20 September 2014

Webcash Permudah Transaksi Di Mesin Jualan Automatik


Webcash ... Beri kemudahan kepada pengguna dan peruncit

SETIAP hari Muhammad Amir Azhar pasti akan menempuh laluan berbumbung sejauh dua kilometer untuk berulang alik dari rumah sewanya ke kolejnya di Cyberjaya.

Setiap kali melalui laluan tersebut, penuntut berusia 20 tahun itu pasti tidak akan melepaskan peluang untuk membeli air minuman ringan di sebuah mesin jualan automatik yang terletak di satu sudut bagi menghilangkan dahaga.

Mesin jualan automatik merupakan sebuah mesin yang dapat mengeluarkan barangan seperti air botol, makanan ringan dan sebagainya dengan memasukkan sejumlah wang kertas atau syiling ke dalamnya.


Malangnya setiap kali dia ingin menggunakan mesin tersebut, Amir pasti mengalami kesulitan terutamanya melibatkan transaksi.

Ini kerana mesin tersebut hanya menerima wang kertas yang berada dalam keadaan baik atau syiling. Oleh itu, dia perlu terlebih dahulu memastikan wang yang dibawa boleh diterima mesin tersebut.

Selain itu, kadang-kadang dia juga terpaksa membawa syiling yang berat semata-mata untuk menggunakan mesin itu.

Namun, pengenalan sistem pembayaran tanpa tunai webcash pada mesin jualan automatik yang dibangunkan oleh syarikat berasaskan sistem pembayaran dalam talian tempatan, Webonline Sdn. Bhd. dapat mengatasi masalah tersebut.

Menerusi webcash, pengguna tidak perlu lagi membawa wang untuk membeli barang di mesin jualan automatik. Sebaliknya, dengan hanya meleretkan kad pada mesin pengesahan pembayaran webcash, pengguna sudah boleh mendapatkan barang yang dikehendaki.

Bagi mendapatkan kad webcash tersebut, pengguna perlu membayar sejumlah deposit atau prabayar kepada pihak Weboline.

Teknologi yang berteraskan sistem pembayaran pintar itu beroperasi menggunakan sistem penyelesaian Mesin ke Mesin (M2M) yang dibekalkan oleh salah satu syarikat peneraju utama telco tempatan, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi).


BAGI mendapatkan kad webcash, pengguna perlu membayar sejumlah deposit atau prabayar kepada pihak Weboline.

Di samping itu, Cyberjaya telah dipilih sebagai lokasi pertama yang akan menggunakan sistem tersebut dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang November 2014.

Menurut Amir, pengenalan webcash dapat memberi keselesaan kepadanya untuk melakukan transaksi di mesin jualan automatik.

“Saya menyambut baik kaedah pembayaran yang diperkenalkan ini kerana ia dapat memberi banyak manfaat kepada orang ramai.

“Saya berharap sistem seperti ini dapat diperluaskan pada transaksi lain pada masa hadapan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Webonline Sdn. Bhd., M. Kulanthavelu berkata, melalui webcash, pengguna tidak perlu lagi membawa wang untuk membuat transaksi di mesin jualan automatik.

Katanya, ia seiring dengan minat masyarakat kini yang lebih selesa menggunakan teknologi perkhidmatan layan diri dan aplikasi atas talian untuk melakukan sebarang transaksi.

“Sistem pembayaran ini mampu mengatasi masalah transaksi tradisional apabila menggunakan mesin jualan automatik.

“Hasil kajian dilakukan oleh Mastercard mendapati, pembayaran tanpa tunai juga mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara,” katanya.

Sistem pembayaran tanpa tunai dapat mengurangkan risiko dirompak, mudah dibawa, memudahkan urusan transaksi dan sebagainya.

Selain itu, Kulanthavelu turut memaklumkan bahawa faedah teknologi webcash pada mesin jualan automatik turut dinikmati oleh peruncit.

Ujarnya, peruncit akan mendapat faedah melalui lebihan keuntungan sekiranya mereka mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai tersebut.

“Sistem ini dapat mengelakkan gejala vandalisme, menjimatkan kos, meningkatkan kecekapan, membantu strategi pemasaran dan memudahkan transaksi” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Webonline Sdn. Bhd., Datuk Bhupat Rai M Premji berkata, pada masa dahulu, kadar penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai sangat perlahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, hal ini dikaitkan dengan faktor kebimbangan masyarakat dan kekurangan pengalaman mengendalikan mesin tersebut disamping kosnya yang dianggap tinggi.

Namun, kebimbangan tersebut sudah mula terhakis apabila masyarakat mula menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai untuk transaksi mereka.


DENGAN hanya meleretkan kad pada mesin pengesahan pembayaran webcash, pengguna boleh mendapatkan barang yang dikehendaki.

Antaranya adalah ketika menggunakan mesin juruwang automatik, pembayaran minyak kenderaan, membeli di kedai serbaneka dan penggunaa kad kredit atau debit.

“Zaman telah berubah, kini tiada duit pun kita masih boleh berbelanja. Hanya dengan menggunakan kad, kita sudah mampu melakukan segalanya,” katanya sambil memaklumkan bahawa sistem pembayaran tanpa tunai telah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan mesin jualan automatik di negara ini, Bhupat Rai memaklumkan bahawa jumlah nilai jualan pada tahun 2011 adalah sebanyak RM48 juta iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ujarnya, tren peningkatan tersebut dijangka berterusan pada tahun-tahun mendatang selepas pengenalan webcash.

“Kami percaya pengenalan mesin peruncitan automatik tanpa tunai akan meningkatkan keuntungan dan hasil jualan. Hasil kaji selidik yang dijalankan di AS menunjukkan, mesin jualan automatik menggunakan kaedah tanpa tunai lebih berjaya berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Tambahnya, kejayaan kaedah pembayaran tanpa tunai juga boleh dilihat melalui industri pelancongan, hiburan serta perhotelan.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai sistem pembayaran tanpa tunai webcash, orang ramai boleh melayari laman web Webonline Sdn. Bhd., www.webonline.com.my.

Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
Sumber: Kosmo

0 comments: