05 Oktober 2014
Scotland Kekal Bersama United Kingdom
PENYOKONG kem 'Tidak' yang menentang kemerdekaan Scotland meraikan keputusan pungutan suara itu di Glasgow, Scotland. - AFP
EDINBURGH - Penduduk Scotland menolak untuk menjadi sebuah negara yang merdeka sebaliknya mahu kekal bersama United Kingdom (UK) dalam keputusan rasmi pungutan suara yang diumumkan,pada 19 Sept 2014.
Keputusan pungutan suara bagi menentukan sama ada Scotland kekal dalam UK atau merdeka tersebut disambut dengan perasaan lega oleh berjuta-juta penduduk UK termasuk Perdana Menteri, David Cameron dan juga sekutu negara itu di seluruh dunia.
Kem yang menentang kemerdekaan berjaya memperoleh 55.3 peratus undi sekali gus menyaksikan persekutuan yang terbentuk sejak 307 tahun yang lalu terus kekal manakala penyokong kemerdekaan memperoleh 44.7 peratus undi.
Pada 18 Septemeber, 2014, sebanyak 84.6 peratus penduduk Scotland keluar mengundi, rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam pilihan raya di Britain. Sesetengah laporan mengatakan seramai 4.2 juta atau 97 peratus penduduk Scotland keluar mengundi.
Kumpulan menentang yang menggelarkan mereka sebagai kem 'Tidak' di seluruh Scotland meraikan keputusan itu sejurus diumumkan, manakala aktivis yang menyokong perpisahan itu yang dikenali sebagai kem 'Ya' menangis tanda kecewa.
Keputusan undian itu sekali gus meranapkan impian ratusan ribu penduduk Scotland yang mengundi untuk berpisah dalam undian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membangkitkan debat tentang tadbir urus di Britain dan kebimbangan ramai tentang risiko berpisah dari UK.
Malah, keputusan itu turut mengakibatkan pasaran kewangan UK menerima kesan besar dengan menyaksikan kenaikan nilai pound berbanding dolar Amerika di pasaran matawang.
"Kami tahu bahawa akan berlaku majoriti bagi kempen 'Tidak'. Penduduk Scotland dengan majoriti memutuskan untuk tidak (berpisah) pada peringkat ini untuk menjadi sebuah negara yang merdeka," kata ketua kerajaan Scotland, Menteri Pertama Alex Salmond yang pro kemerdekaan di sini.
Keputusan itu sekali gus satu tamparan hebat kepada cita-cita politik sepanjang hayat Salmond walaupun keputusan meyakinkan dari blok 'Ya' menunjukkan kemungkinan akan ada usaha bagi satu pungutan suara mencapai kemerdekaan pada masa akan datang.
Beberapa jam sebelum referendum bermula, pemimpin pro dan antikemerdekaan mendesak warga Scotland supaya mengimbau semula sejarah UK.
Ia kata mereka, penting kerana keputusan pungutan suara itu boleh menyebabkan keluarga, rakan dan orang tersayang terpisah.
Dalam referendum tersebut, penduduk Scotland perlu menjawab Ya atau Tidak untuk soalan: Adakah Scotland harus merdeka?
Golongan nasionalis mahu penduduk Scotland diberi kuasa memilih pemimpin mereka dan membuat keputusan sendiri daripada terus diperintah oleh London.
Bagaimanapun, kalangan penentang kemerdekaan berpendapat negara itu akan lebih makmur dan selamat sekiranya kekal bernaung di bawah UK. - Reuters
Sumber: Utusan, Kosmo
Iktibar keputusan pungutan suara Scotland
Keputusan undian itu sekali gus meranapkan impian ratusan ribu penduduk Scotland yang mengundi untuk berpisah dalam undian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beberapa bulan perkara itu telah membangkitkan debat tentang tadbir urus di Britain dan kebimbangan ramai tentang risiko berpisah daripada kesatuan UK.
Malah, keputusan itu turut mengakibatkan pasaran kewangan negara itu menerima kesan besar dengan menyaksikan kenaikan nilai pound berbanding dolar Amerika di pasaran matawang.
Dalam masa sama, Perdana Menteri Britain, David Cameron ketika mengulas keputusan pungutan suara itu menyatakan akan memberikan komitmen terhadap apa yang dijanjikan terutama memberi kuasa baharu dalam bidang percukaian, perbelanjaan perkhidmatan dan kebajikan kepada penduduk Scotland.
Kempen pungutan suara untuk memisahkan Scotland daripada kesatuan UK bukan sahaja membawa kesan yang signifikan kepada penduduk Scotland tetapi turut dirasai oleh keseluruhan rakyat UK.
Sekiranya majoriti bersetuju dengan cadangan itu maka ia akan membawa implikasi yang besar kepada kedua-dua belah pihak. Sudah tentu sedikit sebanyak akan menjejaskan sektor ekonomi, sosial dan politik.
Hakikatnya, kempen pungutan suara itu agak mudah. Ada dua pilihan sahaja iaitu melalui perkataan 'Yes' bermakna bersetuju untuk memisahkan Scotland yang telah berada selama 307 tahun dalam kesatuan itu. Sementara perkataan 'No' bermakna menolak cadangan itu iaitu kekal seperti sedia kala dalam kesatuan.
Tarikh pengundian diadakan pada 18 September 2014 di mana lebih daripada 4 juta penduduk Scotland membuang undi.
Golongan nasionalis yang mahukan pemisahan itu dipimpin oleh Alex Salmond pemimpin parti Scottish National Party yang juga Menteri Pertama Scotland. Beliau dikatakan mendapat sokongan kuat daripada anggota gerakan sekerja, golongan pertengahan dan kaum wanita.
Dalam kempennya, beliau sering menyatakan bahawa penduduk Scotland perlu mengambil peluang dalam pungutan suara itu untuk berpisah daripada kesatuan UK. Katanya, kehidupan mereka akan menjadi lebih baik jika mengambil keputusan tersebut. Dia menggunakan tema kempennya iaitu 'Masa depan Scotland adalah terletak di tangan penduduk Scotland.'
Dalam ucapannya beliau sering merujuk kata-kata tokoh ekonomi tersohor kelahiran Scotland iaitu Adam Smith bahawa '... tiada masyarakat boleh maju dan bahagia jika tidak ramai penduduknya mendapat faedah daripada kekayaannya itu.' Ini bermaksud lebih ramai penduduk Scotland akan mendapat manfaat daripada kemakmuran UK jika mengambil keputusan untuk berpisah.
Sementara itu, pihak yang menentang pemisahan Scotland diketuai oleh Ed Miliband pemimpin Parti Buruh dan bekas Perdana Menteri, Gordon Brown. Mereka mendapat sokongan yang kuat daripada golongan profesional, kumpulan veteran, para peniaga dan golongan belia.
Menurut mereka Scotland akan menghadapi krisis ekonomi yang besar sekiranya mengambil keputusan untuk berpisah. Kebanyakan institusi dalam sektor kewangan dan perbankan akan memindahkan perniagaan mereka ke England jika Scotland berjaya mendapat undi majoriti 'Ya.'
Sementara itu akhbar The Daily Telegraph dalam ruangan ekonominya membuat analisis mendalam tentang kesan negatif terhadap sistem ekonomi dan kewangan keduadua pihak. Dalam temu bual dengan pengusaha perbankan seperti Royal Bank of Scotland, Tesco Bank, Lloyds Bank dan Clydesdale Bank menyatakan mereka tidak teragakagak memindahkan pengoperasian ke London sekiranya majoriti mahu perpisahan itu.
Kesan segera yang jelas, sudah tentu kadar pengangguran akan meningkat apabila kebanyakan bank dan syarikat kewangan mengambil tindakan itu. Beberapa orang pakar ekonomi memberi amaran kenaikan harga barang keperluan akan berlaku apabila pengguna akan membayar harga yang lebih tinggi. Ini disebabkan kos pengangkutan dan perbelanjaan keperluan untuk mematuhi berbagai peraturan baru yang akan diperkenalkan nanti.
Oleh Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA.
Sumber: Utusan
Ubah Pendekatan Mentadbir Negara
Walaupun Scotland terus kekal bersama UK tetapi para pemimpin dunia mahu UK mengubah pendekatan mereka dalam mentadbir negara berkenaan.
Para penentang kemerdekaan bersorak, berpelukkan dan berpesta di bandar-bandar di Scotland selepas keputusan pengutan suara berkenaan diumumkan.
Susulan keputusan tersebut, pemimpin nasionalis yang mengetuai gerekan kemerdekaan, Alex Salmond meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertama Scotland.
Beliau juga menuntut ahli politik di London menunaikan janji mereka untuk memberi lebih kuasa kepada negara itu.
"Saya menyeru semua rakyat Scotland akur dengan keputusan dan menerima pilihan yang dibuat secara demokratik," katanya dalam satu perhimpunan semalam.
Gerakan kemerdekaan yang dicetuskan Parti Kebangsaan Scotland itu telah menyebabkan hubungan kekeluargaan dan rakan renggang akibat pendirian politik yang berbeza. - Reuters
Sumber: Kosmo
SEORANG lelaki meniup beg paip mengetuai satu perarakan prokemerdekaan Scotland di pinggir bandar raya Edinburgh.
Hasrat Scotland mahu berdikari
UCAPAN 'hi ya' (yang dieja hi you dalam bahasa Inggeris) bermaksud salam sejahtera merupakan sapaan umum warga Scotland apabila bertembung orang awam. Mereka peramah, tinggi kesusilaan dan berjiwa patriotik.
Sifat-sifat itu dijelaskan seorang rakyat Malaysia di Scotland, Wan Zulhafiz Wan Zahari, 29, yang sedang menuntut pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Petroleum di Universiti Aberdeen.
Latar alam memukau terutama di pantai barat Scotland seperti Isle of Kyle juga antara kebanggaan negara itu
Agenda tentang tuntutan kemerdekaan Scotland iaitu satu gerakan ke arah pembentukan sebuah negara bermandiri tanpa dipapah United Kingdom (UK) telah lama diperkatakan.
Apakah yang diinginkan oleh orang-orang Scotland sehingga sanggup menggadai keampuhan perlindungan selama 307 tahun berpayung di bawah UK, seiring England, Wales dan Ireland Utara?
KUMPULAN kempen pro-kemerdekaan Yes berarak ke ibu pejabat BBC Scotland di Glasgow.
Wan Zulhafiz memberi beberapa pandangan peribadinya berhubung isu terbabit.
Ia mungkin tercetus akibat pertembungan fahaman dan kebudayaan antara orang Scotland dan England. Malah, loghat Inggeris di Scotland juga jauh berbeza dengan orang Inggeris di England.
UK dikatakan hanya memerlukan Scotland kerana industri cari gali minyak dan petroleum.
Cubaan memerdekakan Scotland juga dipacu hak penggubalan polisi yang kini dikawal sepenuhnya pentadbiran pusat UK di Westminster, London. Wan Zulhafiz mendedahkan, rakyat Scotland tidak senang dengan polisi sedia ada terutama melibatkan hasil petroleum.
Hasil tersebut lebih disalurkan ke England berbanding Scotland yang dianggap lebih berhak ke atas hasil dari tempat mereka sendiri.
Justeru, generasi muda Scotland nekad melancarkan usaha memerdekakan negara. Mereka menagih kebebasan tanpa dibelenggu kuasa besar yang selama ini memperalat kekayaan hasil bumi tanah air mereka.
Jurang generasi telah tercipta akibat perbalahan referendum kemerdekaan tersebut.
"Saya bangga dengan datuk apabila dia memberitahu menyokong kempen Generation Yes. Undian untuk Yes amat bererti kepada generasi saya. Kami mahu datuk dan nenek tahu bahawa masa depan Scotland terjamin di tangan kami.
"Dengan kemerdekaan, kami akan membina masa depan lebih baik untuk semua orang Scotland," ujar Miriam Brett, 23, dari Shetland kepada Associated Press.
RISALAH 'Tidak' diedarkan oleh kumpulan anti-kemerdekaan Scotland.
Sokongan
Kempen Generation Yes diketuai oleh Menteri Pertama, Alex Salmond, pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang mentadbir sejak tahun 2007.
Beliau menyatakan orang Scotland berhak ke atas semua hal ehwal negara sendiri dan hasil daripada industri minyak mampu mengukuhkan ekonomi negara.
Sokongan terhadap kemerdekaan melonjak menerusi pilihan raya pada 2010 selepas kerajaan Konservatif British menimbulkan kemarahan pengundi Scotland.
Kepedulian orang ramai terhadap referendum itu juga sangat tinggi. Sejumlah 4,285,323 orang, mewakili 97 peratus populasi telah mendaftar untuk mengundi.
Jumlah undian melebihi 85 peratus berbanding 50.4 peratus yang mengundi pada pilihan raya Parlimen Scotland pada tahun 2011 dan 68.3 peratus pada pilihan raya UK pada 2010.
Pihak penentang kemerdekaan pula menjalankan kempen Better Together. Seorang pesara berumur 68 tahun, Liz Mullen menyatakan: "Mereka masih muda dan menganggap kemerdekaan mampu menjadi penawar ajaib. Bagi mereka, ia satu cabaran tanpa risiko tetapi mereka perlu sedar bahawa ini bukan permainan video."
Dari sudut potensi, ujar Wan Zulhafiz, pengunduran Scotland daripada UK bakal meletakkan masa depan negara itu pada dua teori risiko meliputi keuntungan dan kerugian.
Keuntungan yang bakal diperoleh dijangka melibatkan pembentukan sebuah negara kaya, setaraf Norway. Biarpun ketinggalan dari segi pembangunan, Scotland yang merdeka tidak akan menjadi negara miskin tegar.
Scotland masih berupaya dibangunkan rakyatnya yang berpendidikan tinggi. Kesediaan mengambil risiko seperti itu sahaja membuktikan betapa yakinnya mereka dengan masa depan Scotland.
AHLI-AHLI kumpulan orang Inggeris Scotland Yes mengadakan parti teh berhampiran bandar Berwick-upon-Tweed yang bersempadan antara England dan Scotland.
Mata wang
Mereka menghargai demokratik dan ketelusan politiknya lebih baik berbanding tiga sekutunya di bawah UK.
"Cuma jika formula 'negara kaya' itu tidak menjadi, Scotland mungkin ketinggalan. Masalah pun telah timbul membabitkan ekonomi. Banyak bank berpindah ke England akibat kebimbangan kekeliruan mata wang pada masa depan.
"Jika Scotland benar-benar merdeka, mata wang akan terjejas. Ia mungkin menyebabkan harga barang naik dan memberi impak kepada pengguna.
"Disebabkan itu sebahagian penduduk Scotland takut mengambil risiko dan menolak kemerdekaan. Orang-orang tua khususnya, sangat menghargai perjuangan mereka dahulu dan melihat penyatuan itu lebih mendatangkan kebaikan," Wan Zulhafiz memperinci perbualan.
Azri Aziz, 26, seorang lagi rakyat Malaysia yang hampir dua tahun bermastautin di Scotland juga mempersetujui pandangan Wan Zulhafiz berhubung masalah mata wang jika Scotland mendapat kemerdekaan.
Scotland yang merdeka masih perlu menggunakan mata wang pound sterling untuk sementara waktu. Usul itu bagaimanapun ditolak pentadbiran pusat UK tetapi Scotland mengugut untuk tidak berkongsi hutang sekiranya permintaan mereka tidak diterima.
Olli Rehn, bekas komisioner pembesaran dan hubungan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa ketiadaan persetujuan kesatuan mata wang bermakna, Scotland yang merdeka mesti memilih sama ada meneruskan penggunaan pound sterling atau Euro pound.
Bekerja di sebuah syarikat cari gali petroleum di Aberdeen, Azri bagaimanapun memilih untuk tidak mengundi, walaupun ia dibuka kepada semua bukan warganegara Scotland yang menetap dan menuntut pengajian di sana.
"Saya berasa tidak berhak untuk menentukan masa depan negara lain kerana keputusan itu kelak bersifat kekal. Namun, selepas mendengar manifesto kedua-dua belah pihak, saya mengharap kemenangan berpihak kepada pro-kemerdekaan," jelas Azri.
Sokongan Azri terhadap revolusi pembebasan Scotland adalah berdasarkan pemerhatiannya ke atas kuasa terhad yang dimiliki Scotland dalam Parlimen Britain.
Kemerdekaan Scotland membolehkan meneruskan pendidikan percuma buat warganya yang menuntut di universiti-universiti di dalam negaranya, tidak seperti England yang mengenakan bayaran pengajian meskipun kepada rakyat sendiri.
MATA WANG antara isu yang menjadi perbahasan.
Ekonomi Scotland juga bakal menjadi lebih baik. Dengan populasi kecil kira-kira lima juta penduduk di topografi berkeluasan 78,387 kilometer persegi, Scotland juga kaya dengan tenaga boleh baharu seperti turbin angin.
Begitupun, menurut Azri, hasil alam paling berharga di Scotland adalah sumber air bersih. Justeru, Scotland dipilih sebagai salah satu pembekal kepada bekalan air di UK.
Sekiranya Scotland meraih kemerdekaan, SNP bercadang untuk meneruskan monarki sekali gus membenarkan Ratu Elizabeth II kekal selaku Ratu Scotland, seperti posisinya sebagai ratu di negara Komanwel lain termasuk Kanada dan Australia.
Scotland bagaimanapun hanya akan menjadi sebuah negara merdeka pada Mac 2016 selepas perpisahannya daripada UK berkuat kuasa secara rasmi.
Sementara itu, pemerhati ekonomi dari Capital Spreads, Nick Lewis berkata, ia bakal menimbulkan banyak persoalan bukan hanya mengenai mata wang tetapi juga bagaimana untuk berkongsi membayar hutang negara.
"Begitu juga dengan kemungkinan hasil minyak di Laut Utara dan mereka perlu membayar cukai tertentu," ujar nya.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut menolak kempen kemerdekaan tersebut dan berharap seluruh rakyat Scotland supaya kekal kuat, kukuh dan bersatu padu.
"Kami sentiasa memastikan bahawa salah satu sekutu paling rapat agar kekal kukuh, teguh, bersatu, dan menjadi rakan kongsi yang efektif," ujarnya.
Sumber: Kosmo
SAMBUTAN Hari Tartan merupakan kebanggaan pada masyarakat Scotland.
Keistimewaan Scotland
UNITED Kingdom atau Great Britain terbahagi kepada tiga buah negara iaitu England, Wales dan Scotland.
Ibu negeri Scotland ialah Edinburgh dan bandar terbesarnya ialah Glasgow. Baru-baru ini, Glasgow menjadi tuan rumah untuk Sukan Komanwel. Negara sebesar 78,772 kilometer persegi ini mempunyai populasi penduduk sekitar 5.2 juta orang.
Oleh kerana Scotland masih di bawah naungan yang sama, negara itu masih diperintah oleh Ratu Elizabeth II dan berkongsi mata wang yang sama iaitu pound sterling walaupun negara itu telah mengeluarkan mata wangnya sendiri.
Pada awal bulan April setiap tahun, penduduk di Scotland akan menyambut hari kemerdekaan yang dikenali sebagai Hari Tartan juga dikenali sebagai Pengisytiharan Arbroath.
Perayaan tersebut diraikan secara besar-besaran dengan berpakaian tradisional malah negara-negara luar seperti Amerika Syarikat juga turut menyambut perayaan itu.
Scotland sangat terkenal di kaca televisyen dengan legenda Lochness Monster, seekor makhluk ular air yang dikatakan wujud di dasar laut Loch dan sebilangan penduduk mendakwa pernah melihat kewujudan makhluk tersebut.
Selain legenda mistik itu, Scotland juga terkenal dengan persembahan muzik bagpipe yang hanya dimainkan oleh sekumpulan lelaki berpakaian kilt serta muzik rakyat berjudul Auld Lang Syne.
SHORTBREAD merupakan manisan tradisi masyarakat Scotland yang diperbuat daripada tepung, gula dan mentega.
Dari segi penulisan pula, Scotland melahirkan tokoh-tokoh sasterawan yang hebat seperti Robert Louis Stevenson dan JK Rowling.
Stevenson terkenal dengan penulisan kesusasteraannya iaitu Strange Case of Dr. Jekyll and Mr. Hyde, manakala Rowling pula terkenal dengan buku bersiri Harry Potter yang menjadi kegilaan golongan muda kini.
Pemandangan yang penuh dengan kehijauan dan seni bina bangunan berkonsep gotik di Scotland menjadi tarikan utama para pelancong, justeru tidak hairan landskap di negara itu mendapat perhatian pengarah filem-filem terkenal.
Sukan golf yang sinonim untuk golongan orang berada, amat berbeza di negara ini kerana penduduk tempatan berpeluang menikmatinya tanpa perbezaan darjat.
Tambahan pula, Scotland adalah tempat lahirnya sukan golf dan telah dimainkan sejak berzaman lamanya.
Sandy Lyle dan Colin Montgomerie adalah pemain golf yang terkemuka dan dikagumi oleh kebanyakan pemain golf di dunia.
Sumber: NABIHA MOHD. YUSUF
Sumber: Kosmo
Scotland, England kerap berperang sejak kurun ke-14
Scotland dan England terdiri daripada dua kerajaan beraja yang berbeza dan kerap berperang sejak kurun ke-14. Dua negara itu pernah bergabung pada tahun 1653 tetapi berpisah semula tujuh tahun kemudian.
Scotland dan England bergabung sekali lagi untuk mewujudkan persekutuan United Kingdom (UK) pada tahun 1707. Ireland kemudiannya menyertai UK pada 1801 tetapi sebahagian daripada pulau tersebut memilih untuk keluar daripada UK pada tahun 1992.
Walaupun sudah lebih 300 tahun Scotland menyertai UK tetapi penduduk negeri itu masih berdepan krisis identiti dan merasakan mereka tersisih dan kurang diberi kuasa dalam menentukan hala tuju sendiri.
Gerakan kemerdekaan Scotland bermula daripada penubuhan Parti Kebangsaan Scotland (SNP) pada tahun 1934. SNP yang bertanding pada Pilihan Raya Parlimen Scotland 2007 melancarkan manifesto pungutan suara atau referendum bagi memutuskan sama ada Scotland harus kekal di bawah UK atau merdeka.
Parti itu menang besar dalam pilihan raya tersebut dan menjadi parti utama di Parlimen Scotland. Susulan kejayaan tersebut, SNP berunding dengan London dengan kerajaan UK akhirnya bersetuju untuk satu referendum diadakan bagi menentukan masa depan Scotland.
Rang undang-undang Pungutan Suara Kemerdekaan Scotland kemudian diluluskan di Parlimen Scotland pada November 2013. Rang undang-undang itu menggariskan syarat-syarat untuk mengadakan referendum tersebut. - Agensi
Sumber: Kosmo
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan