06 Oktober 2014
PKW: Gantian Kepada Hukuman Penjara
HANYA kerana anaknya memasukkan sebatang pensel yang belum dibayar ke dalam beg tangan tanpa disedari sewaktu mereka membeli belah di sebuah pasar raya, seorang ibu terpaksa menjalani hukuman penjara tiga bulan atas tuduhan mencuri.
Bukan mempertikaikan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah tetapi jika difikirkan semula hukuman tersebut agak berat bagi kesalahan sebegitu.
Sebenarnya tertuduh masih boleh merayu kepada hakim agar dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954. Sama ada rayuan itu diperkenankan atau tidak, itu terpulang kepada budi bicara hakim.
Tetapi adakah tertuduh atau peguam yang mewakilinya mengetahui mereka boleh merayu agar hukuman mereka digantikan dengan PKW ?
Menurut Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Jabatan Penjara Malaysia, Abdul Aziz Mohamad, sebenarnya masih ramai yang kurang pengetahuan mengenai PKW di negara ini walaupun terdapat beberapa mahkamah negeri telah mempraktikkannya.
Pihak penjara sendiri, ujar beliau, masih dalam proses memberi penerangan kepada mereka yang terlibat termasuk hakim, peguam, pihak pendakwa dan lain-lain.
Menjelaskan secara ringkas mengenai PKW beliau menyatakan, ia adalah hukuman alternatif kepada pesalah yang dijatuhkan hukuman penjara kurang daripada enam bulan.
"Pelaksanaan program tersebut adalah bagi pesalah-pesalah yang melakukan jenayah ringan seperti mencuri, lumba haram dan sebagainya.
"Para pesalah tidak akan dipenjarakan, sebaliknya mereka hanya perlu melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama empat jam sehari.
"Bagaimanapun terpulang kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman," jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Dengan pelaksanaan program itu, kata Abdul Aziz, para pesalah dapat meneruskan pekerjaan asal mereka dan menanggung keluarga selepas menyelesaikan kerja-kerja khidmat masyarakat.
Beliau menjelaskan, antara tempat yang pesalah akan dihantar untuk melakukan khidmat masyarakat adalah di rumah orang tua, rumah anak yatim, masjid, hospital dan melakukan kerja-kerja pembersihan dengan majlis perbandaran.
"Di rumah orang tua dan anak yatim misalnya, kita akan perintahkan mereka melakukan kerja-kerja seperti mengemas dan memasak. Dengan majlis perbandaran pula mereka boleh melakukan kerja menyapu sampah dan sebagainya.
"Di hospital kita akan tugaskan mereka di wad kecemasan dan bilik mayat. Kerja ini sesuai untuk mat rempit kerana dapat menimbulkan keinsafan kepada mereka apabila membantu mangsa kemalangan jalan raya dan kematian akibat merempit," katanya.
Selain itu, tambah Abdul Aziz, objektif PKW adalah untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara selain menampung kos menanggung pesalah-pesalah kesalahan kecil.
"Ini dapat mengurangkan kesan ke atas pesalah bagi kes hukuman ringan apabila mereka perlu menjalani hukuman penjara selain mengurangkan perlakuan semula jenayah.
"Bayangkan jika kos seorang banduan sehari ialah RM35 jika mereka menjalani PKW banyak yang dapat dijimatkan.
"Kalau dulu jabatan penjara mengurungkan banduan di dalam penjara walaupun bagi kes kecil tetapi hari ini, kita tidak akan mengasingkan mereka (untuk kes hukuman penjara di bawah enam bulan sahaja) daripada masyarakat dan dapat hidup seperti biasa dengan keluarga," tambahnya.
Mengenai sejarah PKW, Abdul Aziz memberitahu, ia sebenarnya telah dipraktikkan sejak zaman British lagi di mana pesalah yang dijatuhi hukuman penjara di bawah enam bulan tidak dipenjarakan sebaliknya disuruh menjalankan kerja-kerja masyarakat mengikut Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.
"PKW sebelum ini pernah dilaksanakan di Penjara Pulau Pinang, Penjara Pudu dan Taiping. Bagaimanapun pada 1974, akta ini dihentikan atas sebab-sebab tertentu sehinggalah dikuatkuasakan semula pada Ogos 2010.
"Ia bermula apabila PKW dibincang dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Crime Lab pada 5 Oktober hingga 13 November 2009. Akhirnya pada 1 September 2010, PKW mula dilaksanakan melibatkan 65 Pusat Kehadiran Wajib di seluruh Malaysia," jelasnya.
Tambah Abdul Aziz, pelaksanaan PKW di Sabah dan Sarawak pula mula dikuatkuasakan pada 16 September 2012 setelah mendapat kelulusan perluasan penggunaan akta dan diwartakan pada 1 Oktober 2012.
"Mahkamah pertama yang menjatuhkan hukuman PKW adalah Mahkamah Kuantan dan pesalah tersebut dijatuhkan hukuman kerja wajib selama tiga bulan dan empat jam sehari dan setiap kali menjalani PKW ada seorang pegawai penjara akan memantau," katanya.
Oleh AZIAN AZIZ
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan