09 September 2014

PKW ~ Perintah Kehadiran Wajib



RUTIN harian Jeff (bukan nama sebenar), 43, yang bergelumang dengan debu dan panahan mentari pagi sejak tiga bulan lalu membuatkan dia begitu lali dengan keadaan tersebut.

Biarpun titisan peluh hampir membasahi seluruh permukaan baju yang disarungnya namun, dia terus menghayunkan penyapu kayu yang berada di dalam genggamannya ke atas jalan tar dengan bersungguh-sungguh.

"Ini merupakan rutin harian saya sejak mahkamah menjatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) pada 16 Jun 2014 lalu.

"Menerusi hukuman ini, saya dikehendaki untuk menjalani kerja-kerja kemasyarakatan iaitu membersihkan kawasan awam, masjid dan rumah orang-orang tua dalam tempoh 240 jam seperti yang diperuntukan oleh mahkamah," jelasnya.



PEGAWAI parol memantau pesalah PKW ketika mereka melakukan kerja-kerja pembersihan.

Definisi

Perintah Kehadiran Wajib untuk melakukan kerja-kerja komuniti selama 240 jam ( atau 3 bulan) bagi pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil mampu beri pengajaran kepada pesalah agar tidak mengulangi kesilapan lampau.

PKW merupakan hukuman alternatif iaitu mahkamah akan mengeluarkan perintah bagi menggantikan hukuman penjara kepada pesalah yang menerima tempoh hukuman kurang daripada tiga bulan.

Menerusi hukuman tersebut, pesalah dikehendaki melapor diri di Pusat Kehadiran Wajib yang diarahkan bagi menjalani kerja wajib di bawah penyeliaan Pegawai Pusat Kehadiran Wajib.


PESALAH dikehendaki melapor kehadiran di pusat parol berdekatan sebelum menjalani hukuman.

Contoh Kes 1

Menurut Jeff yang berasal dari Sepang, Selangor ini, dia dijatuhi hukuman tersebut selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 34 iaitu membawa kenderaan curi.

"Pada waktu itu saya bekerja sebagai juruteknik dan kebetulan, ada seorang pelanggan membuat aduan mengenai penyaman udara rumahnya yang mengalami masalah.

"Kerana bimbang jalan raya sesak, rakan setugas saya yang kebetulan berada di situ menyarankan supaya saya menunggang motosikal miliknya," jelas Jeff ketika ditemui Jurnal di Pejabat Parol Ulu Langat, Selangor.

Ceritanya, ketika sedang dalam perjalanan, dia ditahan oleh sekumpulan anggota polis dalam satu sekatan jalan raya.

"Polis tersebut mengarahkan saya menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu.

"Anggota tersebut kemudian memeriksa motosikal tersebut. Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu kenderaan tersebut merupakan kenderaan curi," jelasnya.

Selepas soal siasat dijalankan dan mendapati kenderaan tersebut bukan milik Jeff, mahkamah menjatuhkan hukuman PKW selama tiga bulan terhadapnya.


MEMBERSIH kawasan tanah perkuburan merupakan antara aktiviti yang mampu menginsafkan pesalah.

Contoh Kes 2

Berbeza pula bagi Wafi (bukan nama sebenar), 25. Angkara terpengaruh dengan rakan-rakan, dia dikenakan hukuman PKW sejak 17 Julai 2014 lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 395 iaitu samun.

"Pada waktu itu saya dan beberapa rakan yang lain berada di bawah pengaruh dadah.

"Entah bagaimana, kami berlima menyamun sebuah kedai minuman keras di Maluri, Cheras," jelasnya.

Ternyata, malam tersebut merupakan hari malang bagi Wafi apabila tindakannya itu menyebabkan dia tertangkap selepas rakaman kamera litar tertutup premis tersebut berjaya merakam wajahnya.

"Rakan-rakan yang lain terlepas dan disebabkan kesalahan dilakukan tidak begitu besar, mahkamah menjatuhi hukuman PKW ke atas saya.

"Perbuatan itu ternyata memakan diri kerana bukan sahaja dijatuhi hukuman tersebut, malah saya terpaksa menanggung malu selain dibuang kerja oleh majikan," jelasnya dalam nada kesal.


BAGI kesalahan melibatkan disiplin, pesalah akan dihantar menjalani hukuman di rumah orang-orang tua.

Penyesalan

Menurut Jeff dan Wafi, mereka bersyukur kerana hanya dijatuhi dengan hukuman PKW. Sekurang-kurangnya, hukuman tersebut tidak seberat jika hendak dibandingkan dengan hukuman yang perlu dijalani di dalam tirai besi.


"Saya bernasib baik kerana tidak dipenjarakan. Sebaliknya, mahkamah hanya memerintahkan saya untuk melakukan kerja-kerja komuniti seperti membersihkan kawasan-kawasan awam sahaja," jelasnya.

Melalui pelaksanaan PKW, kedua-dua mereka masih mampu menyara keluarga dan menjalani rutin harian mereka seperti biasa.

Ujar Jeff, biarpun tidak berhadapan dengan seksa penjara mahu pun dirotan, namun pengajaran yang diterima melalui program tersebut benar-benar membuatkan dirinya insaf.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad, PKW sebenarnya telah diwujudkan sejak tahun 1954.

Namun, pada waktu itu, pesalah-pesalah yang menerima hukuman PKW hanya diarahkan untuk menjalani kerja-kerja komuniti di sekitar luar penjara.

"Penerimaan masyarakat terhadap pesalah pada waktu itu berbeza dengan zaman sekarang kerana kini masyarakat kebanyakannya lebih berfikiran terbuka.

"Disebabkan takut komuniti ini dicemuh oleh masyarakat sekeliling, pesalah PKW hanya diarahkan untuk menjalani hukuman mereka di Penjara Pudu," jelasnya.


BIARPUN perlu menjalani hukuman PKW, namun pesalah masih boleh bekerja seperti biasa.

Komuniti

Tambah Abdul Aziz, memandangkan hukuman tersebut tidak begitu dikenali, ia kurang diaplikasikan terhadap pesalah dan semakin dilupakan.

Bagaimanapun, pada tahun 2011, hukuman tersebut mula dilaksanakan semula dan diserapkan di bawah Jabatan Parol dan Perkhidmatan Komuniti.

Antara kesalahan yang layak menerima hukuman PKW ialah kesalahan berkaitan jalan raya, menyimpan barangan curi, judi dan memiliki dadah serta samun.

Ujar Abdul Aziz, selain memberi hukuman yang setimpal terhadap kesalahan-kesalahan kecil, PKW juga bertujuan untuk memberi kesedaran dan keinsafan terhadap pesalah dalam bentuk khidmat bakti yang diberikan kepada masyarakat.

Justeru, tidak mustahil jika kerja-kerja hukuman tersebut dijalankan di tempat-tempat tertentu yang mampu memberi kesedaran kepada pesalah.

"Sebagai contoh, jika individu tersebut dikenakan PKW atas kesalahan lumba haram, maka mereka akan diarahkan untuk melakukan kerja-kerja komuniti di unit kecemasan hospital untuk membantu pesakit di sana.

"Bagi kesalahan yang berkaitan dengan agama pula, pihak kami lazimnya akan menghantar individu tersebut untuk membersihkan kawasan sekitar tanah perkuburan dan masjid-masjid," jelasnya.

Tambah Abdul Aziz, melalui pendekatan tersebut, ia secara tidak langsung mendorong individu untuk berubah dengan sendirinya dan tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

"Ia terbukti berkesan kerana bermula 2011 hingga awal bulan ini, seramai 1,821 orang pesalah dijatuhi hukuman PKW di seluruh negara.

"Daripada jumlah tersebut, 99.9 peratus daripada mereka menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih baik dan mengaku insaf dengan perbuatan terdahulu," jelasnya.

Tambah Abdul Aziz, setakat ini tiada bekas pesalah PKW yang mengulangi kesalahan atau melakukan kesalahan lain dan dimasukkan ke penjara.

Tidak seperti hukuman-hukuman lain, pesalah yang dikenakan hukuman PKW mempunyai kelonggaran dan mampu menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Ia kerana, mereka hanya perlu menjalani hukuman tersebut kira-kira empat jam setiap hari selain dibernarkan bercuti pada hujung minggu dan cuti umum.

Bagaimanapun, jika pesalah gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan dan dihantar untuk menjalani hukuman di dalam penjara.

Sumber: Kosmo

INFO: Pusat Kehadiran Wajib

Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 adalah suatu perintah mahkamah bagi menggantikan hukuman penjara yang mengkehendaki seseorang itu hadir pada setiap hari di pusat yang dinyatakan di dalam perintah tersebut dan mengaku janji untuk menjalankan kerja wajib untuk tempoh tidak lebih Tiga (3) Bulan dan untuk bilangan jam tidak melebihi empat (4) jam sehari.

Pusat Kehadiran Wajib (PKW) adalah dikendalikan oleh Jabatan Penjara.

Kategori pesalah adalah yang dikenakan hukuman penjara kurang daripada tiga bulan. Mereka dibenarkan melaksanakan hukuman alternatif ini dengan melakukan kerja komuniti harian di samping boleh terus menanggung keluarga mereka seperti biasa.

Kosep Perintah Kehadiran Wajib adalah alternatif hukuman pemenjaraan kepada pesalah yang
melakukan kesalahan-kesalahan tertentu untuk menjalani hukuman di luar penjara dengan
melaksanakan "kerja wajib" tanpa menjejaskan kehidupan harian dalam masyarakat.

Kerja Wajib adalah apa-apa kerja buruh, tugas kerja atau kursus pengajaran yang diperintah oleh
Pegawai Pusat Kehadiran Wajib untuk diakujanji oleh pesalah tersebut.

Contoh kerja amal yang termasuk dalam senarai Kerja Wajib adalah membersihkan rumah orang-orang tua dan kanak-kanak spastik di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat

Objektif Perintah Kehadiran Wajib

1. Membantu pesalah mengelakkan peranan dan tanggungjawab dalam keluarga tanpa menjejaskan kehidupan dalam masyarakat.
2. Mengurangkan impak pemenjaraan ke atas pesalah bagi hukuman ringan.
3. Memberi peluang bagi pesalah yang melakukan kesalahan ringan menjalankan kerja wajib kepada masyarakat sebagai proses pemuliharaan dalam komuniti.

Faedah Perlaksanaan Perintah Kehadiran Wajib
1. Mengurangkan kos kerajaan dalam menanggung pesalah kerana hukuman penjara.
2. Mengurangkan kesesakan dalam penjara.
3. Mengekalkan keakraban hubungan kekeluargaan tanpa perlunya pengasingan menerusi pemenjaraan.
4. Meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pesalah terhadap masyarakat.
5. Mengurangkan perlakuan semula jenayah.

Sumber: Sarawak-advocates, Utusan

0 comments: