18 Oktober 2014

Kisah Hero Kanak-Kanak Penerima Anugerah Pingat Hang Tuah


Muhamad Firdaus Haris (dua dari kiri) hadir bersama keluarga pada majlis Pra Pelancaran Anugerah Pingat Hang Tuah Tahun 2014 di Putrajaya.

Menerima Anugerah Pingat Hang Tuah pada 25 Mac 2006 kerana keberaniannya menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada lemas di sebuah kolam renang, menjadi kenangan terindah dalam hidup Muhamad Firdaus Haris.

Biarpun telah lapan tahun berlalu, kegemilangan tersebut tidak pernah dilupakan dan menjadi azimat dalam meniti usia remaja. Anak muda yang pernah diangkat sebagai 'hero kanak-kanak ' ini, kini sudah berusia 21 tahun, hanya berbaki beberapa semester lagi sebelum bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seremban, Negeri Sembilan.

Mengimbau kembali peristiwa tersebut, dia yang ketika itu baharu berusia 12 tahun, mengikut keluarganya bercuti ke Port Dickson dan tidak menyangka aktiviti curi-curi mandi di kolam renang di hotel penginapan mereka berakhir dengan insiden dia menyelamatkan kanak-kanak daripada lemas.


“Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Ketika itu semua ahli keluarga saya tiada di bilik penginapan kerana ke hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat keracunan makanan.

“Sepatutnya pihak hotel tidak membenarkan sesiapa mandi di kolam renang pada waktu malam tapi biasalah kanak-kanak, degil sedikit.

“Saya dan seorang kawan turun ke kolam renang dan tiba-tiba ada seorang budak tergelincir ke dalam kolam ketika mahu mengambil pelampung," kata Muhamad Firdaus ketika ditemui di majlis Pra Pelancaran Anugerah Pingat Hang Tuah 2014, di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Putrajaya,

Tindakan pantas menyelamat kanak-kanak itu membolehkannya menerima Anugerah Pingat Hang Tuah dan turut menerima biasiswa khas daripada Yayasan Selangor sejak di Tingkatan 1 hingga sekarang.

Anak pasangan Asnita Abas dan Haris Abu Talib itu mengakui, tidak pandai berenang ketika kejadian tersebut dan hikmahnya selepas itu dia menyertai kelas renang serta mempelajari ilmu pertolongan cemas.

Tutur katanya yang tenang dan sopan menunjukkan anak muda ini menerima didikan yang sempurna daripada kedua ibu bapanya.

Mendapat inspirasi daripada bapanya yang aktif melakukan kerja-kerja sukarela, sejak kecil lagi Muhamad Firdaus sudah diterap dengan nilai-nilai murni sentiasa prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

“Macam selalu ayah cakap, kita kena tolong orang tidak kira macam mana keadaan sekalipun sebab mungkin bantuan yang kita beri akan berbalik semula kepada kita apabila kita susah nanti," ujarnya.

Baginya, setiap ahli masyarakat patut mempunyai sikap ingin membantu satu sama lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

Mengenai Anugerah Pingat Hang Tuah, Muhamad Firdaus berharap ia diteruskan sampai bila-bila kerana boleh menjadi platform untuk melahirkan masyarakat yang lebih berjaya.

“Anugerah ini wajar diadakan bagi menghargai keberanian yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Penganugerahan seperti ini akan membantu melonjakkan hidup mereka ke arah yang lebih baik.

“Namun, apa yang paling penting ialah keikhlasan. Jangan kerana nak dapat anugerah baru nak tolong orang. Bantu orang apa yang termampu, akhirnya nanti menjadi bekalan kita pada masa hadapan," katanya.

Selamatkan dua adik daripada rentung

Berbeza pula ceritanya dengan Muhammad Zulfahmi Zuraidi, 18, yang menyelamatkan dua orang adiknya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di rumah keluarganya di Kampung Gong Kijal, Bukit Tunggal, Terengganu, sehingga membolehkan dia menerima Anugerah Pingat Hang Tuah 2007.

Dalam kejadian pada 17 Jun 2006 itu, Muhammad Zulfahmi yang kini menuntut di Kolej Universiti TATI (TATiUC), Terengganu, berusaha menyelamatkan dua adik lelakinya selepas menyedari bilik tidur adik-adiknya itu sudah terbakar dan mula merebak ke keseluruhan rumah.

“Saya tidak fikir apa-apa pun masa itu, apa yang penting adalah saya dan mereka boleh keluar dari rumah dalam keadaan selamat," ceritanya mengimbas kembali saat bertarung nyawa demi keselamatan ahli keluarganya,

Api yang semakin marak menyebabkan dia bergegas menarik kedua-dua adiknya dan apabila sudah keluar baru dia menyedari dia tertinggal seorang daripada adiknya.

“Mungkin sebab terlalu panik, dia tidak dapat mencapai tangan saya dan saya mengambil keputusan untuk masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil adik yang masih terperangkap dalam bilik tidur," katanya,

Penuntut jurusan Jaringan Komputer yang baru sahaja menghabiskan semester pertama pengajiannya mengakui, dia bukanlah seorang yang begitu berani sehingga sanggup merempuh api yang marak, tetapi disebabkan kedua-dua adiknya masih terperangkap di dalam bilik, dia melupakan ketakutan tersebut.

Muhammad Zulfahmi berkata, ramai temannya sekarang tidak mengetahui tentang anugerah yang pernah diterimanya dahulu.

Namun, dia lebih senang keadaan begitu kerana tidak mahu timbul rasa riak atau meninggi diri dalam hatinya.

“Hati manusia bila-bila masa pun boleh berubah, sebelum timbul niat negatif lebih baik saya elakkan dahulu. Kalau kawan-kawan tahu pun, biarlah mereka ambil apa yang baik dan pengajaran daripada kejadian tersebut," katanya merendah diri.

Tidak berkesempatan lagi untuk aktif dalam persatuan di kolejnya kerana terlalu sibuk, Muhammad Zulfahmi berazam untuk aktif dalam aktiviti kebajikan mulai semester hadapan dan boleh berbakti kepada masyarakat melalui aktivitinya nanti.

Sumber: Utusan

0 comments: