12 November 2014

Lelaki Berlagak Seperti Perempuan ~ Kejutan Mahkamah Rayuan



Pada petang Jumaat 7 November 2014 lalu, keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya telah menyatakan bahawa seksyen 66 Enakmen Jenayah Sya­riah Negeri Sembilan 1992 adalah tidak sah dan batal kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 66 itu, yang mempunyai tajuk bidai “Lelaki berlagak seperti perempuan” menyatakan bahawa “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Seksyen 66 ini tidak melarang seorang wanita berpakaian seperti lelaki. Mengikut fakta kes berkenaan, pada 2 Februari 2012, tiga orang lelaki Muslim bernama Muhamad Juzaili Mohamad Khamis,26, Syukor Jani,28 dan Wan Fairol Wan Ismail,30 telah mencabar kesahan peruntukan terbabit di Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban.


Mereka menghujah peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan itu tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia merupakan satu diskriminiasi kepada insan seperti mereka.

Dalam kes mereka yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban, mereka telah menamakan empat responden, iaitu Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Pengarah Penguatkuasa Syariah Negeri, dan Ketua Pendakwa Syariah Negeri. Mereka telah memohon perintah larangan untuk menghalang mereka ditahan dan didakwa di Mahkamah Syariah.
Kuasa perundangan negeri

Enakmen 1992 itu dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan selaras dengan kehendak dan maksud Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa bidang kuasa perundangan negeri meliputi, antara lain “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu…”

Enakmen 1992 itu mewujudkan beberapa kesalahan takzir, di mana hukumannya tidak boleh melebihi hukuman maksimum yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan, iaitu hukuman 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebat (ringkasnya, formula 3:5:6).

Perlu disebutkan bahawa segala prosiding jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan adalah tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah negeri, bukan mahkamah sivil. Oleh yang demikian, implikasi keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu itu amat besar sekali dimensinya.

Prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban

Persoalan penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban (yang mendengar permohonan tiga lelaki Muslim itu) adalah sama ada mahkamah sivil ada bidang kuasa menghalang mahkamah syariah negeri menjalankan kuasanya seperti yang dinyatakan secara jelas dalam undang-undang negeri?

Atau dalam bahasa mudah, apakah mahkamah sivil masih ada kuasa untuk campur tangan dalam urusan mahkamah syariah di negara ini?

Apakah kedudukan mahkamah sivil lebih tinggi daripada kedudukan mahkamah syariah negeri?

Setelah mendengar permohonan tiga lelaki itu, Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban memutuskan bahawa mereka kesemuanya dilahirkan sebagai lelaki Islam dan perlu mematuhi undang-undang negeri serta ajaran agama Islam. Permohonan mereka ditolak.

Terkilan dengan penolakan Mahkamah Tinggi Seremban inilah ketiga-tiga pemohon lelaki Islam ini telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Prosiding di Mahkamah Rayuan Putrajaya

Pada akhir prosidingnya pada Jumaat 7 November 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan (dianggotai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Lim Yee Lan) memutuskan bahawa seksyen 66 Enakmen itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu terbatal.

Keputusan disampaikan oleh Hakim Datuk Mohd Hishamudin. Keputusan Mahkamah Rayuan itu 'disambut dengan gembira' oleh para penyokong dan kumpulan transgender yang hadir di mahkamah.

Isu perundangan dan hukum

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat tersebut menimbulkan banyak persoalan undang-undang dan hukum. Dari sudut hukum, pastinya kita masih ingat hadis sahih yang berbunyi “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” (hadis riwayat Al-Bukhari) dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki” (riwayat Abu Daud).

Setiap umat Islam di negara ini pastinya merasakan bahawa hadis tersebut merupakan antara nas dan landasan kepada kesalahan takzir yang diperundangkan dalam seksyen 66 itu. Soalnya dari segi hukum, apakah wajar seksyen 66 itu menyebut “kecualian” bagi lelaki yang terbukti mengalami masalah kecelaruan identiti jantina (GID)?

Dalam Islam, apakah kelompok GID boleh diberi 'pengecualian'? Hanya mereka yang arif dan pakar dalam hukum-hakam Islam boleh menjawab soalan ini.

Dari sudut undang-undang Perlembagaan, apakah keputusan ini bermakna Perlembagaan mengatasi hukum syarak? Kita perlu ingat bahawa ada perbezaan antara hukum syarak (yang berlandaskan al-Quran, Sunnah, dan sumber-sumber lain) yang tidak tertakluk kepada undang-undang buatan manusia termasuk Perlembagaan Persekutuan dengan perundangan bertulis buatan manusia yang dizahirkan dalam bentuk akta dan enakmen (yang tertakluk kepada ketinggian Perlembagaan Persekutuan). Ditinjau dari sudut hierarki perudangan negara ini, Enakmen Jenayah ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Apakah keputusan Mahkamah Rayuan ini bermakna sesuatu pro­siding yang berjalan di mahkamah syariah negeri boleh sentiasa di­per­soal oleh mahkamah sivil menerusi semakan kehakiman?

Apakah pindaan tahun 1988 kepada Perkara 121 Perlembagaan, yang mewujudkan Fasal (1A) itu sudah tidak ada kesan lagi?

Kalau Mahkamah Rayuan pada Jumaat tersebut hanya melihat kes ini dari sudut Perkara 5, 8, 9 dan 10, apakah ini bermakna peruntukan-peruntukan ini mengatasi kehendak dan maksud Jadual Kesembilan Senarai II yang memberi kuasa perundangan kepada Kerajaan Negeri mewujudkan kesalahan takzir bagi umt Islam di negeri itu.

Apakah kaedah pentafsiran yang wajar digunakan oleh mahkamah apabila Perlembagaan Persekutuan sendiri mengandungi peruntukan yang berkonflik atau bertentangan antara satu sama lain?

Oleh: PROF. SALLEH BUANG
Penganalisis undang-undang.
Sumber: Utusan [09 November 2014]

0 comments: