24 November 2014
Puspakom Selar Orang Tengah Yang Tidak Bertanggungjawab
Sering kali kita mendengar wujudnya orang tengah yang mendakwa bahawa mereka boleh ‘memberi jaminan’ lulus sesebuah kenderaan persendirian yang hadir untuk menjalani pemeriksaan bagi tujuan pertukaran hak milik atau apabila kenderaan perdagangan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan berkala.
Orang tengah yang tidak bertanggungjawab atau ‘ulat-ulat’ ini biasanya berkumpul berhampiran premis Puspakom untuk memperdaya pemilik kenderaan dengan mengambil bayaran yang lebih daripada sepatutnya untuk pemeriksaan di Puspakom dengan memberi jaminan bahawa kenderaan boleh lulus dalam pemeriksaan yang ketat tanpa sebarang kesulitan.
Golongan ini telah menjejaskan imej Puspakom. Pada hakikatnya, tiada jaminan untuk kelulusan pemeriksaan kenderaan tanpa mengikut prosedur pemeriksaan Puspakom yang ditetapkan. Bayaran pemeriksaan kenderaan di Puspakom hanya antara RM20 hingga RM90 namun, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh orang tengah selalunya berlipat kali ganda malah mencecah sehingga RM300 atau lebih.
Pernah dilaporkan bahawa orang tengah atau ‘ulat-ulat’ bersekongkol dengan segelintir pemilik bengkel untuk mendapatkan khidmat ‘jalan pintas’ untuk lulus pemeriksaan Puspakom dengan menggunakan kaedah-kaedah yang tidak beretika seperti menggunakan perapi cecair tambahan untuk mengurangkan kadar kelegapan asap bagi kenderaan diesel dan kadar pelepasan gas bagi kenderaan petrol; mengubah suai secara sementara komponen tertentu kenderaan; khidmat sewaan tayar dan cermin kenderaan serta cuba dan baiki komponen kenderaan yang terjejas yang mana pembaikan kenderaan tersebut hanya bersifat sementara.
Selepas mendapat kelulusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom, keadaan kenderaan tersebut akan kembali kepada keadaan asalnya yang sememangnya tidak akan mendapat kelulusan pemeriksaan Puspakom sekiranya keadaan asal tidak diubah untuk pemeriksaan Puspakom.
Tindakan ini jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang secara langsung membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Sebenarnya, gagal atau lulus pemeriksaan kenderaan bukan bergantung kepada orang tengah kerana Puspakom menggunakan kaedah pemeriksaan yang diiktiraf antarabangsa dan alat pemeriksaan yang dikaliberasikan.
Semua data pemeriksaan yang dijana daripada peralatan pemeriksaan akan terus disalurkan ke pangkalan data sistem komputer yang seterusnya menjana laporan pemeriksaan dengan serta-merta. Puspakom turut sentiasa meningkatkan perkhidmatan pelanggan dari aspek prosedur pemeriksaan, kemudahan dan fasiliti di pusat pemeriksaan.
Dalam usaha membanteraskan isu integriti dan untuk memastikan amalan integriti dalam kalangan semua kakitangan, Puspakom telah bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengadakan mesyuarat tetap untuk membincang tentang aktiviti yang dapat mengurangkan risiko berlakunya aktiviti rasuah.
Mengulas mengenai hubungan kerjasama ini, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, kerjasama rapat antara SPRM dengan Puspakom merupakan usaha kedua-dua pihak dalam membasmi perbuatan yang tidak beretika di tempat kerja yang mungkin boleh berlaku di Puspakom.
“Hubungan kerjasama yang erat ini telah dimeterai sejak majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Puspakom dan SPRM pada tahun 2010. Dengan perkhidmatan yang cemerlang yang ditawarkan oleh Puspakom, pemilik kenderaan seharusnya tidak mempunyai sebarang masalah semasa berurusan dengan pihak Puspakom.
“Kami sentiasa menggalakkan orang ramai untuk berurusan secara langsung dengan Puspakom dan tidak mengambil tawaran dengan mana-mana pihak ketiga atau orang tengah yang hanya boleh memberi janji kosong bagi menyelesaikan apa-apa masalah ke atas kenderaan yang telah diperiksa.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa rasuah dalam apa jua bentuk adalah salah dari segi perundangan dan mana-mana pihak yang menerima atau memberi boleh dikenakan hukuman di bawah undang-undang yang sama,” katanya.
Puspakom tidak pernah melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana pihak dan tidak pernah memberi apa-apa jaminan bahawa sesebuah kenderaan akan lulus pemeriksaan. Malah, Puspakom menyarankan agar pelanggan dapat membuat temu janji melalui Sistem Pemeriksaan Melalui Temu Janji sebelum hadir ke pusat pemeriksaan Puspakom agar dapat merancangkan masa yang lebih efisyen.
“Tidak ada sebab pelanggan perlu menggunakan khidmat orang tengah sewaktu berurusan dengan Puspakom. Kami mengalu-alukan dan menggalakkan pelanggan datang terus kepada kami daripada membazirkan wang mereka dengan orang tengah yang tidak dapat berbuat apa-apa untuk mereka. Proses pemeriksaan kenderaan kini lebih mudah untuk para pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail.
Beliau berkata, jika pelanggan benar-benar tidak mempunyai masa untuk berurusan dengan pusat pemeriksaan Puspakom, pelanggan boleh bergantung kepada Perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Primer yang boleh mengunjungi lokasi pilihan pelanggan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan.
Buat masa ini, terdapat lebih 50 buah pusat Puspakom di seluruh negara. Maklumat lanjut dan senarai pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara boleh didapati dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6927 atau menerusi laman web www.puspakom.com.my.
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan