03 Oktober 2014
Santuni Perasaan Jemaah Haji Wanita
IBADAT haji merupakan ibadat badaniah. Banyak cabaran amali yang dihadapi jemaah haji. Ada situasi yang mampu menyebabkan tekanan perasaan, terutama kepada jemaah haji wanita. Antaranya ialah:
1. Mahram tumpang
Ada mahram merupakan syarat wajib bagi wanita mengerjakan fardu haji. Ketiadaan mahram membuatkan wanita tidak wajib melakukannya. Banyak pandangan dikemukakan para ulama mengenai siapakah yang dapat memenuhi syarat sebagai mahram.
Namun sebahagian ulama telah memutuskan wanita harus melakukan ibadat haji bersama satu kumpulan wanita atau lelaki yang amanah dan dapat menjamin keamanan wanita terbabit sekira suami, bapa atau saudara tidak pergi bersama. Kita istilahkan sebagai mahram tumpang (MT).
Alhamdulillah pandangan ini dapat menyelesaikan masalah wanita yang ketiadaan mahram untuk menunaikan haji. Namun isu Wanita Menumpang Mahram (WMM) seperti itu tidak terhenti di situ sahaja. Banyak perkara yang masih menimbulkan tekanan perasaan jemaah haji wanita seperti ini.
2. Beriddah semasa kerja haji
Ajal maut di tangan Allah. Sekalipun ada jemaah haji dari awal lagi mengharapkan menemui ajal di Tanah Suci Mekah atau Madinah, namun majoriti mereka mahu pulang semula ke tanah air selepas menunaikan ibadat haji. Sekiranya kematian suami berlaku, isteri yang ditinggalkannya akan mengalami banyak tekanan. Jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini perlu disantuni dengan sebaiknya, terutama oleh rakan sebilik. Semangatnya perlu dipulihkan, kesedihannya perlu ditawari, kesukaran batin dan zahirnya perlu mendapat simpati.
3. Kedatangan haid semasa kerja haji
Isu berkaitan pendarahan semasa melakukan ibadat haji merupakan isu paling menonjol bagi jemaah haji wanita, sebolehnya mereka tidak mahu ibadat mereka diganggu kedatangan haid. Oleh itu ada di antara mereka yang berusaha mengatasinya dengan mengambil ubatan bagi menahan haid.
Nasibnya mungkin baik jika usahanya itu berkesan, tiada haid yang mengganggu ibadatnya. Namun tidak semua mendapat nasib yang sama. Ada wanita yang bukan sahaja gagal menghalang kedatangan haid, malah kedatangan haidnya mengalami kecelaruan, pendarahan tidak berhenti sehingga sukar memastikan yang mana haid dan yang mana istihadah.
Keadaan ini sangat menekan perasaan jemaah wanita yang mengalaminya, keinginan menggandakan pahala dengan solat berjemaah di masjid, mengulang kali ibadat umrah sunat, tawaf sunat, solat tahiyyat al-masjid di masjid-masjid yang diziarahi, kesemuanya terhalang. Guru pembimbing juga kadangkala sukar menjelaskan keadaan mereka.
4. Jahil hukum
Pelbagai kursus mengenai hukum dan praktikal amalan haji telah diadakan oleh TH atau syarikat-syarikat swasta, namun masih ramai yang tidak faham atau jahil hukum ibadat haji, contohnya aurat dan pakaian semasa ihram
Sebenarnya tiada pakaian khusus bagi wanita melakukan ibadat ihram, semua pakaian boleh dipakai asalkan menutup aurat, memenuhi ciri pakaian wanita Islam dan bukan pakaian yang diharamkan syarak.
Namun pengamalan sesetengah jemaah haji wanita menunjukkan bahawa mereka beranggapan bahawa pakaian wanita ihram ialah sepasang kain telekung putih. Kefahaman yang salah kerana jahil ini membuatkan mereka merasa tekanan, merasakan ibadat haji ini amat menyukarkan.
5. Memakai wangian
Memakai wangian memang dilarang bagi mereka yang melakukan ihram haji atau ihram umrah sunat. Namun salah faham atau jahil telah membuatkan memakai wangian ini menjadi isu. Jahil hukum ini membuatkan jemaah haji merasakan larangan semasa haji sangat memberatkan, sedangkan pada hakikatnya ia tidak demikian.
Keadaan ini perlu disantuni dengan memberikan mereka kefahaman yang jelas mengenai isu-isu berbangkit ini supaya mereka tidak dihimpit perasaan sukar yang sepatutnya tidak ada.
6. Isu pergaulan silang jantina
Penempatan jemaah wanita dalam Masjid Nabawi di Madinah dengan di Mekah cukup berbeza. Di Madinah ia lebih tersusun berbanding di Mekah. Ini kadang kala menimbulkan suasana yang menekan dan hal yang sama juga berlaku di matof (tempat tawaf) dan mas`aa (tempat sa`ie) juga.
Oleh DR. ANISAH AB. GHANI
Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim)
Sumber: Utusan
Labels:
Haji & Umrah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan