22 November 2014

Harga RON95 dan Diesel Mengikut Kaedah Pengapungan Terkawal Mulai Disember 2014

RON95
Subsidi petrol RON95, diesel dihenti 1 Dis, 2014

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mengumumkan mulai 1 Disember, 2014 penetapan harga runcit RON95 dan diesel akan mengikut kaedah pengapungan terkawal (manage float).

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, kaedah tersebut dilakukan sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.

Hasan Malek berkata,  tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel mulai 1 Disember, 2014 kerana harga pasaran lebih rendah berbanding harga di pam minyak.


Untuk itu, Hasan berkata, penetapan terbaharu harga RON95 dan diesel pada 1 Disember akan bergantung pada harga pasaran minyak dunia sepanjang November, 2014. Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

“Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Mekanisma Harga Automatik (APM) sejak 1983 iaitu penetapan harga pada satu paras tertentu di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.

“Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya,” katanya

Beliau memberikan contoh harga purata RON95 yang direkodkan pada pasaran dunia dari 1 hingga 19 November 2014 ialah RM2.27 seliter, berbanding harga di pam RM2.30.
 
"Dalam hal ini kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember, 2014" katanya.

Hasan juga tidak menolak kemungkinan harga runcit RON95 pada Disember akan lebih rendah daripada harga semasa sekiranya harga pasaran minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan.

"Jika trend ini berlarutan adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM," katanya.

Hasan berkata penetapan harga runcit RON95 dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal akan dibuat secara bulanan.
 
Beliau berkata, kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk berasaskan kos setiap masa, harga pasaran dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

"Kita akan pantau setiap hari harga di pasaran dunia tetapi kita ambil purata sebulan dan waktu itu kerajaan buat keputusan sama ada naik atau turun.
 
"Harga mungkin turun mungkin naik tetapi trend sejak bulan-bulan lepas stabil dan menurun," katanya.

Hasan berkata, kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel itu telah dilakukan oleh kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaannya.

"Langkah ini membuktikan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia," katanya.

Ditanya sama ada pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal adalah muktamad, Hasan berkata kerajaan proaktif dan sensitif terhadap keadaan semasa berdasarkan harga pasaran dunia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

"Pendekatan kita adalah untuk meletakkan rakyat didahulukan. Jadi apa juga yang kita boleh jimat adalah untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Sumber: Bernama, Sinar Harian , Kosmo [21 November 2014]

0 comments: