04 Oktober 2014
Merebut Peluang Selepas Bersara
Pastinya ramai yang masih buntu memikirkan apa yang ingin dilakukan selepas bersara.
Hal ini akan bermain-main di kotak fikiran kerana semua orang akan bersara tidak kira yang bertugas sebagai penjawat awam ataupun swasta.
Ada yang merancang untuk berehat sahaja di rumah menikmati wang pencen atau ganjaran persaraan, ada juga yang berhasrat melaburkan wang yang diterima dalam perniagaan dan ada juga merancang untuk terus mendapatkan pekerjaan baharu demi kelangsungan hidup.
Peningkatan jangka hayat penduduk di negara ini dengan anggaran 77.1 tahun bagi wanita dan 72.0 tahun bagi lelaki memerlukan setiap orang membuat perancangan rapi demi memastikan kehidupan yang berkualiti selepas bersara terutama ketika berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup dan perubatan hari ini.
RUANG UNTUK PESARA
Malaysia tersenarai sebagai negara terbaik di Asia untuk menetap selepas bersara seperti yang dilaporkan melalui majalah International Living dalam artikel; "The World's Best Place To Retire 2014".
Ia secara tidak langsung menjadi syurga persaraan bagi masyarakat luar untuk mencari kehidupan mewah dengan harga yang berpatutan serta menikmati pelbagai kemudahan disediakan di sini.
Namun, adakah nikmat itu turut dirasai oleh pesara tempatan terutama pesara kerajaan?. Timbul juga persoalan adakah wang yang dikumpulkan untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi bagi menampung kehidupan berkualiti yang diinginkan?.
Kajian yang dijalankan oleh Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam, mendapati beberapa perkara yang menjadi keutamaan pesara dalam menjamin kesejahteraan kehidupan mereka iaitu kelangsungan kesihatan, pengurusan kewangan, pembangunan keusahawanan dan panduan bekerja semula.
Keempat-empat teras itu disatukan pada Karnival 1Pesara yang diadakan baru-baru ini bagi membantu pesara dan bakal pesara merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta.
Program julung kali ini diadakan dengan kerjasama Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan serta agensi-agensi kerajaan lain, menurut Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Seri Zainal Rahim Seman.
"Program yang kali pertama diadakan ini sebagai platform kepada pesara dan bakal pesara mendapatkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan tentang faedah, kelebihan dan ganjaran persaraan mereka", katanya.
Ia melibatkan lebih 3,500 bakal pesara di seluruh negara selain kehadiran pesara-pesara kerajaan yang ingin melihat ruang dan peluang yang boleh direbut.
Pelbagai pengisian program disediakan antaranya seminar pengurusan kewangan dan pembangunan keusahawanan, klinik pemeriksaan dan penjagaan kesihatan, padanan kerjaya serta pameran agensi kerajaan dan swasta.
Zainal berkata, berdasarkan sambutan baik yang diberikan pesara-pesara sepanjang dua hari karnival itu, pihaknya bercadang untuk memperluaskannya ke negeri-negeri supaya pesara di luar Lembah Klang turut mendapat manfaat.
PELUANG PEKERJAAN DAN KEUSAHAWANAN
Ramai dalam kalangan pesara yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya terutama mendapatkan dana dan latihan.
Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membantu pesara-pesara melalui program-program keusahawanan terutama program transformasi dalam perniagaan (B.I.T).
Ia untuk menjadikan peniaga lama lebih moden supaya berdaya saing dengan kos yang mampu milik dan mampu tadbir, menurut Penyelaras Program PNS Akademi, R. Mohd Andriansyah R.Ade Daud.
Banyak peluang perniagaan yang boleh direbut dalam kalangan pesara terutama bidang francais yang meliputi pelbagai bidang antaranya perkhidmatan, makanan, pendidikan dan pakaian.
Melalui program BIT, PNS akan menetapkan kreateria dan pembiayaan yang meliputi pakej termasuk stok, kios, bunting dan banner serta pakaian seragam yang membolehkan mereka memulakan perniagaan.
Mereka juga akan dibantu melalui latihan, bimbangan dan rundingan bagi memantapkan perniagaan, katanya.
"Matlamat akhir adalah melahirkan rakyat Malaysia yang berpendapatan tinggi sesuai dengan hasrat kerajaan menuju Wawasan 2020 yang tinggal hanya lima tahun sahaja lagi", katanya.
Sementara itu, beberapa syarikat rangkaian makanan dan pasar raya turut serta pada Karnival 1Pesara bagi membuka peluang kepada pesara yang berminat mencari pekerjaan secara sepenuh masa atau separuh masa.
Jurucakap The Store Corporation Bhd berkata kekurangan tenaga kerja terutama dalam kalangan belia yang kurang berminat bekerja di pasar raya menyebabkan pihaknya membuka peluang itu kepada pesara.
"Kita mempunyai 74 cawangan di seluruh negara yang mempunyai kekosongan khususnya sebagai pengawal keselamatan atau juruwang. Jika kita tidak ambil pesara siapa lagi yang mahu kerja kerana anak muda juga tidak berminat dengan kerja seperti ini yang dikatakan tidak bebas dan penat", katanya.
SAMBUTAN BAIK PESARA
Menyambut baik usaha pertama yang dilakukan kerajaan, Sng Geong Yian yang bakal bersara pada akhir tahun ini hadir di karnival itu bagi mempersiapkan diri.
Beliau, yang berasal dari Sibu, Sarawak dan bertugas di Jabatan Pertanian daerah kelahirannya teruja dengan peluang-peluang yang disediakan kerajaan bagi membantu dan memberi jalan kepada pesara memilih bidang yang ingin diceburi selepas ini.
"Ia sangat membantu... jika sebelum ini saya hanya terfikir untuk duduk di rumah jaga cucu sahaja, tetapi dengan penerangan yang diberikan seperti peluang keusahawanan ia sedikit sebanyak membuka minda untuk mencuba sesuatu yang baru", katanya yang merangka untuk memulakan perniagaan selepas bersara nanti.
Sementara itu, Azzah Abdul Ghani, yang akan bersara pada 6 Okt 2014 berkata program seperti ini sangat diperlukan terutama bakal-bakal pesara sepertinya bagi membantu mencari hala tuju selepas persaraan.
"Banyak yang diperoleh terutama penerangan tentang pengurusan kewangan, dana-dana perniagaan dan ada peluang pekerjaan yang boleh disertai.
"Ini membantu bakal pesara merancang apa yang ingin dilakukan selepas ini", katanya kepada Bernama.
Beliau, yang membuka perniagaan kedai makanan di Seberang Takir, Terengganu sejak setahun lepas merancang persaraannya lebih awal dengan mengikuti pelbagai kursus keusahawanan.
"Bila bersara tidak semestinya kita tidak berbuat apa-apa, kerana saya percaya kita kena membuka minda untuk terus meningkatkan kehidupan", katanya yang berkhidmat selama 40 tahun.
Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan