11 November 2014

Lembah Bertam Masih Diancam Bahaya


AKTIVITI mengorek lumpur mendalamkan Tasik Ringlet giat dijalankan TNB.

TASIK Ringlet di Lembah Bertam, Cameron Highlands yang melimpahkan air sehingga menyebabkan banjir lumpur dan mengorbankan empat nyawa serta merosakkan lebih daripada seratus rumah setahun lalu, masih dipenuhi dengan sampah dan enapan, meskipun pelbagai usaha giat dilakukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membersihkan tasik berkenaan.

Dengan keadaan musim tengkujuh dan hujan yang turun lebih kerap sekarang, wujud kebarangkalian kemungkinan tragedi sama boleh berulang. Tinjauan Bernama di sekitar kawasan berkenaan mendapati aktiviti pertanian galak dilakukan di lereng-lereng bukit kawasan sekitarnya, malahan ladang-ladang baharu turut dibuka.

Penduduk yang berjaya menyelamatkan diri selepas banjir lumpur itu berlaku telah kembali mendirikan rumah di atas tanah rizab dan membuka penempatan di sepanjang tebing Sungai Bertam, lupa akan bahaya besar yang mengancam mereka.


Berdasarkan keadaan semasa di Tasik Ringlet, adalah sangat jelas bahawa banyak lagi harus dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengelakkan tragedi seumpamanya berulang.

Banjir lumpur melanda kawasan itu pada awal pagi 23 Oktober 2013 apabila air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air dari Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, yang berusia 50 tahun.

Tasik Ringlet yang berfungsi untuk menakung air bagi menjana elektrik di empangan itu, sebenarnya sudah 'tenat' dan tidak mampu lagi menampung kapasiti air seperti ketika ia mula-mula beroperasi. Di mana silapnya?

Kerja pengorekan tasik tambah baik Lembah Bertam

Dianggarkan TNB perlu mengorek dan mengeluarkan 750,000 meter padu enapan dan sampah menjelang hujung tahun 2014 ini dengan kos RM40 juta, perbelanjaan tahunan paling tinggi berbanding RM180 juta yang dibelanjakannya untuk kerja pengorekan empangan Ringlet sejak tahun 2001.

"Kerja-kerja pengorekan ini memang rumit dan membabitkan kos yang tinggi. Selagi aktiviti membuka tanah dan perladangan tidak terkawal terus berlaku di kawasan huluan, selagi itulah kami perlu terus melakukannya," kata Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Bahagian Penjanaan TNB, Azman Talib.

Menurut Azman kapasiti Tasik Ringlet untuk menakung air tinggal satu pertiga sahaja kerana dari kapasiti asal 6.2 juta meter padu, dua pertiga dipenuhi sampah dan enapan.

"Sekiranya dilonggokkan sehingga paras rumah dua tingkat, kami memerlukan kawasan seluas 100 padang bola untuk menempatkan semua kotoran ini," katanya.

Antara sampah seberat dua tan yang dibawa keluar dari empangan itu setiap minggu, sebahagiannya adalah botol, perkakas elektrik, peralatan kayu, perabot, atap plastik dan bangkai binatang.

Mengulas lanjut, Azman berkata jumlah sampah domestik dan pertanian yang dibuang penduduk telah melonjak 10 kali ganda berbanding 50 tahun lalu.

"Ketika tahun 1960-an, enapan yang memasuki tasik hanyalah kira-kira 30,000 meter padu setahun. Kini, ia telah meningkat antara 300,000 hingga 500,000 meter padu," jelasnya.


PAPAN tanda amaran diletakkan di lokasi strategik Lembah Bertam, Cameron Highlands.
Tragedi banjir lumpur

Mengimbau kembali tragedi tahun 2013 lalu, Azman berkata satu-satunya laluan air keluar dari Tasik Ringlet iaitu terowong air telah tersumbat sepenuhnya disebabkan peningkatan jumlah enapan dan sampah, seterusnya mengakibatkan paras air di empangan naik mendadak.

"Hujan lebat luar biasa dan banjir kilat di pekan Ringlet pula memburukkan lagi keadaan.

"Akibatnya, air terpaksa dilepaskan secara manual bagi mengelakkan kerosakan yang lebih buruk sekiranya pintu alur limpah terbuka secara automatik apabila tahap air empangan naik ke paras 3,513 kaki," kata Azman lagi.

Menceritakan pengalamannya, mangsa banjir lumpur, Mohd Faizal Mohamed, 32, berkata sebaik mendengar bunyi siren amaran, dia terus mendukung bayi serta isterinya yang masih dalam pantang menuju ke tingkat tiga bangunan kuarters guru yang terletak berhampiran Tasik Ringlet.

Beliau yang juga guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley berkata, ketika kejadian paras air naik dengan begitu cepat.

Tingkat keselamatan penduduk

Azman berpendapat kawasan rizab sungai berhampiran empangan perlu dikosongkan daripada sebarang penempatan atau aktiviti ekonomi kerana terdapat risiko jika air dari empangan terpaksa dilepaskan semasa hujan lebat luar biasa.

Sebagai peringatan, TNB katanya telah memasang dua jenis papan tanda amaran yang tertera maklumat amaran dan kawasan bahaya di sekitar Lembah Bertam. Selain itu, 35 tanda amaran dipasang di sepanjang kawasan sungai dan jalan berdekatan, dengan kos perbelanjaan RM35,000. Setiap papan tanda dipasang pada jarak 500 meter dengan yang lain.

Papan tanda itu dipasang sehingga sejauh 10 kilometer (km) dari kawasan empangan. TNB turut memasang empat siren amaran (semboyan) baru dengan kos RM380,000 dalam lingkungan enam km dari Tasik Ringlet. Bunyi dan warna lampu amaran daripada semboyan berkenaan telah dipersetujui oleh agensi tempatan dan wakil penduduk Lembah Bertam.

Siren amaran

"Siren amaran ini mempunyai tiga jenis iaitu amaran pertama berjaga-jaga yang mana siren berputus-putus dan lampu berwarna jingga; amaran kedua bahaya, siren berterusan dan lampu berwarna merah; manakala amaran ketiga ialah air dilepaskan dengan siren berterusan, lampu warna merah dan lampu jingga," katanya.

Azman mendedahkan bahawa TNB dan TNB Research Sdn Bhd sedang membangunkan sistem amaran awal bagi Tasik Ringlet dengan kos RM1.9 juta. Sistem ini dapat menyalurkan maklumat awal berkenaan jumlah dan kederasan air yang mengalir ke tasik bagi membolehkan ramalan dibuat mengenai aliran luar biasa, sekali gus memberi amaran awal pelepasan air dari empangan kepada penduduk.

TNB juga melakukan pemantauan melalui telemetri bertujuan untuk memantau jumlah hujan yang turun dalam kawasan tadahan serta mengukur kederasan kemasukan air ke dalam empangan, katanya.


KEADAAN pasar Lembah Bertam yang terlibat dalam kejadian banjir lumpur pada tahun lalu.
- Foto BERNAMA

Beri kesedaran kepada penduduk

Bagi memberi kesedaran dan persediaan kepada penduduk Lembah Bertam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini, TNB juga menyediakan pelbagai program dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara. Antaranya taklimat kesedaran empangan kepada penduduk termasuk murid serta guru di SJKC, latihan pengungsian dan limpahan air dari empangan selain latihan Desktop Drill.

Sebelum insiden banjir lumpur tahun lepas, program kesedaran seumpamanya diadakan, namun kurang mendapat sambutan penduduk. Bagi Tan Soo Ngau, 40, beliau kini lebih memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan bila semboyan berkenaan berbunyi.

"Terima kasih kepada TNB kerana melatih penduduk apa yang perlu dibuat apabila mendengar bunyi siren. Sebelum ini kalau siren dibunyikan, saya tak tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Lim Yew Lee, 58, dan Fatimah Ahmad, 42, pula berpuas hati dengan penambahan papan tanda amaran dan sistem semboyan yang dilakukan. Penduduk Lembah Bertam kini lebih peka terhadap sebarang bunyi siren amaran selepas mengikuti kempen dan latihan kesedaran yang dianjurkan TNB.

Menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan TNB, Ketua Kampung Lembah Bertam, Wong Sok Chai, 57, berkata penduduk kini lebih bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan dengan mengawal pembukaan tanah dan agensi berkaitan pula sepatutnya mendalamkan lagi Sungai Bertam," kataya.

Sumber: BERNAMA, BHarian

Lumba dengan masa beri amaran lepas air empangan

Kerja-kerja menambak tebing jalan raya yang runtuh akibat banjir kilat dilakukan bagi mengelak kecelakaan lain berlaku ketika tinjauan fotoBernama di Cameron Highland, hari ini. - Foto Bernama
Kerja-kerja menambak tebing jalan raya yang runtuh akibat banjir kilat dilakukan bagi mengelak kecelakaan lain berlaku ketika tinjauan fotoBernama di Cameron Highland, hari ini. - Foto Bernama 

Kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Cameron Highlands antara individu paling sibuk Rabu lepas 5 November, 2014, apabila air Empangan Sultan Abu Bakar perlu dilepaskan secara berperingkat-peringkat kerana parasnya yang semakin meningkat.
 
Mereka, dengan menggunakan pembesar suara dan kenderaan pacuan empat roda (4X4) 'berlumba' dengan masa untuk memaklumkan penduduk di sekitar tebing Sungai Bertam supaya segera berpindah bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini akibat pelepasan air itu.
 
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, kakitangannya sentiasa bersiap siaga menunggu arahan pelepasan air ekoran hujan lebat yang berlaku, memandangkan sedikit perbezaan masa boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk.
 
Tugas mereka tidak terhenti sebagai 'penyampai amaran', sebaliknya diteruskan untuk menggerakkan pasukan kenderaan 4X4 ke kawasan yang tidak boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan biasa akibat bajir.
 
"Empat kenderaan 4X4 milik jabatan terlibat namun jumlah sebenar kenderaan  dalam operasi di Cameron Higlands adalah lebih dengan khidmat sukarelawan kelab kenderaan itu yang pernah mengikuti program anjuran jabatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Selain khidmat pengangkutan, pasukan kenderaan 4X4 juga bertanggungjawab memastikan sistem telekomunikasi di kawasan terjejas banjir tidak putus, kata Ibrahim.
 
"Di kawasan yang tidak mempunyai 'isyarat' telefon, pasukan menggunakan radio untuk berkomunikasi dan maklumat seperti mangsa terperangkap terus dihantar ke bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
 
Bagi memastikan kelancaran operasi, empat kakitangan dari Kuala Lumpur dan lima daripada Kuantan, Pahang dihantar serta-merta untuk membantu empat kakitangan tetap di Cameron Highlands, tambah Ibrahim.
   
Selain itu, bantuan turut diberikan di pusat pemindahan supaya mangsa  mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai perkembangan banjir serta menyediakan kemudahan televisyen untuk membolehkan mereka mengisi masa di situ.  

"Jabatan Penerangan juga membuka bilik media bagi menyalurkan maklumat kepada media, membantu pihak terlibat operasi seperti polis atau bomba mengadakan sidang media dan membawa pemimpin yang ingin ke kawasan terlibat," katanya.
 
Ibrahim menambah pihaknya lebih bersedia dalam menghadapi banjir kali ini selepas 'belajar' daripada pengalaman semasa menghadapi kejadian sama pada 23 Oktober 2013.
 
Malah, kakitangan dan pemandu kenderaan 4X4 jabatan berkenaan juga baharu sahaja selesai menjalani latihan menghadapi situasi kecemasan kira-kira seminggu sebelum banjir di Cameron Hinglands berlaku.
 
"Kami juga merasai perasaan mangsa, yang baharu hendak kembali pulih daripada trauma kejadian tahun lalu... dan kini diuji sekali lagi," kata Ibrahim.
 
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat.
 
Dalam kejadian itu, lima maut manakala lima lagi cedera selain 203 penduduk daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Sumber: Bernama, Sinar Harian [08112014]

Hampir seluruh Cameron Highlands diteroka

Kawasan berbukit  yang ditarah untuk ditanam sayur oleh pekebun
Kawasan berbukit yang ditarah untuk ditanam sayur oleh pekebun dirakamkan di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang

Hampir keseluruhan tanah di daerah ini sedang diteroka sama ada secara sah atau haram bagi tujuan pertanian dan juga pembangunan.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, meskipun perkara itu dilakukan secara terang-terangan sejak beberapa tahun lalu, tiada tindakan drastik diambil oleh kerajaan negeri serta pihak berkuasa.

Katanya, tiadanya pemantauan ketat yang dilakukan oleh pihak berkuasa menyebabkan aktiviti meneroka tanah pertanian secara haram semakin berleluasa.

“Kalau kawasan yang diterokai itu adalah pedalaman, mungkin kerajaan negeri serta pihak berkuasa boleh beri alasan terlepas pandang, tetapi aktiviti pencerobohan berlaku di tepi-tepi jalan utama.

“Kami banyak terima aduan daripada penduduk di sini bahawa berlakunya aktiviti penerokaan tanah di kawasan yang jelas terpacak papan tanda dilarang menceroboh. Tetapi tiada tindakan daripada pihak berkuasa, mereka seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak melakukan pemantauan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai bencana banjir kilat kedua yang melanda daerah ini dalam tempoh dua tahun yang telah mengorbankan sembilan nyawa.

Mengulas lanjut, Ramakrishnan juga menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan racun serangga secara tidak terkawal.

Katanya, hasil tanaman di negeri ini tidak lagi diterima oleh Singapura kerana faktor racun tersebut yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.

“Selain itu, pembangunan projek di negeri ini diluluskan tanpa kawalan. Tiada pemantauan dilakukan terhadap projek pembangunan menyebabkan faktor keselamatan sekitar kawasan ini boleh dipertikaikan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut seorang aktivis alam sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 35, daerah ini akan hilang status lokasi pelancongan sekiranya aktiviti pencerobohan tanah pertanian haram terus berleluasa.

Beliau yang merupakan anak jati daerah ini mendakwa, apa yang berlaku di daerah ini adalah disebabkan perbuatan rasuah oleh beberapa kakitangan agensi awam yang tidak bertanggungjawab.

“Apa yang saya kesalkan ialah tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri terhadap perkara ini. Sejak berlakunya tragedi banjir kilat tahun lalu, jumlah penerokaan tanah pertanian haram bukan sahaja tidak berkurang, malah bertambah setiap hari.

“Ahli Parlimen pula seperti tidak membantu dalam isu ini sehinggakan penduduk di sini berasa sangat kecewa. Dulu pun berlaku hujan lebat, tetapi tidak terjadi bencana seperti hari ini,” jelas beliau.

OLEH SYUKRI SHAARI
DAN ASLIZA MUSA
Sumber: Utusan [08112014]

Henti teroka tanah atau Cameron Highlands berdepan banjir lebih teruk


TINJAUAN aktiviti peneroka haram di sekitar kawasan tanah rizab di Cameron Highlands.

Penerokaan tanah yang berterusan di Cameron Highlands akan mengakibatkan kemungkinan ia berdepan tanah runtuh dan banjir lumpur lebih teruk pada masa akan datang, kata pakar geologi.

Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin, berkata kerakusan peneroka menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran baharu hanya akan menyebabkan berlaku mendapan tanah yang berisiko menyebabkan tanah runtuh.

"Sekiranya hujan lebat berlaku, cerun bukit yang ditarah akan mula terhakis dan dengan empangan sedia ada yang tidak mampu lagi menampung kuantiti air yang banyak akan menyebabkan banjir lebih besar," katanya bagi mengulas kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands Rabu lalu.

Jelasnya, tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian selepas kawasan tanah tinggi itu diteroka secara berleluasa tanpa sebarang kawalan.

Tambahnya, Cameron Highlands mempunyai tanah jenis granit yang bersifat gembur dan mudah terhakis sekiranya terdapat sebarang pemotongan mahupun penggunaan bahan kimia yang tinggi.

"Mereka (peneroka) tarah semua tanah untuk bangunkan ladang sayur di tanahbaharu kerana tanah mereka yang sedia ada sudah tidak subur akibat penggunaan baja kimia yang merosakkan tanah.

"Ia dilakukan demi keuntungan tanpa memikirkan risiko penduduk sekitarnyadengan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh," katanya. Justeru Tajul Anuar menyeru peneroka untuk mengoptimumkan penggunaan tanahsedia ada dengan menggunakan baja organik dan teknologi bakteria baik untuk menyuburkan semula tanah mereka.

Beliau juga meminta pihak berkuasa bertindak segera dengan menghentikan sebarang projek penerokaan dan menyita semua kawasan pertanian haram.

"Cameron Highlands merupakan ikon pelancongan negara dengan landscape mukabumi yang cantik serta udara sejuk. Kalau pihak berkuasa tidak ambil kisah akan aktiviti penarahan ini, siapa mahu datang? Identiti Cameron Highlands juga turut'terhakis' sama," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu 5 November, 2014, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat berikutan parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Dalam kejadian itu, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera serta turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Sumber: BERNAMA, BHarian

0 comments: