29 Oktober 2014
Anak Agresif Di Luar Pasif Di Rumah
Perhatikan tingkah laku anak-anak anda. Bagaimana keadaan mereka ketika berada di luar dan bagaimana pula perangai mereka ketika berada di dalam rumah.
Mungkin kita sebagai ibu bapa turut mengetahui, terdapat sebilangan anak-anak yang apabila berada di luar menjadi lebih agresif berbanding di rumah.
Ada juga anak-anak ketika berada di luar mereka menjadi lebih pendiam berbanding di rumah yang menjadi diri mereka lebih ceria, tidak kurang juga yang agresif.
Dua tingkah laku yang berbeza ini sebenarnya apabila dinilai mempunyai kecenderungan masing-masing bergantung kepada hasil didikan dan asuhan daripada ibu bapa mahupun bagaimana mereka menerima keadaan persekitaran di sekeliling mereka.
Tingkah laku anak-anak yang perlu diperhalusi ibu bapa
Mungkin ibu bapa melihat apa yang diberikan kepada anak-anak mereka di rumah memenuhi keperluan harian anak-anak, namun semua itu tidak akan bererti sekiranya tiada interaksi dalam kalangan ibu bapa kepada anak-anaknya mahupun dalam kalangan adik-beradik di rumah itu.
Menurut Pensyarah Kaunseling Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Sabasiah Husin, apabila mendapati anak-anak berperangai lebih agresif ketika berada di luar manakala di rumah mereka lebih menyendiri dan pendiam dengan menumpukan lebih perhatian kepada gajet atau banyak tidur, mungkin anak berkenaan merasakan dirinya diketepikan atau dipinggirkan oleh ahli-ahli keluarga terutama ibu bapa.
Mereka berasa tidak diberi perhatian sewajarnya ketika berada di rumah. Sekiranya mereka berada di sekolah pula, mereka akan dilabel sebagai pelajar yang nakal oleh guru-guru kerana berani melawan dan melakukan perbuatan yang tidak disenangi.
“Faktor mengapa anak-anak ini bersikap begini mungkin diakibatkan oleh kesibukan ibu bapa itu sendiri atau anak-anak ini terpaksa mengikut arahan ketika berada di rumah sebagai satu kongkongan. Ini menjadikan mereka bosan dan melepaskan setiap tekanan ketika berada di luar sehingga terjadinya konflik kepada diri dan keluarga.
“Anak-anak ini berasakan diri mereka tidak dipedulikan, tidak dihargai, tidak wujud dan akhirnya beralih arah ke luar untuk cuba mendapatkan perhatian dengan melakukan pelbagai aktiviti agresif yang menampakkan mereka ini sebagai seorang hero dan hebat,” jelasnya yang memberitahu kebanyakan mereka yang terlibat dalam permasalahan ini adalah yang berumur di antara 13 hingga 17 tahun iaitu di tahap awal remaja.
Mengikut Sabasiah apa yang dikhuatiri terjadi ke atas anak-anak ini adalah mereka akan terdorong ke persekitaran yang ganas yang diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
Bukan itu sahaja, anak-anak remaja ini apabila dewasa mungkin tidak mempunyai keyakinan dengan persekitaran dalam masyarakat setempat dan tidak mampu untuk berfikir panjang memandangkan peribadi mereka terbentuk di sebalik persekitaran yang sama dengan budaya yang didampingi rakan-rakan sebaya dengan moral yang tidak menentu.
“Dalam keadaan seperti ini apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah mewujudkan kembali hubungan mesra bersama anak-anak dengan cara interaksi yang betul.
“Berbalik kepada tingkah- laku yang bertentangan iaitu ketika berada di rumah anak lebih ceria berbanding di luar yang menjadikan mereka pendiam dan pemalu, ini kerana mereka merasakan keadaan di rumah dirasakan lebih selamat dan boleh mendapat perhatian ibu bapa atau keluarga mereka.
“Ini kerana mereka merasakan ruang lingkup di luar tidak besar sebagaimana di sekolah mahupun di persekitaran, menjadikan mereka takut dan bosan untuk menghadapi keadaan.
“Ditambah lagi sekiranya mereka menjadi mangsa buli rakan-rakan atau guru-guru yang gagal melihat mereka sebagai pelajar yang pintar atau popular, menyebabkan mereka tidak seronok untuk belajar,” jelasnya.
Kesan yang boleh berlaku di sebalik perkara ini adalah golongan ini akan menjadi penakut dan tidak mahu mencuba memajukan diri yang sentiasa pasif.
Remaja yang seperti ini banyak bergantung kepada keluarga dan ibu bapa mereka dan sentiasa berada di bawah kepompong.
Sabariah memberitahu, anak-anak remaja seelok-eloknya diberi peluang menyuarakan pendapat dan pandangan mereka dalam sesuatu hal.
Ia bagi mengelak sesuatu generasi itu berada dalam keadaan pasif dan mengikut sahaja keadaan.
“Di sinilah cara didikan itu penting dalam memastikan sikap agresif dan pasif itu seiring dengan waktu dan keadaan sekali gus membentuk sebagai satu generasi baru yang asertif.
“Asertif ini bermaksud menjadikan generasi akan datang lebih matang dengan pemikiran yang membina tanpa memburukkan orang lain, tanpa meminggirkan kesopanan dan akhlak mulia.
“Generasi asertif perlu melontarkan pandangan dengan idea yang bernas tetapi dengan cara yang berhemah dan tidak membabi-buta,” katanya.
Jelasnya, untuk menjadikan generasi lebih matang pada hari esok bermula dengan didikan dan gaya asuhan ibu bapa di rumah yang lebih menjuruskan ke arah nilai-nilai murni anak-anak itu sendiri dengan berinteraksi dan memahami lebih jiwa anak-anak mereka.
Oleh ROSMAH DAIN
Sumber: Utusan
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan