16 September 2014

Bahagian Pinjaman Perumahan Jadi Badan Berkanun



Kerajaan bercadang menjadikan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan sebagai sebuah badan berkanun bagi membolehkan sistem pengurusan yang le­bih sistematik dapat dihasilkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, cadangan penubuhan badan berkanun tersebut tertakluk kepada syarat Skim Pinjaman Perumahan dengan mengekalkan faedah sedia ada yang dinikmati penjawat awam.

Kerajaan memberi jaminan pengurusan pinjaman perumahan di bawah badan berkanun yang bakal ditubuhkan itu tidak akan merugikan penjawat awam.

Syarat-syarat pinjaman perumahan masih dikekalkan sebagaimana yang dinikmati mereka pada masa kini, malahan sebagai peminjam, penjawat awam akan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.


Pada masa ini, Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) dengan perunding yang dilantik bagi proses pemerbadanan itu sedang menyediakan rang undang-undang penubuhan badan berkanun tersebut dan Skim Saraan Baharu untuk kakita­ngan badan berkanun tersebut.

Penjawat awam yang memilih untuk menyertai skim ini kelak dijangka akan menikmati beberapa faedah sebagaimana yang dinikmati oleh lain-lain agensi yang telah diperbadankan.

Beliau menegaskan, kerajaan memberi jaminan pengurusan pinjaman perumahan di bawah badan berkanun tersebut tidak akan merugikan penjawat awam.

Antara faedah yang bakal dinikmati oleh penjawat awam yang menyertai skim baharu itu adalah tangga gaji yang lebih tinggi berbanding dengan skim sedia ada.

Sebelum ini media melaporkan kononnya Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan satu jabatan di bawahnya untuk digantikan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau institusi kewangan bagi menguruskan pinjaman perumahan melibatkan penjawat awam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, menyarankan BPP dijadikan sebuah badan berkanun kerana penggantiannya dengan GLC atau institusi kewangan lain dibimbangi akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi mendapat kemudahan pinjaman perumahan sedia ada.

Sumber: Utusan, BERNAMA

0 comments: