30 September 2014

Peranan Besar Raja-Raja Melayu



HAK keistimewaan orang Melayu dan kedudukan tinggi agama Islam, sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang begitu besar sehinggakan ia diabsahkan di dalam Perlembagaan Persekutuan tatkala negara mencapai kemerdekaan. Keistimewaan orang Melayu sebenarnya tidak menghalang hak kaum lain ataupun menindas mereka.

Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Inilah toleransi yang dicapai antara pimpinan kaum-kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum sebelum merdeka, seringkali dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Begitu juga kedudukan tinggi agama Islam tidak menindas masyarakat bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka.


Di dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat yang tinggi sehinggakan peruntukan perlembagaan berhubung dengan perkara-perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Ini adalah disebabkan perkenan Majlis Raja-Raja adalah diperlukan terlebih dahulu sebelum sebarang usul pindaan dibentangkan di Parlimen. Malah sebahagian pakar perundangan berpandangan ia langsung tidak boleh diubah kerana akan menghakis struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh diluluskan pindaannya tanpa persetujuan Majlis Raja- Raja. Oleh itu sebarang hasrat yang ingin diusulkan bagi meminda perkara-perkara tertentu, mestilah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentang di Parlimen.

Perkara 159 ini bukan sahaja menghalang pindaan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja, apatah lagi sekiranya langsung tidak menghiraukan ataupun melanggar peruntukan Perlembagaan tersebut.

Perizaban kuota

Antara perkara yang berkaitan adalah Perkara 153. Perkara 153 adalah peruntukan yang panjang mencakupi hal ehwal berkaitan perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya. Bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak,

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Begitu juga Yang di-Pertuan Agong boleh memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain.

Malahan di dalam mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan universiti, kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada Kerajaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Kesemua hak yang dinyatakan di atas adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri dan sekiranya hak-hak tersebut termasuklah hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mendapat biasiswa dan kemasukan ke menara gading hendak dipinda, persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh sebelum pindaan tersebut dibuat.

Sekiranya ia dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja maka pindaan tersebut akan menjadi tidak sah. Jika pindaan pun tidak dibenarkan tanpa perkenan Raja-Raja Melayu, apatah lagi tidak menghiraukan keistimewaan tersebut ataupun membuat perkara yang bertentangan dengan keistimewaan itu.

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Sumber: Utusan

1 comments:

Tedi {interpretZZ} berkata...

Tedi okay aja cuma "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah!"

\(^o^)/