17 Oktober 2014
5 Jenis Wanita Menurut Al-Quran
DALAM al-Quran, ALLAH SWT menceritakan pelbagai jenis kisah untuk kita teladani dan jadikan iktibar sebagai panduan dalam kehidupan sehari-hari. ALLAH tidak hanya mengisahkan perihal kisah kaum terdahulu, tetapi juga pelbagai bentuk akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.
ALLAH ada menjelaskan mengenai jenis wanita dalam al-Quran. ALLAH kisahkan semua cerita ini untuk hamba-Nya, khususnya wanita bagi diaplikasikan dalam kehidupan yang sedang dijalani.
Ada antara yang bersifat positif dan ada yang bersifat negatif. Ada yang patut dicontohi, dan semestinya ada yang harus kita jauhi. Lima jenis wanita diceritakan dalam al-Quran buat panduan kita semua.
Wanita pejuang
Jenis pertama yang disebut dalam al-Quran adalah jenis pejuang. Wanita yang memiliki sifat pejuang ini mempunyai keperibadian yang kuat. Mereka berani menanggung risiko apa pun saat keimanannya diusik dan kehormatannya diperlekehkan. Siti Asiah binti Mazahin, isteri Firaun memiliki sifat pejuang ini.
ALLAH mengabdikan doa Siti Asiah dalam al-Quran: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripda Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim." (Surah at-Tahrim: 11)
Walaupun berada dalam cengkaman Firaun, Asiah mampu menjaga akidah dan harga dirinya sebagai seorang Muslimah. Asiah lebih memilih istana di syurga daripada istana dunia yang dijanjikan Firaun. ALLAH mengabdikan doanya dan menjadikannya tauladan bagi orang yang beriman.
Berjuang untuk agama dengan menjaga kesucian diri.
Jaga dirinya
Jenis wanita yang kedua ialah wanita soleh yang menjaga kesucian dirinya. Kita dapat lihat sifat ini ada pada Maryam binti Imran. Hari-harinya diisi dengan ketaatan kepada ALLAH. Maryam sangat konsisten menjaga kesucian dirinya.
ALLAH berfirman yang bermaksud: "Bagaimana mungkin aku mempunyai anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan seorang penzina!" (Surah Maryam: 20)
Disebabkan keutamaan inilah, ALLAH mengabdikan namanya sebagai salah satu surah dalam al-Quran dengan Surah Maryam, surah ke-19.
ALLAH memelihara Maryam bukan kerana kecantikannya, tetapi kerana kesuciannya dalam menjadi hamba yang soleh.
Pembawa kayu bakar
Jenis yang ketiga, dimiliki oleh Hindun, isteri Abu Lahab. Mereka yang mempunyai sifat seperti Hindun ini suka menghasut, menyebar fitnah dan menjaja cerita. Di dalam al-Quran, Hindun disebut sebagai “pembawa kayu bakar” atau dengan kata lain penyebar fitnah. Bersama suaminya, Hindun tidak putus menentang dakwah Rasulullah SAW, menyebar fitnah dan melakukan kezaliman. Bicara yang sedikit menjadi besar apabila Hindun bersuara.
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.” (Surah Al-Masad: 1-5)
Wanita penggoda
Jenis wanita yang keempat ialah jenis wanita yang menggoda. Ini dibuktikan Zulaikha saat menggoda Nabi Yusuf AS. Perbuatan Zulaikha ini diceritakan dalam al-Quran: "Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata, "Marilah dekat kepadaku.".
Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada ALLAH, sesungguhnya, tuanku telah melayaniku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya." (Surah Yusuf: 23)
Wanita pengkhianat
Sifat atau jenis wanita yang terakhir ialah wanita pengkhianat dan ingkar kepada suaminya. ALLAH memuji wanita yang tidak taat kepada suaminya yang zalim, seperti yang dilakukan oleh Asiah, isteri Firaun.
Namun, dalam masa yang sama ALLAH tidak menyukai wanita yang mengkhianati suaminya yang soleh. Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mempunyai sifat kelima ini. Saat suaminya memperjuangkan kebenaran, mereka menjadi pengkhianat dakwah.
ALLAH SWT berfirman: "... perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth, mereka berdua berada di bawah jagaan dua hamba yang soleh daripada hamba-hamba Kami, dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing, maka kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada (azab) ALLAH dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (neraka)." (Surah At-Tahrim: 10)
Golongan wanita yang dikisahkan al-Quran ini hidup ribuan tahun lalu. Namun, karakter dan sifatnya tetap ada sehingga kini. Ada jenis yang kukuh keimanannya dalam berjuang. Ada wanita solehah yang tetap beribadah dan tetap menjaga kesucian diri. Ada pula yang suka menghasut, menggoda dan menjadi pengkhianat. Semuanya terserah kepada kita untuk memilih yang mana.
ALLAH berfirman: "Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh-contoh kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah An-Nur: 34)
Semoga dengan membaca kisah ini, kita tidak terjerumus pada lingkar dosa yang akan memenuhi neraka. Insya-ALLAH.
Oleh: SITI ZURAIDAH ISMAIL
Sumber: Sinar Harian
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan