dari sudut pengenalan huruf, cara pembacaan dan sebutan.

"Peringkat kedua ialah nazirah. Pada peringkat ini pelajar mengambil tempoh kira-kira enam bulan. Ia bertujuan memastikan pelajar menguasai bacaan dengan lancar, mengenal tajwid, huruf termasuk cara bacaan yang betul.

"Dalam peringkat ini pelajar tidak perlu menghafaz sebaliknya sekadar membaca dengan lancar. Pelajar perlu melepasi peringkat nazirah sebelum memulakan proses hafazan," katanya.

Katanya lagi, sebelum menghafaz setiap juzuk al-Quran, mereka dibekalkan empat surah iaitu as-Sajadah, al-Mulk, Yasin dan al-Dukhan bertujuan membiasakan minda dan hati mereka dengan proses menghafaz al-Quran.

Tambahnya, keempat-empat surah tersebut dibaca dalam solat secara berjemaah dan solat sunat hifzi yang dilakukan setiap kali malam jumaat.

"Jika hafalan surah tersebut lancar, baharulah mereka beralih kepada hafazan al-Quran bermula daripada juzuk 30 hingga 26 kemudian juzuk satu hingga 25.

"Untuk memudahkan proses hafalan pelajar, kami dahulukan juzuk yang sukar sebelum beralih ke bahagian juzuk seterusnya," katanya.

Abu Bakar memberitahu, usia enam hingga tujuh tahun merupakan tempoh yang amat sesuai untuk anak-anak menghafaz dan mempelajari al-Quran.

Katanya dalam tempoh itu, minda kanak-kanak masih segar dan hati mereka bersih. Ia memudahkan proses penerimaan ilmu.

Tuturnya, seseorang yang mempunyai kesihatan fizikal dan minda normal mampu menghafal satu juzuk dalam tempoh sebulan.

"Satu juzuk kebiasaannya melibatkan 20 muka surat. Setiap hari pelajar di sini disaran menghafaz satu muka al-Quran dalam sehari," katanya.

Untuk memastikan pelajar sentiasa sihat secara fizikal dan minda, mereka dilarang membawa makanan ringan seperti mi segera, snek dan makanan dalam tin.

"Apa sahaja sumber makanan yang baik untuk Rasulullah SAW, maka ia baik untuk tubuh badan dan minda kita. Kami sarankan pelajar mengambil badam, kismis, kekacang seperti dal dan kacang kuda.

"Tetapi membawa makanan dalam tin dan mi segera dilarang di pusat ini. Jika terdapat dalam kalangan pelajar melanggar peraturan ini mereka akan didenda," katanya.


USIA enam hingga tujuh tahun merupakan tempoh yang amat sesuai untuk anak-anak menghafaz dan mempelajari al-Quran.

Rohani

Pelajar juga dididik untuk berhenti makan sebelum kenyang bertujuan mengelak pelajar mengantuk sepanjang pengajian.

Selain aspek pemakanan, pembangunan peribadi mereka juga dipantau. Pemantau itu melibatkan proses pengukuhan rohani bertujuan memastikan hati mereka sentiasa bersih.

"Jangan sesekali melihat video 18 tahun ke atas kerana ia menggelapkan hati. Jika pelajar dalam keadaan berputus asa, kami menganjurkan tarbiah dengan cerita para nabi dan hadis bagi menyuntik semangat dalam diri mereka.

"Selain itu, amalan solat sunat turut disaran dan memastikan mereka sentiasa berwuduk," katanya.

Uniknya pusat tahfiz tersebut tidak mempunyai kemudahan internet. Abu Bakar menerangkan ia pendekatan yang terbaik untuk memastikan setiap pelajar fokus.

"Kita tidak mahu mereka lalai dengan laman sosial dan hiburan di laman web. Pembelajaran al-Quran memerlukan konsentrasi, konsisten dan komited," katanya.

Jika pelajar pulang bercuti bersama keluarga, mereka akan dibekalkan dengan tugasan seperti membaca satu juzuk sehari bagi memastikan ayat al-Quran tidak luput dari benak fikiran pelajar.

Sumber: Kosmo

0 comments: