10 September 2014

Warna-Warni Perjalanan MAS



SYARIKAT penerbangan komersial dilanda masalah kewangan atau mengalami kerugian dalam operasi bukan suatu perkara baharu tetapi telah lama berlaku. Kalau dilihat senarai syarikat penerbangan yang sudah tidak beroperasi, jumlahnya bukan sedikit tetapi beratus.

Keadaan ini berlaku kerana pelbagai faktor termasuk bebanan kos operasi, persaingan domestik, sentimen pengguna serta krisis ekonomi.

Sebahagian syarikat ini terselamat selepas bergabung dengan syarikat-syarikat penerbangan lain untuk membentuk entiti yang lebih kuat bagi mengelak daripada 'gulung tikar' dan ada yang mendapat suntikan modal daripada kerajaan.


Masalah kewangan yang berlaku ke atas syarikat-syarikat penerbangan lain turut melanda Malaysia Airlines (MAS). Bagaimanapun MAS masih berupaya untuk bertahan sehingga hari ini ketika banyak syarikat penerbangan lain sudah tidak wujud.

Dalam artikel ini dipaparkan suka-duka perjalanan syarikat penerbangan negara yang telah menjadi `duta' memperkenalkan nama Malaysia ke serata dunia sejak sekian lama.

Tertubuhnya MAS

Malayan Airways Limited (MAL) ditubuhkan pada 12 Oktober 1937 di Singapura oleh Ocean Steamship Company, The Straits Steamship Company dan Imperial Airways bagi memulakan perkhidmatan udara menghubungkan Pulau Pinang dengan Singapura.

Namun, MAL hanya membuat penerbangan pertamanya dengan hanya membawa lima penumpang pada 2 April 1947 dari Singapura ke Kuala Lumpur dan dalam tempoh tiga bulan, syarikat itu memperluaskan penerbangannya ke Jakarta, Medan, Palembang (Indonesia) dan Saigon (Vietnam).

Nama Malayan Airways kemudian ditukar kepada Malaysian Airlines Limited (MAL) selepas penubuhan Malaysia pada 1963. Pada 1966, nama syarikat penerbangan itu sekali lagi ditukar kepada Malaysia-Singapore Airlines (MSA) selepas Singapura keluar daripada Malaysia. Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Singapura merupakan pemegang saham utama dalam syarikat penerbangan tersebut.

Pada 1972, MSA menamatkan operasinya selepas kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Singapura berakhir. Ia berikutan perbezaan pendapatan antara kedua-dua kerajaan yang mana Malaysia mahu menumpukan kepada penerbangan domestik manakala Singapura kepada penerbangan antarabangsa. Maka, lahirlah dua penerbangan iaitu MAS dan Singapore Airlines.

Pada tahun sama, MAS terbang ke sebanyak 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa. Setahun kemudian, perkembangan sektor penerbangan menyaksikan MAS telah menerbangkan sebanyak dua juta penumpang.

Kegemilangan MAS

Pertumbuhan ekonomi yang pesat di Malaysia pada 1980-an menyaksikan MAS terbang ke 47 destinasi antarabangsa termasuk lapan destinasi Eropah, tujuh destinasi Oceania serta ke Los Angeles dan Honolulu di Amerika Syarikat.

Pada 1993, MAS menjadi syarikat penerbangan pertama dari rantau ASEAN melakukan penerbangan ke Amerika Selatan menerusi penerbangan sulung ke Buenos Aires, Argentina. MAS juga melakukan penerbangan ke Mexico City dari 1994 hingga 1998.

Pengiktirafan

MAS merupakan satu jenama yang popular dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat itu diiktiraf dunia. MAS merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menang anugerah Kru Kabin Terbaik Dunia daripada Skytrax sebanyak empat kali berturut-turut iaitu dari 2001 hingga 2004 dan yang paling banyak menang anugerah itu iaitu sebanyak tujuh kali.

MAS juga diiktiraf sebagai syarikat penerbangan lima bintang sebanyak lima kali iaitu pada 2005, 2006, 2007, 2009 dan 2012, di samping Anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (2010) dan Syarikat Penerbangan Peneraju Asia (2010, 2011).

Penswastaan MAS

Pada 1993, Syarikat Helicopter Services Berhad milik usahawan, Tan Sri Tajudin Ramli membeli sebanyak 32 peratus pegangan saham dalam MAS. Tajudin menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan itu sehingga 2001 sebelum menjual semula sahamnya kepada kerajaan Malaysia selepas syarikat itu terus dilanda kerugian akibat krisis matawang yang berlaku pada 1997.

Sumber: Utusan

1 comments: