20 November 2014

Selipar Getah Paling Laris Di Langkawi

Sekadar gambar hiasan. - Foto Internet
Sekadar gambar hiasan.

ROKOK, minuman keras atau coklat? Yang mana satu menjadi pilihan pelancong bila berkunjung ke pulau bebas cukai Langkawi?

Anda salah jika memilih satu daripada produk yang disenaraikan itu dan jangan terkejut kerana jawapan sebenarnya ialah selipar getah!

Pelik tetapi penemuan ini adalah hasil kajian ke atas barang yang paling digemari pelancong bila berkunjung ke pulau lagenda ini yang dikongsi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan Bernama.


Bagaimanapun, selipar getah ini bukan sebarangan selipar getah!

Ada pelbagai warna dan ia mudah dibeli di kedai-kedai yang terletak di merata kawasan pelancong Langkawi.

Bukan sahaja pelbagai warna yang terang dan berkilau, malahan terdapat aneka corak dilukis di atas selipar itu yang menjadikannya kelihatan begitu menarik apabila disusun di atas rak sama ada di dalam atau luar kedai.

Mereka yang berhajat membeli selipar ini sila ambil maklum kerana harganya bukan murah seperti yang difikirkan dan ia boleh mencecah antara RM15 hingga RM30 sepasang!


SELIPAR antara cenderamata yang dibeli pelancong di Langkawi.

Bukan sebarangan selipar  

Lebih 100,000 pasang selipar boleh dijual sepanjang tiga suku pertama tahun 2014. Ini adalah antara hasil kajian pasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), yang menjalankan kajian itu bagi pihak LADA.

Penolong Pengurus kanan Bahagian Pelancongan LADA, Putra Helmi Elias memberitahu Bernama di Langkawi, kebanyakan mereka yang membeli selipar itu ialah pengunjung ke pulau peranginan ini.

Memandangkan permintaan yang begitu tinggi bagi selipar jenis ini, tidak hairanlah ia boleh didapati terutama di kedai yang biasa dikunjungi pelancong.

Bukan setakat kedai selipar sahaja, malah kedai tekstil dan pasar raya turut menjual selipar ini.

Penulis, yang sempat meninjau sebuah kedai selipar di sini, diberitahu pembantu kedai yang dikenali sebagai Lina bahawa memang betul selipar itu bukan sahaja digemari pengunjung tetapi juga penduduk tempatan.

Bila ditanya berapa pasang selipar boleh dijual dalam sehari, beliau menjawab; "Saya tak pasti kerana kami bekerja ikut syif tetapi semasa syif saya sebelah malam, kami boleh menjual antara 20 hingga 30 pasang".

Menurut Lina, selipar getah adalah selesa untuk dipakai berjalan santai di pantai yang berpasir seperti yang terdapat di Langkawi.

Tambahan, katanya, memandangkan pulau itu dikelilingi laut, waktu siang boleh menjadi begitu panas dan memakai selipar boleh menyejukkan tapak kaki yang letih berjalan.

Bagi pelancong, selipar itu juga boleh dijadikan sebagai cenderahati untuk dibawa pulang dan semestinya menjadi kenangan sempena lawatan ke pulau legenda Mashuri ini.

Kunjungan penulis ke sebuah kedai di Beras Bakar, Padang Matsirat, yang mana pengunjung masih dapat melihat kesan padi terbakar sebelum berlaku serangan oleh penceroboh Siam, mendapati selipar berwarna-warni turut dijual di kedai-kedai di situ.

Menurut pembantu kedai berkenaan, selipar getah sememangnya senarai barangan laris.

Beliau juga berkata, pengunjung tidak melepaskan peluang membeli rantai kunci selipar mini sambil menyauk segenggam rantai kunci dan menunjukkan kepada penulis. Memang menarik!

Antara tujuan LADA mendapatkan khidmat USM menjalankan kajian itu adalah untuk melihat dari semasa ke semasa, apa yang menambat hati pelancong untuk datang ke pulau peranginan ini.

Putra Helmi memberitahu penulis, ia juga untuk mengkaji bagaimana bilangan pelancong ke Langkawi dapat ditingkatkan ataupun setidak-tidaknya dikekalkan.

Oleh: Penulis Bernama
Sumber: Bernama, Sinar Harian, Kosmo

0 comments: