29 September 2014

Pastikan Barangan Berkualiti, Selamat, Bersih, Halal


Adakah barang permainan anak anda selamat untuk digunakan?

SEBAGAI pengguna sudah pasti kita akan berusaha untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang selamat, bersih serta halal. Tentu saja kita akan memilih produk dan perkhidmatan yang telah mendapat pengiktirafan pihak berkuasa.

Biasanya kita akan mencari logo pengitirafan daripada badan-badan bertanggungjawab mengeluarkannya. Semasa mencari barang makanan sudah tentu kita akan mencari logo halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kalau perlu memilih makanan proses pula kita akan memilih produk dengan logo Analisis Bahaya dan Pengendalian Titik Kritis atau Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Bagi barangan elektrik tentu kita memilih yang mempunyai logo kelulusan SIRIM manakala bagi tayar dengan MS iaitu Malaysian Standard bagi memastikan tayar yang digunakan selamat.

Bagaimanapun tidak semua orang mengetahui siapakah yang bertanggungjawab dalam membangunkan semua standard dan akreditasi berkenaan sebelum menerima anugerah daripada badan berkuasa masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia (JSM) Fadilah Baharin berkata, Standards Malaysia membangunkan semua standard bagi 24 sektor daripada pertanian kepada teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia hingga standard halal kepada pengurusan alam sekitar.

"Ini bagi memastikan semua produk dan perkhidmatan yang sampai kepada pengguna mencapai piawaian yang ditetapkan," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Cyberjaya.

JSM ialah sebuah agensi yang ditubuhkan pada 28 Ogos 1996 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Standards Malaysia ialah Badan Standard dan Akreditasi Kebangsaan yang memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan melalui perkhidmatan standard dan akreditasi yang berkredibiliti dan berdaya saing secara global.

Menyentuh tentang kes buaian kanak-kanak yang ditarik penjualannya, Fadilah berkata, terkini JSM telah membangunkan standard barang permainan bagi memastikannya selamat.

"JSM juga telah membangunkan standard bagi produk pertanian iaitu Amalan Baik Pertanian Malaysia (MyGAP) bagi memastikan produk pertanian, ternakan dan akuakultur yang dikeluarkan menepati semua kriteria yang ditetapkan supaya selamat dimakan," katanya.

Pada 28 Ogos 2013, MyGAP telah dilancarkan. MyGAP ialah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Persijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) dan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) menjadi skim lebih menyeluruh merangkumi pertanian akuakultur dan ternakan.

"Ini bagi memastikan produk pertanian yang dikeluarkan bukan saja berkualiti malah mudah untuk dieksport ke luar negara kerana standard yang digunakan setaraf dengan antarabangsa," katanya.

Diiktiraf

Dalam sektor pelancongan, secara purata Malaysia menerima kira- kira 20 juta pelancong setiap tahun. Menyedari potensi pelancongan eko pengembaraan yang semakin mendapat tempat, JSM telah membentuk satu perkongsian pintar dengan MyLEAF, sebuah agensi bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan sektor berkenaan menyediakan kualiti tertinggi melalui satu standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Industri halal ialah satu perniagaan yang besar dan penting kerana mencecah AS$2.3 trilion setahun dan Malaysia telah mengeksport produk bernilai kira-kira AS$10 bilion pada tahun lalu. Bagi menyokong industri halal, JSM telah membangunkan 13 MS berkaitan dengan halal.

Walaupun tidak semua produk diwajibkan untuk mendapatkan standard tertentu tetapi sebagai pengguna tentu saja lebih selamat untuk mendapatkan produk yang mencapai standard berkenaan.

"Malah pengiktirafan standard ini walaupun bukan wajib tetapi amat penting dalam pemasaran kerana pengguna sekarang semakin prihatin.

"Walaupun terdapat standard yang bukan wajib terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana tetapi standard berkenaan amat penting bagi tujuan pemasaran.

"Standard berkenaan amat penting apabila pengguna sekarang terutama di bandar sangat mementingkan kualiti barangan yang mereka beli," katanya.

Ini adalah 'pintu' bagi memudahkan pemasaran di peringkat global kerana di setiap negara atau pasaran yang ingin ditembusi memerlukan sesuatu standard tempatan dan standard adalah penting untuk kejayaan sesebuah perniagaan.

Pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti JSM boleh melayari laman web www.jsm.gov.my

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Sumber: Utusan

0 comments: