Kementerian Pengangkutan akan mencadangkan kepada kerajaan supaya caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) turut dikenakan ke atas kenderaan asing dari Thailand yang memasuki negara ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kementeriannya berharap agar tindakan mengenakan caj itu dapat diselaraskan dengan penguatkuasaan VEP terhadap kenderaan asing dari Singapura yang memasuki Johor, yang dijangka mula dilaksanakan pada 1 Jan 2015.
Katanya tindakan mengenakan caj VEP kepada kenderaan dari Thailand sebagaimana kenderaan dari Singapura adalah usaha untuk menyeragamkan sistem lintas sempadan di seluruh negara.
"Ini akan memudahkan kemasukan kenderaan-kenderaan asing ke Malaysia dijalankan dengan lebih tersusun. Kita juga mahu kawal sempadan negara kita daripada dicerobohi pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti penyeludupan manusia dan barangan seperti dadah, senjata dan diesel," katanya.
Abdul Aziz berkata cadangan mengenakan bayaran VEP untuk kenderaan dari Thailand itu merupakan antara rumusan pendekatan baharu yang akan dicadangkan kepada kerajaan berhubung peraturan kemasukan kenderaan asing terutama soal penguatkuasaan dan keselamatan.
"Kenderaan dari Thailand yang masuk ikut pintu masuk Malaysia perlu ikut peraturan dan undang-undang Malaysia. Telah dibincangkan dengan terperinci bahawa telah tiba masanya pihak kerajaan buat kajian semula mengenai peraturan kemasukan kenderaan di sempadan Thailand.
"Kita lihat ada beberapa kelemahan dalam sistem kita. Dah tiba masa kita menyemak peraturan lama untuk disesuaikan dengan masa kini. Semua cadangan yang diusulkan akan dibawa ke peringkat kerajaan untuk diputuskan," katanya.
Katanya antara kelemahan yang dibangkitkan adalah isu pengecualian permit peredaran antarabangsa (ICP) untuk kenderaan dari Thailand yang memasuki Malaysia dalam jarak dua kilometer, yang diamalkan sejak 1994.
Abdul Aziz berkata apabila diberi kelonggaran dua kilometer, ada teksi Thailand yang mengambil kesempatan terlajak melebihi dua kilometer yang dibenarkan, termasuk ke Kuala Lumpur dan Johor Baharu.
"Kita mungkin kaji semula untuk memansuhkan pengecualian dua kilometer ini. Dengan wujud dua kilometer ini, pengusaha teksi Thailand mengambil ruang ekonomi pengusaha teksi tempatan kerana mereka turut mengambil penumpang dari Malaysia masuk ke Thailand. Ini menimbulkan rasa tidak puas hari pengusaha teksi tempatan kerana ruang ini diambil peluang pengusaha teksi Thailand.
"Kita nak seragamkan sistem seluruh negara di kawasan sempadan seluruh negara supaya tiada elemen memihak. Dah tiba masa untuk perubahan ini dengan kepesatan ekonomi dan pembangunan antara Thailand dan Malaysia. Dulu dalam jarak dua kilometer itu mungkin tidak ada pembangunan tetapi kini dah pesat, selain kita perlu tangani isu keselamatan. Ini perlu diperkemaskan dan diperketatkan supaya kedaulatan negara terjamin," katanya.
Katanya ada juga cadangan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mencari penyelesaian untuk pihak pengusaha teksi di Thailand dan Malaysia.
"Ada cadangan nak wujudkan kolaborasi antara kedua-dua pengusaha supaya untungkan kedua-dua pihak. Sekarang ini pihak kita rugi, sebab itu kita dapat rungutan daripada pengusaha tempatan berikutan kelonggaran yang diberikan, yang mana kita tak jaga pengusaha tempatan," kata Abdul Aziz.
ICP merupakan lesen pelawat bagi sesuatu kenderaan dari negara jiran yang dibawa ke Malaysia untuk tempoh 90 hari. ICP dikuatkuasakan untuk kenderaan dari Thailand dan Indonesia.
Sumber: BERNAMA
Caj VEP Kepada Kenderaan Asing Dari Singapura
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 Julai, 2014, mengumumkan Kerajaan Pusat bersetuju mengenakan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) kepada kenderaan asing dari Singapura yang memasuki Malaysia melalui Johor, seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Johor.
Kerajaan Johor memaklumkan bahawa pihaknya telah memohon kepada Kerajaan Pusat sejak lima bulan lalu untuk mengenakan caj kemasukan terhadap kenderaan warga Singapura ke negara ini.
Cadangan VEP tersebut pernah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam pembentangan Sidang DUN pada tahun 2006 dan dibangkitkan semula dalam Sidang DUN September 2013 dengan usul caj RM20 bagi kenderaan asing yang masuk ke negeri ini melalui Tambak Johor dan Lebuh Raya Laluan Kedua, dengan RM5 digunakan untuk penyelenggaraan jalan raya di Johor.
Sebahagian dari hasil kutipan VEP itu dicadangkan untuk dikongsi antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri Johor,
Terdahulu, Singapura telah mengumumkan kenaikan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan Permit Kenderaan Barangan (GVP) dari luar ke republik itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2014.
Mengikut laporan, VEP dinaikkan daripada RM51 (S$20) kepada RM90 (S$35) sehari, GVP pula RM103 (S$40) berbanding RM26 (S$10) sebulan.
Sumber: BHarian, Utusan [17072014]
0 comments:
Catat Ulasan