15 September 2014

Straight 'A' Tidak Harus Jadi Penanda Aras Kejayaan Anak

Gambar hiasan

Anak-anak tidak harus dibebankan untuk mencapai 'A' dalam peperiksaan kerana perkara itu bukanlah penanda aras menentukan kejayaan seseorang pada masa hadapan, kata pensyarah di institut pengajian tinggi awam.

"Saya bukan ibu bapa yang berminat melihat anak mendapat semua A pada peperiksaan mereka," kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau sebaliknya lebih percaya kepada kepentingan memahami kandungan subjek yang dipelajari dan memupuk nilai murni dalam diri anak supaya ia dapat dipraktiskan serta menjadi sebahagian daripada peribadi anak.


Katanya sikap ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan menyebabkan anak 'didewasakan' lebih awal daripada usianya.

"Saya percaya setiap anak perlu mendapat zaman kanak-kanak untuk dikenang semasa dewasa. Malangnya, ia tidak begitu dapat dicapai jika dari awal fokusnya telah ditetapkan hanya untuk mendapat A penuh (dalam peperiksaan)," katanya.

Noor Aziah berkata keterbukaan dalam mendidik anak menyebabkan kanak-kanak itu lebih mudah mendapat kejayaan kerana mereka rasa perlu berusaha gigih bagi membalas kepercayaan ibu bapa.

Beliau turut menegur perbuatan segelintir ibu bapa yang cenderung memuji keputusan cemerlang anak rakan-rakan di hadapan anak dengan niat mahu memberikan motivasi kepada anak untuk lebih rajin belajar.

"Kita sering terlupa bahawa kanak-kanak juga boleh kecil hati, tersinggung dengan apa yang kita lafazkan.

"Sebagai ibu, saya juga pernah memuji anak rakan yang bijak di hadapan anak, dan anak saya hanya diam sebelum bertanya kembali, adakah dirinya tidak pandai?," katanya.

Anggota Jawatankuasa Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan Majlis Profesor Negara Dr Khadijah Alavi pula berpendapat ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa setiap anak mempunyai kemahiran dan kelebihan yang berbeza.

"Saya sering memberitahu anak dan pelajar untuk terapkan niat mahu mendapat 'A' sebagai motivasi, namun tidak mengapa jika mereka mendapat 'B' atau gred lain," katanya.

Menurutnya ibu bapa dan guru juga perlu menerima dan bersyukur dengan kemampuan anak dan merangka strategi untuk memaksimumkan potensi mereka dalam bidang diminati supaya merasa dihargai dan diterima seadanya.

Menjelaskan lanjut, Khadijah berkata mereka perlu sedar bahawa pendidikan di peringkat universiti tidak lagi terhad hanya kepada keputusan 'A' sebaliknya banyak lagi kriteria lain yang dinilai.

"Di universiti, kita mahu pelajar mempunyai kemahiran berkomunikasi, tinggi tahap keyakinan dan ada ciri-ciri pemimpin," katanya dan dan menambah bahawa majikan masa kini cenderung melihat perwatakan individu yang memohon pekerjaan.

Beliau berkata jika ibu bapa dan guru menumpu kepada jumlah 'A' yang diperoleh, kanak-kanak mungkin kurang kemahiran yang diperlukan bagi pembentukan peribadi kerana perlu meluangkan banyak masa kepada mengulang kaji pelajaran.

Presiden Persatuan Kaunselor Malaysia Datuk Dr Ismail Alias pula berkata ibu bapa perlu melihat sama ada anak mereka berusaha mendapatkan semua 'A' dalam 'keadaan sukarela atau tidak'.

"Sekiranya mereka melakukan dalam keadaan sukarela, kanak-kanak ini tidak mudah tertekan berbanding jika dalam keadaan tidak kerana takut dimarahi oleh ibu bapa jika gagal berbuat demikian," katanya.

Jika usaha mendapatkan semua 'A' dilakukan atas faktor takut, beliau berkata perkara itu dibimbangi akan menjejaskan tahap keyakinan kanak-kanak.

Oleh Siti Salwa Shaari
Sumber: BERNAMA

Minda 'A' perlu diubah kepada minda ilmu

Masyarakat perlu mengubah pemikiran bahawa proses pembelajaran bukan semata-mata untuk mendapatkan gred 'A' tetapi adalah proses berterusan bagi menimba ilmu pengetahuan.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, berkata ukuran kejayaan pelajar tidak bergantung sepenuhnya dengan keputusan cemerlang sebaliknya mendapatkan ilmu kehidupan seperti kemahiran kepimpinan juga antara elemen penting yang diberikan keutamaan.

"Ini adalah satu cabaran besar pada masa ini memandangkan semua 'mindset' ibu bapa dan pelajar mengatakan pembelajaran hanya berorientasikan untuk mendapat gred 'A' saja dan dapat nombor satu dalam kelas.

"Ini seperti persaingan anak-anak dan ibu bapa sehinggakan 'harapan atau jangkaan' yang terlampau tinggi ini menarik perhatian pihak tertentu mengambil kesempatan membocorkan soalan peperiksaan," katanya.

Dr Muhammad Muhsin berkata, perkara seperti kebocoran kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014, dapat memberikan kesan kepada perkembangan sahsiah murid yang terbabit kerana dari segi aspek psikologi ia berkemungkinan boleh mentafsirkan ketidakjujuran dalam kalangan masyarakat.

"Murid-murid ini baru umur 12 tahun, masih kecil tidak tahu apa-apa. Apabila jadi macam ini membuatkan mereka pun keliru dengan keadaan kena ambil semula peperiksaan.

"Jadi di masa depan sekiranya keadaan ini tidak diperbetulkan sebaik mungkin kanak-kanak umur seperti ini akan lihat benda tidak baik dan ketikdakjujuran suatu perkara biasa saja yang tidak salah dari segi moral," katanya.

Katanya, dalam usaha menangani insiden soalan bocor, format penilaian UPSR kini yang berorientasikan kepada peperiksaan akhir mungkin perlu diubah kepada penilaian formatif atau penilaian secara berterusan.

Beliau menjelaskan dengan penilaian formatif itu, kemampuan dan daya intelektual pelajar boleh diuji menerusi 70 peratus kemahiran termasuk kokurikulum dan 30 peratus lagi peperiksaan akhir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata guru dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang soalan ramalan menerusi laman sosial kerana ia mudah disalahtafsirkan.

"Dalam soal ini kita tidak salahkan guru sebab tidak tahu lagi siapa yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran soalan peperiksaan ini cuma pihak kita nasihat guru-guru jangan gemar sangat sebarkan soalan ramalan.

"Dengan kemajuan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) kini semuanya di hujung jari dan macam-macam boleh berlaku," katanya.

Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata insiden itu menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu bapa yang mempunyai anak menduduki peperiksaan itu.

"Ia sangat mengganggu emosi anak-anak tambahan selepas selesainya UPSR ini sekolah akan bercuti selama seminggu, sudah tentu sukar untuk mereka fokus balik kepada pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, jika masalah berkenaan tidak dipandang serius ia akan mengakibatkan pelajar tidak berdikari dalam pembelajaran mereka kerana hanya bergantung kepada menghafal jawapan soalan yang sudah bocor.

Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR di kawasan Serdang, Intan Rosazrina Mohd Nasir, berkata masalah itu meluluhkan hati anaknya yang sudah membuat persediaan dan bersemangat untuk menduduki peperiksaan itu.

"Bagi saya, perlakuan ini (membocorkan soalan) tidak membantu murid itu untuk cemerlang di kemudian hari," katanya.

Arese Nesi Rawe Shanggar, 12, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di daerah Klang pula berkata, sukar untuk menerima kenyataan perlu menduduki semula peperiksaan.

Oleh Nuramalina Ebrahim dan Nurrulhuda Ahmad Lufti
Sumber: BERNAMA, BHarian

0 comments: