23 November 2014

Banjir Masih Menghantui Walaupun Sering Dihadapi



Setiap kali tibanya musim tengkujuh, sudah menjadi suatu kelaziman bagi penduduk di kawasan rendah di negeri Kelantan membuat persiapan untuk menghadapi banjir.

Pada musim tengkujuh, yang berlaku dari Oktober hingga Mac akan membawa bersama hujan lebat menyebabkan berlakunya limpahan air sungai yang menjadi punca banjir dan memaksa penduduk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Hujan lebat yang berterusan beberapa hari di kawasan hulu (pedalaman) negeri ini seperti di Gua Musang dan Kuala Krai sudah cukup meresahkan mereka yang tinggal di kawasan rendah sepanjang Sungai Kelantan.


Begitu juga jika hujan lebat di kawasan Jeli menyebabkan berlakunya limpahan air Sungai Golok dan banjir akan melanda beberapa kawasan di jajahan Pasir Mas dan Tumpat yang berhampiran dengan sungai berkenaan.

Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah berhampiran sungai, mereka sudah 'lali' dengan fenomena alam itu namun persiapan perlu dilakukan sebaik mungkin kerana mereka sukar meramalkan sama ada banjir yang bakal melanda itu kecil atau besar.

PERSIAPAN WARGA EMAS HADAPI BANJIR

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan yang sering dilanda banjir, menemui seorang warga emas Abdul Salam Ahmad, 77, di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh di sini, sedang melihat sebuah bot gentian kaca yang disimpan di bawah rumahnya.

Kebanyakan penduduk di kawasan ini membina rumah bertiang tinggi untuk menyimpan barangan dan tidak perlu berpindah apabila berlaku banjir serta memiliki perahu atau bot gentian kaca sebagai pengangkutan harian.

Di luar musim banjir, bahagian bawah rumah menjadi tempat untuk simpanan barang termasuk bot atau perahu.

Abdul Salam atau lebih dikenali sebagai Pak Leh oleh penduduk setempat berkata penduduk menggunakan bot untuk aktiviti harian pada musim banjir yang menenggelamkan jalan kampung.

"Bot ini digunakan untuk kami keluar membeli barang keperluan seperti beras, biskut, kopi dan sebagainya di kedai runcit yang terletak di tempat tidak ditenggelami banjir. Kami juga menggunakan bot ini untuk ke surau dan masjid", katanya.

Beliau membeli bot gentian kaca itu empat tahun lepas dengan harga RM1,250 dan boleh memuatkan enam penumpang. Sebelum membeli bot berkenaan, beliau terpaksa menumpang bot milik rakan sekampungnya.

Banjir di kawasan berkenaan berlaku berikutan limpahan air dari Sungai Pengkalan Datu di sini.

Seorang lagi penduduk, Zaharah Mamat, 60, berkata kejadian banjir adalah perkara biasa cuma mereka sentiasa berharap banjir yang berlaku tidak teruk dan cepat surut.

"Paras air kadangkala boleh mencecah sehingga lapan kaki (2.4 meter) dan paling rendah adalah setinggi lima kaki (1.5 meter)... sebab itu kami bina rumah yang lebih tinggi supaya tidak perlu bersusah payah memindahkan barang", katanya.

TIDUR DALAM PERAHU

Musim tengkujuh yang melanda negeri ini menjadikan penduduk sentiasa berjaga-jaga dan 'rentak hujan' sudah dapat dibaca dengan rata-rata mereka berkata, "jika berlaku hujan lebat berturut-turut selama tiga hari kemungkinan besar kawasan itu akan dinaiki air".

Bagi Deraman Awang Kecik, 80, dari Kampung Bukit Awang, Pasir Puteh pengalaman berhadapan dengan musim banjir adalah suatu yang amat mencabar kerana ada suatu ketika beliau terpaksa tidur dalam perahu berikutan rumahnya dipenuhi air dan bimbangkan harta bendanya yang masih berada dalam rumah dicuri, beliau tidak berpindah ke pusat pemindahan.

"Walaupun tidur dalam keadaan tidak lena tetapi pak cik terpaksa kerana bimbang untuk tinggalkan rumah", katanya sambil menambah ramai penduduk di kampung itu tidak mahu berpindah kerana bimbangkan kejadian tidak diingini berlaku ke atas harta benda mereka.

Terdapat penduduk yang sanggup berada dalam rumah yang digenangi air dan hanya akan berpindah apabila banjir mencecah paras bahaya yang menyebabkan mereka tidak selamat lagi berada di rumah.

Deraman berkata kebiasaanya banjir berlaku lebih seminggu dan pada ketika itu sumber rezeki mereka turut terjejas, oleh itu mereka akan menyimpan bekalan makanan lebih awal sebagai langkah persediaan menghadapi bencana itu.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan melaporkan lebih 4,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan ketika banjir melanda negeri ini pada tahun lepas.

PANGKALAN HADAPAN, PUSAT PEMINDAHAN UNTUK MANGSA BANJIR

Selain penduduk, jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) sedang membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan menyediakan sebanyak 170 pangkalan hadapan yang meliputi daerah Tanah Merah (39), Pasir Mas (33), Kuala Krai (26), Tumpat dan Jeli masing-masing (14), Pasir Puteh (13), Gua Musang (12), Bachok (7), Kota Baharu dan Machang masing-masing enam.

Di pangkalan hadapan ini menyediakan barangan keperluan harian seperti makanan, selimut, bantal dan alas tempat tidur (toto).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Nik Omar Ab Rahman berkata sebanyak 656 pusat pemindahan yang mampu menempatkan seramai 138,920 orang iaitu di Kota Baharu (138), Kuala Krai (106), Pasir Mas (104), Tanah Merah (80), Machang (79), Pasir Puteh (56), Gua Musang (42), Tumpat (24), Bachok (19) dan Jeli (lapan).

Sebanyak 105 tapak pendaratan helikopter disediakan bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat iaitu jajahan Gua Musang (23), Kota Baharu (16), Bachok (13), Pasir Mas dan Tanah Merah masing-masing (11), Jeli (8), Machang (7), Pasir Puteh (6), Kuala Krai dan Tumpat masing-masing lima.

Beliau menasihati penduduk di kawasan yang berisiko dilanda banjir supaya mengambil langkah awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sebelum bencana menjadi lebih teruk.

JANGAN JADIKAN BANJIR UNTUK BERPESTA

Sebanyak 575 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap sedia untuk digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di negeri ini, bersama 370 anggota bomba sukarela.

Pengarahnya Azmi Osman berkata sebanyak 52 bot dan 85 kenderaan utiliti disediakan bagi menghadapi bencana itu selain beberapa buah helikopter sekiranya bencana ini teruk.

Pihaknya turut menyediakan enam buah ambulans untuk Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama-sama 22 anggota dan 32 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), katanya.

Azmi berkata pihaknya mengadakan lawatan berkala bagi meninjau beberapa lokasi yang dikenal pasti sering dinaiki air seperti di Rantau Panjang, Jeli dan Gua Musang.

Beliau memberi penekanan khusus dari segi kekuatan mental dan suntikan moral kepada anggotanya agar melaksanakan tugas sebaik mungkin dalam situasi bencana.

"Sekiranya berlaku banjir yang serius, seluruh kekuatan anggota serta pegawai akan dikerah dan cuti mereka akan dibekukan dalam tempoh berkenaan", katanya.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata hampir 1,000 daripada jumlah keseluruhan 27,000 anggota berdaftar kini bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir.

Pihaknya mempunyai 28 bot dan 30 kenderaan pacuan empat roda dan lori yang akan digunakan untuk operasi menyelamat mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Jabatan Kesihatan Kelantan juga sentiasa mengambil langkah awal sebagai persediaan menghadapi pelbagai penyakit bawaan air yang biasa dihadapi menjelang musim tengkujuh setiap tahun di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata walaupun musim tengkujuh belum bermula pihaknya sentiasa memberi tumpuan kepada aspek pencegahan.

"Kalau ada banjir, perkara yang kita pantau adalah penyakit bawaan air seperti kepialu dan keracunan makanan", katanya.

Kerja-kerja menyelamat mangsa banjir turut dibantu jabatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Orang ramai dinasihati memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa agar melicinkan operasi menyelamat.

Mereka juga dinasihati tidak menjadikan banjir sebagai pesta untuk bermain air kerana ia boleh menyebabkan kejadian tidak diingini seperti lemas.

Oleh Nor Asira Ab Ghani dan Sulizawati Ali
Sumber: BERNAMA

0 comments: