02 Oktober 2014

Mesin ATM Bank Digodam

ATM godam

Sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila mesin ATM itu digodam pada 27 Sept. 2014 yang dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.

Kejadian penggodaman mesin ATM itu merupakan jenayah pertama berlaku di negara ini selepas jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM berlaku sejak tahun 1997 hingga 2002.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahya Ramli berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan sindiket antarabangsa dari Amerika Latin yang melakukan pengeluaran beratus-ratus kali di kedua-dua mesin milik bank terbabit dalam tempoh sehari.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.



DUA anggota forensik memeriksa mesin ATM yang digodam suspek.

"Ini modus operandi pertama dilakukan seumpama ini. Suspek godam sistem tanpa perlu pecah mesin ATM untuk larikan wang," katanya.

Dalam kejadian pertama pukul 9.48 pagi, seorang pengurus bank terbabit di cawangan Batu Pahat, Johor, mendapati mesin ATM bank itu tidak berfungsi dan mendapati wang di dalam mesin itu hilang.

Katanya rakaman kamera litar tertutup di ATM itu mendapati terdapat tiga suspek berbangsa Amerika Latin, berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, membuat pengeluaran berkenaan. Jumlah wang dikeluarkan mereka ialah RM265,000.

Beberapa jam kemudian pada hari yang sama, Yahya berkata modus operandi yang sama dilakukan di bank berkenaan di USJ Subang Jaya oleh dua suspek lelaki berbangsa Amerika Latin dengan membuat pengeluaran 137 kali secara bergilir-gilir pada 5.30 petang.
   
Katanya pihak pengurusan bank mengesyaki kehilangan wang itu ketika memeriksa wang ATM tersebut dan polis percaya sindiket berkenaan menggunakan kad sim telefon dan sistem teknologi tinggi untuk menggodam mesin ATM itu bagi mengeluarkan wang.

Polis kini sedang berusaha mengesan suspek terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup bank terbabit.

Jenayah pengklonan kad ATM di negara ini berlaku ketika kad ATM dan kad kredit hanya menggunakan sistem pita magnetik di belakang kad.

Jenayah itu berjaya dihapuskan setelah Bank Negara menguatkuasakan penggunaan sistem cip dan pita magnetik pada setiap kad ATM dan kad kredit kepada setiap bank pada 2003.

Sumber: BERNAMA, Sinar Harian


ANGGOTA polis melakukan penyiasatan ke atas mesin ATM yang digodam, di Selangor.

Sistem mesin ATM digodam, RM568,600 lesap

Pada 27 Sept. 2014, dua penjenayah telah melesapkan wang berjumlah RM568,600 daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua buah bank masing-masing di USJ 10, Subang Jaya dan Petaling Jaya dengan menggunakan kepakaran teknologi.

Tanpa menggunakan sebarang alat pengumpil atau merosakkan ATM terbabit, kedua-dua suspek lelaki yang dipercayai warga Amerika Latin berusia lingkungan 20 ke 35 tahun itu didapati melakukan sebanyak 137 transaksi di mesin tersebut setelah mereka berjaya menggodam sistemnya.

Kedua-dua suspek turut dikesan memakai fon telinga semasa mengeluarkan wang tersebut yang dilakukan secara bergilir-bergilir dalam tempoh dua jam.

Dalam kejadian di USJ 10, mereka berjaya melarikan wang berjumlah RM265,600 sementara di Petaling Jaya (RM303,000).

Mengulas kejadian di USJ 10, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihak bank hanya menyedari kehilangan wang di dalam ATM tersebut pada petang 27 Sept, 2014, sebelum pengurus bank terbabit membuat laporan pada kira-kira pukul 5.30 petang.

"Hasil semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian itu berlaku pagi 27 Sept. 2014 iaitu antara pukul 8.35 pagi hingga pukul 10.44 pagi.

"Dua suspek lelaki yang mempunyai paras muka warga Amerika Latin berumur lingkungan 20-35 tahun, tinggi 175 sentimeter ke 180 sentimeter, berkulit cerah, seorang berambut perang manakala seorang lagi berambut hitam dikesan melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Yahaya berkata, penyelenggara ATM juga mendapati sekeping kad SIM telah diletakkan di tempat memasukkan kad ATM pada mesin itu.

Sementara itu, kehilangan wang ATM berjumlah RM303,000 di sebuah bank di Petaling Jaya hanya disedari 7.30 petang 27 Sept. 2014.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jenayah itu dilakukan oleh suspek pada pukul 12.30 malam.

Sumber: Utusan

RM1.217 juta lesap daripada mesin ATM

Sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam Mesin Teler Automatik (ATM) kepunyaan Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor, menurut kenyataan Affin Bank pada 29 Sept. 2014.

Kenyataan itu menyebut mesin ATM itu diusik pada Sabtu 27 Sept. 2014, mengakibatkan kecurian wang tunai daripada mesin berkenaan.

Mesin ATM terbabit terletak di Johor Bahru, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor; Melaka Raya; selain PJ State dan USJ di Selangor, menurut kenyataan itu.

"Insiden itu telahpun dilaporkan dan bank bekerjasama rapat dengan polis dalam penyiasatan kes itu," kata bank berkenaan.

Laporan menyebut sekumpulan warga asing dipercayai menggunakan sim kad telefon dan peranti lain untuk menggodam mesin ATM itu. Suspek dalam kes penipuan pengeluaran wang itu kelihatan seperti berketurunan Amerika Latin atau Timur Tengah.
 
Sumber: Sinar Harian


ANGGOTA Forensik berkawal di hadapan sebuah bank yang digodam di USJ Subang Jaya, Selangor.

Senarai ATM digodam di empat negeri

Berikut senarai 17 kes Mesin Teler Automatik (ATM) yang digodam dipercayai sindiket Amerika Latin melibatkan bank di cawangan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor Baharu, yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun setakat ini tiada pemilik akaun bank melaporkan kehilangan wang mereka.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:
     ATM di Jalan Imbi; 28 Sept; Kerugian RM92,900

Di Selangor:
    ATM di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya; 27 Sept; Kerugian RM303,000
    ATM di Seksyen 14, Petaling Jaya; 29 Sept; Kerugian RM395,850
    ATM di Dataran Sunway, Petaling Jaya; 29 Sept; Kerugian RM221,160
    ATM di USJ Subang Jaya; 27 Sept; Kerugian RM265,600
    ATM di Kota Damansara; 29 Sept; Kerugian RM285,700
    ATM di Kelana Jaya; 29 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Klang; 29 Sept; Kerugian RM150,000
    ATM di Puchong; 29 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Shah Alam; 29 Sept; Kerugian RM116,000
    ATM di Kajang; 29 Sept; Kerugian belum diketahui

Di Johor Baharu:
    ATM di Johor Baharu; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Taman Molek; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Batu Pahat; 27 Sept; RM265,000
    ATM di Kluang; 29 Sept; RM288,200

Melaka:
    ATM di Melaka Raya; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Bandar Hilir; 27 Sept; Kerugian RM232,770

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Akaun pelanggan tidak terjejas

Affin Bank Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd memberi jaminan kepada pelanggan bahawa akaun mereka tidak terjejas susulan kejadian kecurian wang tunai daripada enam mesin juruwang automatik (ATM) baru-baru ini.

Bank-bank itu menyatakan sementara menunggu hasil siasatan polis, mereka telah melaksanakan langkah kawalan tambahan di semua ATM di cawangan-cawangan dan di lokasi luar daripada bank.

"Kami memantau situasi tersebut untuk memastikan pelanggan kami terus dapat melaksanakan perbankan mereka dengan selamat," menurut Affin Bank dan Affin Islamic dalam kenyataan bersama.

Sumber: BERNAMA, BHarian


Gambar sebahagian daripada suspek kes menggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dirakam kamera litar tertutup di beberapa buah bank di tiga negeri.

Sindiket guna virus lesap wang ATM

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din mengesahkan kesemua kejadian penggodaman mesin ATM dilakukan oleh sindiket yang sama.

Jelas beliau, siasatan mendapati kumpulan penjenayah licik tersebut memasukkan sejenis virus yang dikenali sebagai ULSSM yang mampu menggodam sistem ATM.

"Satu cakera optik yang mengandungi virus itu akan dimasukkan ke dalam sistem pemprosesan yang terletak di bawah panel ATM.

"Langkah itu akan mengakibatkan sistem komputer ATM tergendala dan menghentikan rangkaian internet yang dipasang untuk menghalang sistem keselamatan yang sedia ada daripada berfungsi.

"Apabila sistem tergendala, suspek akan menggodam mesin terbabit dengan senang sehingga mampu membuat pengeluaran dengan begitu mudah," katanya.

Mohd. Kamarudin menjelaskan, penjenayah perlu melakukan pengeluaran berulang kali kerana hanya 40 keping wang kertas yang keluar pada satu-satu masa.

Katanya, kemungkinan suspek bergerak secara aktif di beberapa buah negeri kerana mampu melakukan jenayah itu dalam tempoh 48 jam sahaja.

"Kita percaya mereka daripada sindiket yang sama dan setiap kali melakukan jenayah itu, dua atau tiga suspek yang dikesan menerusi lima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kita ambil daripada lokasi kejadian.

"Polis percaya perbuatan tersebut dilakukan lebih daripada 10 suspek," katanya lagi.

Tambah beliau, penjenayah terbabit turut meletakkan sekeping kad SIM di tempat memasukkan kad ATM bagi menghalang pengguna lain melakukan transaksi.

Sumber: Utusan

Polis lancar ‘Ops albatross’

Polis melancarkan operasi khas ’Ops Albatross’ untuk mengesan dan memberkas penjenayah yang terlibat dalam beberapa siri insiden penggodaman Mesin Teler Automatik (ATM), menggunakan kaedah menyuntik virus malware, ’ulssm.exe’ bagi menipu sistem pengkomputeran bank.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, siasatan awal menunjukkan terdapat beberapa lelaki dipercayai warga asing telah membuka panel bahagian atas ATM terlebih dahulu.

Mereka kemudian memasukkan satu cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin berkenaan untuk memindahkan malware itu ke dalam sistem ATM itu.

"Selepas mengeluarkan CD, panel itu akan ditutup semula dan ahli sindiket akan mengeluarkan kesemua wang di dalam ATM itu menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon dari rakan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, slot kad ATM kemudian akan disumbat dengan objek berupa kad sim, kertas ataupun puntung rokok bagi menyekat akses pengeluaran wang oleh pengguna lain.

Sumber: BERNAMA, Kosmo

Segera periksa, tingkat keselamatan

Semua institusi kewangan di seluruh negara perlu mengambil tindakan segera memeriksa dan meningkatkan tahap keselamatan mesin juruwang automatik (ATM) dan kad ATM pengguna bagi mengekang kegiatan menggodam mesin berkenaan daripada berleluasa.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selva Raj berkata jika tindakan segera tidak diambil, bank bakal menghadapi implikasi teruk yang akan menghakis kepercayaan dan keyakinan pengguna untuk terus menyimpan wang di institusi berkenaan.

"Kes ini amat serius, yang telah mencetuskan kebimbangan ramai pihak kerana kebanyakan rakyat Malaysia kini adalah pengguna bank.

"Semua bank perlu memberi perhatian serius terhadap kes ini dan mengambil tindakan segera untuk memeriksa sistem keselamatan masing-masing kerana kita bimbang kes ini akan berlaku pada bank lain pula," katanya.

Pada 27 Sept. 2014, satu sindiket dipercayai dari Amerika Latin melarikan RM1.271 juta daripada mesin ATM milik Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor dipercayai menggunakan sim kad telefon dan peralatan canggih.

Jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM pernah berlaku sebelum ini di negara ini.

Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor pula berkata tiada kompromi dalam isu keselamatan bank kerana ia bukan sahaja menjejas keyakinan pengguna, namun turut menyumbang kepada penyusutan daya saing ekonomi negara.

Tegasnya, bank merupakan institusi penting yang mempamer imej positif kepada negara terutama dalam menarik pelancong dan pelabur asing ke negara ini.

"Dari sudut psikologinya, faktor keselamatan akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan, jika bank tidak ada jaminan keselamatan, bagaimana pengguna, pelancong asing dan pelabur mahu menggunakan bank atau masuk ke negara ini," soalnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bank di negara ini meneliti semula sistem keselamatan bank masing-masing dan menukarnya kepada satu sistem yang lebih canggih, selari dengan kecanggihan teknologi semasa.

"Mungkin juga bank perlu menukar sistem atau kod keselamatannya setiap beberapa tahun sekali, kerana sistem atau kod yang bertukar akan menyukarkan penjenayah.

"Apa yang penting, keselamatan adalah isu berterusan, untuk mengekalkannya, bank perlu melakukan pelaburan kerana keselamatan yang terjamin akan membawa keuntungan kepada bank itu sendiri apabila lebih ramai pelanggan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan bank tersebut," katanya.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Naik taraf sistem operasi ATM cegah digodam

Terdapat beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil oleh bank untuk menghalang mesin juruwang automatik (ATM) daripada serangan siber, iaitu termasuk menaik taraf sistem operasi komputer.

Langkah pencegahan awal itu dapat menangkis kejadian yang tidak diingini seperti kejadian yang dilakukan satu sindiket dipercayai Amerika Latin menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Johor dan Melaka membabitkan kerugian hampir RM3 juta minggu lepas.

Kumpulan itu dipercayai menggodam sistem ATM menggunakan sim kad telefon dan teknologi telefon canggih tetapi tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.

Sebuah syarikat keselamatan perisian komputer berpangkalan di Amerika Syarikat, Symantec, mencadangkan agar bank menaik taraf komputer mereka kepada sistem operasi komputer seperti Windows 7 atau 8.

Dalam laman webnya di www.symantec.com, syarikat itu berkata bank seharusnya menyediakan perlindungan fizikal yang mencukupi dan mempertimbang pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di ATM.

Symantec berkata, langkah lain ialah dengan mengunci BIOS komputer untuk menghalang pengebutan semula media yang tidak dibenarkan, seperti CD-ROM atau USB stick.

"Menggunakan penyulitan cakera penuh bagi menghalang cakera diganggu dan menggunakan sistem kunci penyelesaian seperti Pusat Data Keselamatan Symantec: Server Advanced (sebelum ini dikenali sebagai Sistem Perlindungan Kritikal)," kata Symantec.

Ia berkata dengan menggunakan kaedah itu, penyerang mungkin berhadapan kesukaran untuk menggodam ATM tanpa bantuan orang dalam.

Menurut syarikat itu, mesin ATM lama menggunakan Windows XP terdedah kepada serangan siber oleh penjenayah siber menggunakan teknik canggih terutama apabila ditempatkan di lokasi yang jauh.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah keselamatan fizikal yang mencukupi bagi komputer di dalam ATM untuk menahan serangan tersebut. - BERNAMA

Sumber: BHarian

Bank perlu kemas kini sistem komputer ATM

Institusi kewangan perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa memperkemas sistem pengkomputeran mesin juruwang automatik (ATM) mereka bagi mengelak penjenayah siber melarikan wang di dalamnya dengan mudah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sepatutnya pihak bank menyedari keperluan perkembangan teknologi semasa yang sentiasa pesat berubah dan menjadikan sistem pengkomputeran lama mudah rapuh dan diceroboh.

“Terlalu banyak bijak pandai dalam IT (teknologi maklumat) sekarang, maka kita perlu adakan sistem keselamatan mantap bagi mengelak kejadian ini berulang,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC).

Musa berkata kesediaan untuk menaik taraf sistem pengkomputeran adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh diambil lewa.

Katanya pihak bank juga wajar memantau setiap pegawainya kerana dikhuatiri mereka turut terbabit dalam memberi kerjasama kepada sindiket.

"Bagi pihak bank, mereka perlu mengawasi setiap pegawai yang telah diambil bekerja. Sebagai contoh, awasi data kakitangan dan latar belakang mereka," katanya.

Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar mencadangkan perlu wujud perisian baharu yang boleh mengesan sebarang kecurigaan dalam perisian sedia ada.

"Sebagai contoh, jika terdapat sesuatu transaksi pengeluaran yang kerap berlaku dalam jumlah yang banyak, tanda amaran akan keluar dari sistem berkenaan untuk memaklumkan kepada pihak bank," katanya.

Akhbar juga mencadangkan agar pihak bank mewujudkan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mesin ATM ditempatkan dan dibuat secara tersorok serta rakamannya secara siaran langsung dan dipantau pihak bank.

Baginya kejadian rompakan boleh dielak jika institusi kewangan mengambil inisiatif untuk sentiasa memantau sistem keselamatan terkini bagi mengelak bank daripada mudah diceroboh.

"Apabila sesuatu perisian diperkenalkan, kita perlu lebih ‘tujuh langkah ke hadapan' bagi mencegah kemungkinan sistem diceroboh.

"Bank-bank tempatan khususnya yang terlibat di bahagian IT, perlu peka apa juga maklumat dan perkembangan IT yang berlaku bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara,” katanya. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

1 comments:

Unknown berkata...

Penjenayah zaman sekarang semakin bijak dan sanggup buat apa sahaja untuk kaya cepat...semoga mereka akan segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.