21 November 2014
Betulkan Niat Sebelum Makan
SEBELUM makan berdoalah agar makanan itu menjadi penawar kepada segala penyakit, menyihatkan badan sekali gus kita dapat melakukan ibadah kepada Allah ~ Gambar Hiasan
Saya terpaku melihat rakaman video yang dimuat turun oleh seorang rakan di laman Facebook miliknya. Beliau merakamkan aksi suaminya menelan segenggam pil kesihatan seperti menelan kekacang.
“Wah... abang kelihatan hebat. Sudah berapa lama mengamalkan pil produk ini?”
Itulah pertanyaan yang terakam di dalam rakaman video tersebut. Saya kemudiannya melayari laman web rasmi produk jenama yang ditunjukkan dalam rakaman tersebut dan mengetahui pasangan yang ditunjukkan dalam rakaman video tersebut merupakan pasangan paling berjaya dalam memasarkan produk kesihatan itu.
Khabarnya sudah berbelas-belas tahun mereka setia dengan jenama yang sama. Selama itulah juga mereka mengamalkan produk tersebut.
Sungguh benar saya terpaku. Aturannya begitu. Mereka yang mahukan sesuatu lalu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Insya-Allah...pasti dibantu-Nya.
Penawar
Namun, saya lebih mengagumi seorang lelaki tua yang mencecah usia lewat 80-an. Apa sahaja yang dihidangkan oleh anak menantu tidak pernah ditolak. Beliau makan apa sahaja tanpa pantang larang.
Anak-anak saya bertanya: “Atok masih boleh makan apa-apa sahaja sampai ke hari ini?”
Jawapannya jelas: “Insya-Allah. Semua makanan halal baik di sisi Allah. Sebelum makan atok berdoa semoga makanan itu menjadi penawar kepada segala penyakit dan memberikan kesihatan yang baik agar dapat melakukan ibadah kepada-Nya.”
Subhanallah! Niat makannya begitu.
Ia tamparan hebat kepada anak-anak kami yang mahu menyekat makan kerana penjagaan kesihatan. Dalam diam berhabisan beratus ringgit membeli pil dan serbuk produk makanan sampingan untuk tujuan yang sama.
Lelaki tua tersebut ketawa besar apabila saya menyindir anak sendiri.
Beliau berkata: “Cuba kita lihat orang-orang yang taksub menjaga kesihatan, ada yang mengharamkan diri daripada menikmati makanan itu dan ini. Mereka sanggup berhabisan ribuan ringgit membeli produk dan peralatan kesihatan. Apakah mereka sentiasa sihat, kelihatan muda dan tidak mati akhirnya?
“Usahlah terpedaya. Jangan menipu diri sendiri. Semua manusia pasti akhirnya berkedut kulitnya, berubah warna rambutnya, semakin mengendur tahap kesihatan dan mata menjadi kabur. Jika sudah ditetapkan Allah SWT sesuatu penyakit akan menimpa, bagaimana kamu yakin boleh mengelaknya? Allah jualah yang menyembuhkannya. Bukankah itu tanda-tanda kekuasaan Allah?”
Kami terdiam. Dalam hati membenarkan kata-katanya. Bertambah yakin apabila membaca surah at-Taubah ayat 51 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
KESIHATAN yang baik perlu dimanfaatkan dengan mendekatkan diri kepada Allah. – Gambar hiasan
Fikirkan
Duhai manusia terutamanya wanita yang diberikan akal untuk berfikir…ambillah apa sahaja makanan tambahan atau pil-pil produk kesihatan di pasaran. Kajilah kesahihannya. Namun, paling utama betulkan niat. Ia bukan kerana menghalang kematian yang pasti datang. Niatkan kerana Allah SWT bertujuan tunduk sujud menyembah-Nya.
Bukankah badan yang cergas memudahkan kita melakukan amal kebajikan yang diredai Allah? Bukankah tubuh badan yang sihat memudahkan kita beramal ibadat dengan memperbanyakkan solat-solat sunat? Bukankan akal yang sihat memudahkan kita menuntut ilmu, memahami al-Quran dan terus mengingati Allah setiap saat?
Allahuakbar! Tidak ada manusia yang dijadikan Allah terus menerus muda, sihat dan panjang usia. Semuanya pasti akan berakhir. Tiada jasad yang kekal.
Ketika berpeluang, marilah kita membaca, memahami makna dan mengambil iktibar daripada al-Quran. Subhanallah! Lihatlah bagaimana para nabi dan rasul menghabiskan usia dengan mengajak kaumnya mengesakan Allah.
Mereka lakukan tanpa berputus asa dan ketika tahap kesihatan berada di kemuncak.
Duhai diri yang dambakan kasih serta reda Illahi…lihatlah ke dalam diri sendiri. Tanyalah dalam hati…
Peranan
Apakah yang telah kita lakukan terhadap Allah SWT semasa diberikan kesihatan dan kekuatan?
Apakah peranan terhadap diri sendiri? Apakah pula peranan terhadap keluarga, adik-beradik, rakan-taulan, jiran-jiran serta bangsa dan agama?
Apakah kesihatan yang baik dimanfaatkan sebaiknya semasa hayat dikandung badan?
Duhai diri yang mendambakan rahmat Allah SWT...sedarlah betapa setiap perkara yang dilakukan hanya sebagai satu usaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Jangan sampai kita tersyirik kerananya.
Misalnya, apabila kita jatuh sakit lalu diberikan ikhtiar mencari ubat kemudian disembuhkan. Kita harus bersyukur kepada-Nya. Kulit melecur tersimbah air panas kemudian ditemukan dengan doktor pakar dan kulit kita kembali seperti asal. Ingatlah, bukan ubat dan doktor yang memulihkan tetapi ia berlaku dengan izin-Nya.
Setiap kejadian pada diri, keluarga dan manusia yang lain adalah untuk mengajak kita berfikir terhadap kebesaran Allah SWT. Kita harus berusaha dengan pelbagai ikhtiar, bertawakal dan akhirnya bersyukur kepada-Nya.
Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.
Sumber: Kosmo
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan