MENYUSURI lorong sepanjang 130 meter di belakang Laman Seni Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pengunjung pasti terpukau menyaksikan 40 lukisan mural yang mempesonakan.
Jika dahulu mural sering berkait rapat dengan vandalisme, seiring peredaran masa, mural kini diangkat sebagai medium kesenian yang mempunyai coretan cerita tersendiri.
Dinding seluas 60 meter persegi di kawasan tersebut telah berubah menjadi kanvas bagi artis mencoretkan idealisme masing-masing melalui lukisan mural.
Tidak sekadar menconteng pada dinding, para artis memberanikan diri menyuntik elemen selain lukisan seperti installation, imej tiga dimensi dan street furniture.
Prinsipal Khznh Creative Studio (KHZNH), Mohd. Afiq Tajul Ariffin berkata, seramai 40 kumpulan dipilih dalam kalangan belia berumur antara 18 hingga 30 tahun untuk menghiasi lorong belakang tersebut.
INSTALLATION kon menjadi tarikan pengunjung di Laman Seni Seksyen 7, Shah Alam.
“Cabaran utama dalam menghasilkan mural ini adalah untuk mencari cat yang tahan lama, kalis air dan tidak mudah dimamah cuaca.
“Setiap artis pula perlu menyiapkan mural masing-masing dalam tempoh seminggu hingga dua minggu. Mereka bertungkus lumus dari pagi hingga tengah malam untuk menyiapkan karya masing-masing,” katanya.
Antara mural yang menarik perhatian pengunjung termasuklah landskap Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang kelihatan ‘bernyawa’ apabila dirakam menggunakan kamera.
Selain itu, eksperimentasi street furniture berjaya memberikan kelainan terhadap lukisan mural. Terdapat mural yang persis persekitaran rimba dengan sungai mengalir.
MOHD. AFIQ memberikan penerangan mengenai bahan yang digunakan untuk melukis mural.
Sambutan
Tidak kurang juga mural gabungan installation dan tiga dimensi seperti segerombolan burung sedang berterbangan.
Mohd. Afiq menambah, projek mural berkenaan adalah projek kedua selepas sambutan memberangsangkan di Laman Seni Seksyen 2, yang dilaksanakan pada Disember 2013.
Katanya, pihak KHZNH juga berhasrat untuk memperluaskan konsep mural tersebut di seluruh negara bagi mendidik masyarakat mencintai seni.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, tujuan program itu diadakan untuk mewujudkan lorong belakang premis yang selamat dan persekitaran yang bersih.
Tuturnya, setiap hari lorong belakang Laman Seni Seksyen 7 menerima kira-kira 2,000 pengunjung bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Malah tambahnya, lokasi tersebut kini menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan di Shah Alam.
Dalam masa terdekat, Shahrin memberitahu, pihaknya bercadang untuk memasang televisyen litar tertutup bagi memastikan keselamatan pengunjung di situ selain mengecat semula lukisan mural yang sudah kusam.
Sumber: Kosmo
0 comments:
Catat Ulasan