28 Oktober 2014

Pengangkutan Awam Masih Bukan Pilihan Utama Rakyat



Meskipun sudah banyak lebuh raya dibina dan laluan ekspres terus giat dibina di pusat-pusat bandar, namun kesesakan lalulintas masih berlaku dan malah keadaannya semakin teruk.

Nampaknya, orang ramai masih lebih memilih memandu sendiri walaupun harga petrol dan kadar tol dinaikkan hingga menjejaskan operasi pengangkutan awam.

Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), hanya 20 peratus penduduk bandar menggunakan pengangkutan awam. Jika ini berterusan, usaha kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon, seperti yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi inisiatif Sains Untuk Tindakan (S2A), pastinya gagal dicapai.


Mengapa ini terjadi?

Mengapakah masih ramai tidak mahu menaiki pengangkutan awam seperti bas, LRT, tren dan teksi, walaupun pilihan itu ternyata lebih murah dan mereka tidak perlu pening kepala memandu dalam kesesakan lalulintas?

MAKLUMBALAS LAMAN SOSIAL

Bagi menjawab persoalan ini penulis bertanya kepada rakan-rakan di laman web sosial.

Antara maklumbalas yang diterima ialah daripada 'Irina Muis' yang mengaku dirinya sebagai pengguna pengangkutan awam tegar selama bertahun-tahun.

"Sebab susah, sesak, lama tunggu, penat, takut, kalau pakai pengangkutan awam. Tambahan pula susah nak dapat tempat duduk. Kalau naik kereta sendiri tak terikat masa 'schedule'. Kalau 'jam' pun dalam kereta, selesa", menurut beliau.

Keselamatan kereta dan keperluan keluarga pula menjadi keutamaan bagi 'Jaja Karim' dengan menyatakan bahawa, "Sebab nak naik LRT kena parking berdekatan stesen LRT tapi takut kereta kena pecah atau curi. Kena ambil anak pula lepas kerja, 'Rushing' sangat".

'Mhh Meow' turut berkongsi pendapat yang berbunyi sedikit keras.

Katanya, "Pengangkutan awam tak cekap. Kalau naik bas, nak kena naik teksi bagailah pula, kalau tak, tak sampai. Kalau naik teksi insya Allah sampai terus, tapi lelaki pun takut balik tengah malam, apa lagi perempuan dengan risiko kena rogol, bunuh, sebab niat orang yang pandu kita tak tahu".

Menerusi komen-komen yang diterima, penulis menggariskan senarai berikut iaitu; keselesaan; lokasi; keanjalan masa; keperluan; dan keselamatan, sebagai sebab utama mengapa ramai yang tidak mahu mengguna khidmat pengangkutan awam.

SERIK BERHIMPIT

Berbual dengan penjawat awam Noraini (bukan nama sebenar), 30, beliau berkata pengalaman berulang-alik dengan bas hampir setiap hari semasa belajar di universiti 10 tahun lepas menyebabkan beliau sudah serik menaiki pengangkutan awam.

"Bayangkan berhimpit-himpit dalam bas, kena berdiri pula dari 'Bus Stand Klang' ke Shah Alam. Perjalanan selalunya satu jam lebih sebab 'jam' di Federal Highway. Nak naik komuter, stesen jauh dari kampus, kena ambil teksi pula. Teksi tahu sajalah, ada yang tak jujur, caj mahal tak pakai meter", cerita beliau kepada penulis.

Noraini kini selesa memandu Viva kesayangannya ke mana-mana meskipun terpaksa menempuh kesesakan.

KESELAMATAN

Bagaimanapun punca utama mengapa ramai tidak mahu menaiki pengangkutan awam ialah faktor keselamatan. Hal ini berkait pula dengan faktor lokasi yang kurang sesuai.

Contohnya, stesen komuter atau perhentian bas yang sunyi kerana terletak agak jauh dari pusat aktiviti orang ramai.

Penulis tidak perlu pergi jauh untuk mencari mangsa jenayah akibat menggunakan pengangkutan awam. Rakan sekerja S. Kisho Kumari, 29, sendiri pernah diragut dua kali sepanjang dua tahun pertama beliau bekerja di Bernama.

"Apa sekalipun, pengangkutan awam tidak akan membawa anda sehingga ke depan pintu masuk. Anda masih perlu berjalan lagi untuk sampai ke destinasi", kata gadis dari Tapah ini.

Pertama kali disamun beliau kehilangan telefon dan wang tunai. Pada ketika itu beliau berjalan kaki seorang diri dari perhentian bas ke rumah selepas pulang dari kerja pada pukul 7.00 malam.

"Ambil masa kira-kira 10 minit berjalan untuk sampai ke rumah. Bas hanya berhenti di jalan utama. Pada masa itu saya memang tiada pilihan terpaksa jalan kaki seorang diri", ceritanya.

Kali kedua diragut selepas turun dari bas untuk ke pejabat. Kali ini rantai beliau pula menjadi sasaran peragut motorsikal. Meskipun cubaan ragut itu gagal, peristiwa itu masih berbekas di ingatannya sehingga menyebabkan beliau agak fobia untuk menaiki bas.

"Bayangkan ketika itu ramai orang di sekeliling tapi mereka (penjenayah) masih berani, apatah lagi kalau berjalan seorang diri. Mengguna pengangkutan awam memang boleh banyak berjimat, tetapi tiada keselamatan. Kena sentiasa berhati-hati", katanya.

Beliau kini mengguna kereta dan cuma sesekali sahaja menaiki pengangkutan awam. Walaupun pernah terdetik untuk kembali mengguna pengangkutan awam berikutan kos petrol yang semakin tinggi, Kisho memilih untuk menyerap kos tersebut bagi menikmati keanjalan masa dan yang paling penting keselamatannya lebih terjamin.

CABARAN BAGI SPAD

Noraini dan Kisho, yang boleh dikelaskan sebagai golongan berpendapatan sederhana, mungkin masih mampu untuk menampung kos kenaikan harga petrol. Bagi mereka biarlah penat sedikit menempuh kesesakan asalkan selesa dan selamat dalam kereta sendiri.

Namun, bagaimana pula nasib mereka yang tidak mempunyai pilihan, yang terpaksa juga mengguna pengangkutan awam?

Kumpulan masyarakat ini terpaksa merelakan ketidakselesaan dan dihantui pula dengan serangan penjenayah.

Inilah yang menjadi cabaran bagi SPAD, iaitu membangunkan satu sistem pengangkutan awam di negara ini yang bersepadu, cekap dan selamat.

Badan itu, yang ditubuhkan pada 2010, mewujudkan pelan 'Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan', yang dikenalpasti sebagai satu daripada pelan tindakan utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPAD Nor Fanim Mohd Amin, proses menambah baik sistem pengangkutan awam sedia ada di Malaysia ke tahap yang cemerlang seperti di Hong Kong, akan mengambil masa yang lama dan beliau sendiri tidak berani untuk menyatakan satu jangka masa tertentu.

Bagaimanapun, SPAD menetapkan sasaran 40 peratus penduduk bandar akan mengguna pengangkutan awam menjelang 2030 berbanding 20 peratus pada masa kini, katanya kepada pemberita pada siri syarahan 'Veritas' Metropolis' TOD Development for Kuala Lumpur' baru-baru ini.

Badan itu menggalas tugas berat mengkoordinasikan agensi-agensi berkaitan pengangkutan darat termasuk kerajaan tempatan dan syarikat pemaju bagi mencapai matlamat itu.

Dari segi dasar, suruhanjaya berkenaan mengenalpasti lima imperatif strategik untuk membantu mencapai sasaran berkenaan dan satu daripada yang menjadi keutamaan ialah meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam.

Imperatif lain termasuk meningkatkan sambungan pengangkutan awam bagi penduduk bandar dan akses ke kawasan luar bandar; memastikan perkhidmatan pengangkutan awam pada kos berpatutan; mengukuhkan peringkat-peringkat perkhidmatan; dan mengurangkan kesesakan dan pencemaran.

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
Sumber: BERNAMA

0 comments: