01 Oktober 2014

Keputusan Sebenar SPM Syarat Wajib Ikuti Kursus IPTS



Keputusan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah syarat wajib bagi mengikuti kursus pengajian yang diluluskan Kementerian Pendidikan seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Justeru itu, Kementerian Pendidikan tidak pernah membenarkan keputusan ramalan SPM dijadikan syarat minimum untuk kemasukan ke IPTS.

IPTS mengetahui sepenuhnya mengenai keperluan SPM sebagai syarat kelayakan bagi mengikuti kursus yang diluluskan Kementerian Pendidikan.


Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan menjelaskan, syarat wajib mengikuti pengajian seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma mengikut Seksyen 38 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, memerlukan keputusan sebenar SPM.

IPTS juga tahu bahawa mengambil masuk pelajar menggunakan keputusan ramalan SPM merupakan kesalahan mengikut Seksyen 40(1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Sumber: Bernama, Kosmo

Keputusan peperiksaan percubaan SPM bukan untuk kursus jangka panjang

Kementerian Pendidikan tidak pernah membenarkan mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan kursus jangka panjang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan peperiksaan percubaan SPM itu hanya boleh diguna untuk kursus jangka pendek seperti muzik dan Bahasa Inggeris.

“Kementerian tidak pernah halang IPTS guna keputusan peperiksaan percubaan itu untuk kursus jangka pendek,” katanya.

Beliau mengulas laporan media mengenai rungutan ibu bapa berhubung tindakan kementerian yang melarang penggunaan keputusan peperiksaan percubaan SPM untuk mengikuti program pra-universiti dan asasi di IPTS bermula 2015.

Idris berkata rasional melarang IPTS menggunakan keputusan percubaan SPM adalah untuk memastikan kursus yang ditawarkan berkualiti serta mematuhi piawaian ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Ini penting kerana kita mahukan IPTS dan kursus yang ditawarkan mempratik amalan terbaik, kerana MQA ini berkolaborasi dengan agensi berkaitan di seluruh dunia," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua IPTS pada 23 Mei 2014, sekali gus menafikan dakwaan segelitir pihak bahawa kementerian telah membuat keputusan secara terburu-buru berhubung isu berkenaan.

"Ia bukan kejutan atau perkara baharu kepada IPTS kerana mereka sudah tahu lebih awal dan sangat faham tentang larangan menggunakan keputusan percubaan peperiksaan SPM untuk kursus jangka panjang." katanya.

Mengenai UMMC-Samsung SONO School, Idris berkata ia satu contoh kerjasama terbaik antara pihak industri dengan universiti bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja.

"Mereka yang ada di dalam industri mempunyai lebih banyak pengetahuan berbanding pihak universiti termasuk daripada segi keperluan.

Perkembangan teknologi telah menyebabkan ada rasional universiti mencipta jalinan kerjasama dengan industri supaya tidak ketinggalan dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa," katanya.

Idris berharap konsep pembelajaran di universiti dapat dikaji semula dengan menekankan kepada pendekatan "dua campur dua" iaitu dua tahun pengajian di IPT dan dua tahun lagi bagi latihan dalam industri.

"Ini bagi memastikan apabila pelajar menamatkan pengajian, mereka mempunyai daya saing yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja sama ada dalam atau luar negara, katanya.

Sumber: BERNAMA, BHarian

Keputusan SPM 2014 Diumumkan 3 Mac 2015

Pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 diawalkan dan akan dibuat pada 3 Mac 2015, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pengumuman keputusan kira-kira dua minggu lebih awal itu akan membolehkan pelajar mendaftar dan menamatkan kursus pengajian prauniversiti dalam masa yang ditetapkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan New Zealand bagi kemasukan Februari 2016.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) pada 7 Okt, 2014, Idris berkata ia diputuskan selepas mempertimbangkan bahawa SPM adalah peperiksaan nasional yang boleh mempengaruhi dasar serta peraturan kerajaan.

"Keputusan ini diambil tanpa ketepikan segala syarat yang ditetapkan kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengekalkan standard SPM sebagai peperiksaan yang beraspirasikan nasional.

"Oleh kerana mereka boleh memasuki IPTS lebih awal, maka segala isu tentang lewat masuk universiti, kos, jarak masa terluang telah kita selesaikan melalui perbincangan bersama," katanya.

Kementerian Pendidikan menerusi surat bertarikh 23 Mei 2014 mengingatkan semua IPTS bahawa keputusan ramalan tidak boleh digunakan untuk kemasukan bagi kursus pengajian tinggi.

Dalam satu kenyataan media pada 30 Sept 2014, Kementerian Pendidikan menjelaskan syarat wajib mengikuti pengajian seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma mengikut Seksyen 38 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, memerlukan keputusan sebenar SPM.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa IPTS mengetahui sepenuhnya mengenai keperluan SPM sebagai syarat kelayakan bagi mengikuti kursus yang diluluskan Kementerian Pendidikan.

Kenyataan kementerian itu juga menyebut bahawa IPTS mengetahui bahawa mengambil masuk pelajar menggunakan keputusan ramalan SPM merupakan kesalahan mengikut Seksyen 40(1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Idris berkata keputusan terbaharu itu hanya tertakluk kepada peperiksaan SPM tahun ini sahaja manakala keputusan untuk peperiksaan berikutnya akan diputuskan kemudian.

Beliau juga berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat demi kebaikan bidang pendidikan.

"Ini sesuatu yang sukar untuk diputuskan, namun hasil perbincangan berterusan kita putuskan perkara ini demi kebaikan institusi pendidikan, pelajar dan semua pihak terlibat," katanya.

Sumber: BERNAMA [07092014]

0 comments: