13 November 2014

CLiC ~ Pusat Pembe­lajaran Kreatif dan Teknologi Maklumat


Seperti belajar di rumah

UMPAMA seperti berada di dalam se­buah perpustakaan moden yang serba canggih, Pusat Pembe­lajaran Kreatif dan Teknologi Maklumat (CLiC) Sentul, Kuala Lumpur tidak pernah lengang dengan pengunjung.

Pusat seluas 1,000 meter persegi itu dilengkapi dengan buku yang disusun rapi di atas rak, komputer, perkhidmatan internet dan sofa. Di setiap rak terdapat beberapa buah meja bersaiz satu meter persegi untuk kemudahan pelajar-pelajar mengulang kaji pelajaran.

Di satu sudut lain, terdapat sebuah bilik berkeluasan 25 meter persegi yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.


Tambah menarik, ruang dalaman pusat tersebut turut dicat warna hijau, biru dan merah bagi memberi mood ceria kepada pengunjung.

Salah seorang pengunjung, Fa­rah Farhana Zulkamar, 15, memberitahu, CLiC merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya sele­pas sesi persekolahannya tamat. Anak kedua daripada empat adik-beradik itu sering berkunjung ke pusat tersebut bersama tiga orang lagi rakannya untuk mengulang kaji pelajaran.

Ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul itu, setiap hari, dia akan menghabiskan masa lebih tiga jam di pusat tersebut sebelum pulang ke rumah. Dia dan kawan-kawannya memilih CLiC kerana keadaan dan per­sekitaran pusat itu yang selesa dan tenang.


Orang ramai dan pelajar sekolah boleh menggunakan pelbagai kemudahan CLiC.

“Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti buku rujukan dan internet. Semua ini sedikit sebanyak membantu memudahkan kami mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Ujar Farah, setiap kali cuti hujung minggu, dia turut mengunjungi pusat tersebut untuk membaca buku cerita atau menghabiskan masa melayari internet.

Walaupun sering menghabiskan masa di pusat berke­naan namun kedua-dua ibu bapanya tidak pernah menghalangnya ke situ.

“Pada musim cuti, saya juga akan berkunjung ke sini kerana banyak aktiviti boleh dimanfaatkan.

“Ibu bapa saya juga memberi kebenaran untuk berkunjung ke sini,” katanya yang merupakan salah seorang calon Pentaksiran Tingkatan 3 tahun ini.

Percuma

Salah seorang petugas CLiC, Noorfarrizan Menhad menjelaskan, pusat berkenaan dibuka setiap hari. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur boleh berkunjung ke pusat berkenaan secara percuma.

“Semua orang boleh masuk ke pusat ini, namun jika berminat untuk menjadi ahli, mereka perlu membayar yuran tahunan sebanyak RM16,” katanya.

Menurut Noorfarrizan, antara keistimewaan sebagai ahli CLiC ialah pengunjung boleh membuat pinjaman buku secara percuma dan menggunakan perkhidmatan internet pada harga lebih rendah.


Clic menyediakan kemudahan internet untuk orang ramai.

Tambahnya, setiap pengunjung pusat tersebut perlu mengikut peraturan yang sama seperti berada di dalam perpustakaan.

“Walaupun pusat ini nampak moden dan menarik, namun pengunjung tidak dibenarkan membuat bising dan berkelakuan tidak senonoh. Sekiranya berlaku kes-kes sedemikian, kami akan menegur secara baik atau mengarahkan pelaku keluar dari sini,” jelasnya.

Di samping itu, Noorfarrizan turut memaklumkan bahawa pusat tersebut mampu menampung sekitar 150 pengunjung pada satu-satu masa.

Katanya, jumlah pengunjung akan meningkat sekali ganda berbanding hari-hari biasa setiap kali menjelang cuti hujung minggu atau cuti umum.

“Kebanyakan pengunjung yang datang ke pusat ini terdiri daripada penduduk setempat yang tinggal di rumah pangsa bersebelahan bangunan ini. Lazimnya, golongan remaja yang paling ramai berkunjung ke sini berbanding orang dewasa dan kanak-kanak,” katanya.

Memperkasakan

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn. Bhd., Datuk Hamidah Maktar berkata, CLiC ditubuhkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Pendidikan.

Ujar beliau, penubuhan pusat berkenaan adalah sebagai salah satu inisiatif untuk memperkasakan aktiviti pembelajaran di sekitar Sentul.

Selain itu, CLiC juga menyediakan peluang pembelajaran yang sama rata dalam ekosistem yang kondusif dan mengurangkan jurang digital dalam masyarakat.


Kaunter pertanyaan CLiC yang serba moden.

“Penubuhan CLiC merupakan sebahagian daripada langkah menyokong pelan induk Sentul Urban Renewal. Melalui pelan ini, kami perlu menyediakan persekitaran pembelajaran multimedia yang kreatif, interaktif dan holistik kepada lebih 25,000 pelajar dari 34 buah sekolah awam di sekitar Sentul dan Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas Hamidah, CLiC juga merupakan sebahagian daripada langkah memperkasakan Program Bintang Cemerlang yang diperkenalkan sejak tahun 2008.

Program Bintang Cemerlang ialah sebuah projek memperkasakan pendidikan dengan menumpukan kepada pendidikan di luar bilik darjah. Ia memberi fokus kepada empat bidang iaitu akademik, sukan, kesenian dan pemeliharaan alam sekitar.

“Program ini ternyata berjaya dengan peningkatan bilangan pelajar cemerlang dalam akademik. Peningkatan pelajar cemerlang juga ketara dalam segmen kokurikulum dan sukan,” katanya.

Tambah beliau, seiring dengan pembukaan CLiC, pihaknya merancang beberapa program bagi memperkasakan program Bintang Cemerlang. Antaranya, bengkel digital, kesusasteraan, motivasi, pengukuhan kemahiran dan bengkel akademik yang dikendalikan oleh syarikat FrogAsia dan lain-lain.

CLiC juga akan menyediakan kelas tuisyen Bahasa Melayu dan Sains bagi pelajar sekolah rendah manakala Bahasa Inggeris dan Matematik untuk semua lapisan pelajar.

“Saya sangat berharap dengan penubuhan pusat ini, ia mampu menyemarakkan lagi minat pelajar di kawasan ini terhadap ilmu pengetahuan,” katanya.

Sumber: Kosmo

0 comments: